Apa pun sasaran matlamat kita, perlu diingatkan, janganlah jadikan anak-anak kita kuda pacuan, yang menjadi pertaruhan untuk membuatkan kita sebagai ibu bapa berbangga dengan jumlah A, yang mereka peroleh hasil daripada peperiksaan mereka. Hingga anak-anak yang gagal mendapat A dalam peperiksaan mereka, akan berasa rendah diri dan kurang keyakinan diri, akibat berasa diri mereka gagal membuatkan ibu bapa mereka berasa bangga.

Sebaliknya mereka berasa sedih kerana tidak dapat membahagiakan ibu bapa dan membuatkan ibu bapa mereka malu untuk berhadapan dengan teman-teman ibu bapa mereka, yang anak-anak mereka mendapat kejayaan cemerlang dalam peperiksaan yang sama-sama mereka tempuhi.

Sistem pendidikan yang lebih menekankan kepada kecemerlangan pencapaian dalam peperiksaan tetapi kurang menekankan kepada pendidikan menjadi manusia positif dan bermanfaat, yang melibatkan pembangunan diri dan kemahiran mengawal emosi, kurang diberikan tumpuan di mana-mana negara sekali pun.

Sedangkan kecerdasan emosi atau EQ yang menentukan sikap seseorang adalah lebih penting, dibandingkan dengan kecerdasan minda atau IQ, terutama dalam menempuh alam pekerjaan apabila dewasa kelak. Hal ini adalah kerana kecerdasan minda atau IQ senang diukur, kerana sudah terserlah berdasarkan pencapaian akademiknya iaitu, berapa banyak A yang tercatat pada sijilnya.

Sedangkan kecerdasan emosi atau EQ tidak nampak melalui mata kasar, tetapi akan dapat disingkap melalui penilaian sikap, yang menentukan kewibawaan seseorang. Iaitu daripada segi penguasaan dan kendalian emosi individu melalui bahasa badan, dinilai dari segi penampilan diri kita, menunjukkan adakah kita seorang yang berkeyakinan dan agresif atau seorang yang tidak bersemangat, kelam-kabut, dan pasif?

Cara kita menerima, menghadapi, mengawal emosi ketika berhadapan dengan masalah atau sesuatu perkara negatif juga ditentukan oleh sikap kita. Kecerdasan emosi penting untuk kita mendapatkan sesuatu sasaran dan menjadi magnet diri. Magnet dan aura diri bergantung kepada emosi kita. Jika emosi negatif, magnet dan aura diri kita negatif, kesannya kita akan menarik banyak perkara negatif dalam hidup kita. Emosi datang dari hati dan dengan hatilah kita berniat.

Hasil kerja kita bergantung kepada niat kita: kalau kita berniat hendak melakukan kerja dengan baik, yakinlah dengan kuasa niat itu, kerja kita juga akan berhasil dengan sangat baik. Oleh sebab itulah, kebolehan dan kemahiran melaksanakan kerja semata-mata tidak mencukupi jika tidak disertai dengan sikap positif.

Matlamat

Melakukan sesuatu dengan sepenuh hati akan membuahkan hasil kerja yang luar biasa baiknya, kerana itulah amat penting EQ (kecerdasan emosi) di samping IQ (kecerdasan minda) disemai, malah dibina dalam diri kita.

Melaksanakan kerja dengan EQ yang tinggi mengurangkan risiko kegagalan. Hal ini adalah kerana, semangat untuk melaksanakan kerja lebih tinggi, tetap pendirian dan konsisten, walaupun kita tidak punya kebolehan atau kepakaran, kita akan belajar bersungguh-sungguh untuk berjaya melakukannya dengan sempurna. Semangat itu hingga membuatkan kita sanggup berhadapan dengan segala rintangan dan halangan. Kita tidak akan memberikan alasan jika gagal, tetapi menerimanya sebagai cabaran untuk mengatasi kegagalan dan mengelakkan daripada mengulangi kegagalan.

Orang yang berjaya, melakukan apa yang orang tidak berjaya tidak suka buat. Orang yang kecerdasan emosi atau EQnya tinggi sentiasa bersikap positif, sudah nampak masa hadapannya yang gemilang. Ada perancangan dan matlamat hidup, sangat berdisiplin untuk mencapai cita-citanya dan sentiasa boleh mengawal “dunia dalaman” (fikiran dan emosi) yang menentukan keputusan pilihan dan tindakannya dalam mencapai hasil kehidupannya.

Orang yang bersikap positif, sedar dirinya unik dan yakin dirinya hebat dan, dia tidak akan mengutuk diri sendiri dan berasa rendah diri hingga tidak berani mencuba sesuatu yang baharu dan asing buat dirinya. Orang yang tidak yakin dirinya hebat bermakna dia tidak yakin dengan kehebatan Allah yang menciptanya. Sementara orang yang hebat, dia buat tindakan yang luar biasa, hasil daripada fikiran yang luar biasa dan menghasilkan hasil kehidupan (kesihatan, kekayaan, ketakwaan dan kebahagiaan) yang luar biasa.

Hakikatnya orang yang benar-benar bahagia dalam hidupnya, suka apa yang dia buat dan buat apa yang dia suka buat, dengan rahmat Allah dan mendapat sokongan daripada orang di sekelilingnya.

Semua yang disebut di atas membuktikan segala pekerjaan yang dimulakan dengan sikap positif lebih menjanjikan kejayaan jika dibandingkan dengan pekerjaan yang hanya bergantung pada kebolehan atau kepakaran diri seseorang. Syarikat atau organisasi lebih memerlukan orang yang bersikap baik: ikhlas dan bersungguh-sungguh ketika melaksanakan kerja, serta memberikan sebanyak mungkin manfaat tanpa memikirkan berapa banyak manfaat yang dia dapat, yakni daripada segi ganjarannya.

Sikap berkira, suka memberi “alasan” dan tidak mahu mengambil tanggungjawab sebaliknya menyalahkan orang lain sebagai punca kegagalan, bukanlah dapat menyelesaikan masalah.

Apalah gunanya syarikat atau organisasi menyimpan pekerja yang bersikap begini, biarpun kita seorang yang berkebolehan dan berkemahiran, kerana lambat laun sikap negatif kita itu tidak akan memberikan kejayaan kepada syarikat atau organisasi.

Ketahuilah dalam tubuh manusia mempunyai sel aktivasi dan otak yang mempengaruhi emosi kita. Apa yang kita lihat dan dengar semua itu masuk pada mata kita. Sebenarnya apa yang kita lihat bukan dengan mata, tetapi kita melihat melalui mata dengan hati dan otak kita. Oleh itu bagi menentukan kita menjadi orang berjaya dan bukan orang yang bersikap negatif, suka beralasan, sangat-sangat bergantung kepada pilihan berdasarkan pengamatan minda kita dan rasa hati kita. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.