Pihak berkuasa tempatan perlu menyediakan tapak penimbusan sampah yang lestari dan lebih bersifat mesra alam. Oleh itu, sistem pelapik (barrier system) telah dibuat bertujuan memisahkan bahan-bahan pencemar dalam sampah dari tanah di tapak penimbusan sampah tersebut. Kebiasaannya, pelapik dibina daripada pelbagai jenis bahan termasuklah tanah, bentonit dan bahan geosintetik. Lapisan pelapik ini boleh bergabung dengan bahan-bahan lain membentuk sistem pelapik komposit.

Kajian penyelidikan Universiti Teknologi Mara (UiTM) menemukan satu bahan baharu daripada sisa pembakaran kelapa sawit dikenali sebagai palm oil fuel ash (POFA), dikenalpasti boleh digunakan sebagai agen penstabilan dalam sistem pelapik untuk mengawal masalah alam sekitar. Abu daripada pembakaran kelapa sawit ini adalah satu bahan buangan yang paling banyak dihasilkan di Malaysia dan berpotensi menstabilkan logam berat kerana mengandungi silika yang tinggi. Sistem pelapik ini perlu digabung bersama bahan pengikat (simen) mengikut nisbah tertentu bertujuan mengurangkan kadar penyerapan logam berat yang mengancam sumber air bawah tanah sekali gus membahayakan kesihatan manusia.

SITI SHAHIDAH SHARIPUDIN

Pensyarah Kejuruteraan

UiTM