Mungkin ada kebenaran dalam tuduhan itu tetapi saya akan biarkan orang lain yang membuat analisis serta tulisan mereka sendiri. Dalam artikel ini, saya ingin mencadangkan umat Islam sendirilah yang menjadi punca utama Islamofobia dalam kalangan umat Islam dan bukan-Islam lain di dalam dan luar negara. Saya akan menggunakan contoh-contoh terang dan jelas dalam kejadian-kejadian, peristiwa-peristiwa serta pernyataan-pernyataan yang saya anggap membawa kepada Islamofobia. Saya selalu memberi ceramah bahawa resolusi konflik hanya boleh bergerak kepada penyelesaian dengan muhasabah diri sendiri. Kalau kita menunggu pihak lain untuk berubah dan pihak itu menunggu kita untuk berubah maka tak ke mana penyelesaian konflik. Dalam perselisihan kami laki-bini dengan anak-anak dewasa, saya selalu mengajak isteri muhasabah diri kami dulu dan memulakan pendamaian kerana kami lebih tua dan lebih lama merasa asam garam hidup, anak-anak baru setahun jagung.

Kes pertama yang saya hendak ungkit adalah kenyataan seorang ahli politik dari parti yang kononnya memperjuangkan Islam sebagai wadah perubahan. Ahli politik ini dulunya seorang yang berwibawa dan dihormati ramai termasuk saya sendiri banyak mempelajari Islam daripada ceramah dan tulisannya. Namun sejak 10 tahun kebelakangan, beliau menjadi hampir sama dengan parti rasis perkauman dan melatah tentang perkara-perkara yang saya sifatkan ekstrem. Pertama, beliau pernah mengatakan orang bukan Islam tidak layak menjadi apa-apa pemimpin pun dan melantik mereka adalah sesuatu yang bukan daripada kehendak Islam. Orang bukan Islam tidak layak menjadi wakil rakyat, pengetua sekolah, pengarah institusi kerajaan dan menteri dan apa-apa kepimpinan yang di bawahnya pekerja Islam. Dalam kenyataan lain, beliau juga mengatakan bahawa ukhuwah Islam adalah lebih penting daripada konsep dan hak asasi kewarganegaraan Malaysia.

menidakkan perlembagaan?

Dengan pernyataan demikian, bagaimana harus kita hidup dalam masyarakat majmuk yang memilih demokrasi sebagai landasan organisasi sosial dan politik kita? Pernyataan ini sekali gus menidakkan Perlembagaan dan sistem pemerintahan negara kita sebagai konsep perkongsian kuasa dan kekayaan negara di antara kesemua rakyat tidak kira kaum atau agama. Bukankah ini menjadi sesuatu yang boleh menakutkan orang bukan Islam dan Islamofobia? Siapa yang menjadi puncanya?

Kes kedua, terlalu banyak komen dalam media sosial yang mahu membunuh, membakar dan merogol sesiapa yang dikatakan musuh-musuh Islam merangkumi orang bukan Islam dan orang Islam yang dilabelkan sebagai progresif, moderate atau liberal. Hanya terlalu sedikit tindakan polis memberkas mereka yang tidak bertanggungjawab ini. Apa yang saya lebih risau adalah betapa diamnya golongan agamawan seperti mufti, ahli akademik agama dan pemimpin Islam lain terutama yang jaguh mempertahankan Melayu dan Islam. Apabila diamnya pemimpin ini maka ia seperti mengiakan ugutan dan amaran tindakan pelampau-pelampau ini. Bukankah ini membuat orang bukan Islam menjadi curiga atau ‘cuak’ untuk berkawan, berdampingan atau mengambil pekerja umat Islam Melayu dan yang lain? Siapa punca Islamofobia ini?

Kes ketiga adalah penggunaan frasa kata ‘musuh-musuh Islam’. Kalau 10 tahun lalu, saya selalu mendengar frasa ini yang dimaksudkan kepada orang Yahudi dan Nasrani di luar negara dalam kes penindasan Palestin, Rohingya dan sebagainya. Tetapi sejak kebelakangan ini frasa kata ‘musuh-musuh Islam’ digunakan terus kepada rakyat Malaysia di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Amboi!! Semua yang tidak dipersetujui akan automatik jadi musuh-musuh Islam. Seorang mufti pernah menggunakan istilah ‘kafir harbi’ kepada sesiapa yang menentang RUU 355 di Parlimen. Maka sebuah seminar di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dibuat untuk menentukan siapa dalam kalangan rakyat Malaysia yang Islam dan bukan Islam boleh atau layak dibunuh kerana isu RUU 355 ini.

melayu biadab?

Umat Melayu menjadi umat Islam yang biadab dan tidak sopan kepada kaum lain. Akibat perbuatan Melayu-Melayu ini, kaum-kaum lain memandang serong terhadap Islam. Suatu hari nanti anak-anak Melayu kita tiada siapa nak ambil kerja, tiada Negara yang nak bagi mereka lawati atau mencari rezeki dan tidak ada siapa nak melabur di negara Tanah Melayu. Siapa yang rugi? Adakah orang Melayu fikir semua ini. Ya…memanglah kita sayangkan Islam tetapi pepatah Melayu buat baik berpada-pada. Jangan ekstrem. Nanti kita semua umat Melayu duduk lah dengan Zakir Naik di Malaysia…tidak ada orang teringin pun nak berkawan. Salah siapa tuan-tuan? Islam dihina, diperlekehkan dan ditakuti dan dibenci. Siapa yang menjadi dalangnya? Bagi saya tidak lain dan tidak bukan umat Islam itu sendiri.

Akhir bicara, saya tidak berniat menyalahkan orang Melayu tetapi ingin memesan dan mengingatkan sebelum nasi menjadi bubur dan anak kita yang merana pada masa depan kerana perbuatan kita. Harus muhasabah diri dan kikiskan sifat takbur dan bongkak kononnya kita pejuang Islam sejati.

Maka itu, kalau pun ada Islamofobia, jangan cepat sangat umat Islam tuding jari telunjuk kepada kaum dan penganut ugama lain. Ingat… ada tiga lagi jari yang menuding ke dada sendiri. Betulkan yang biasa dan biasakan yang betul.

PROFESOR DR. MOHD. TAJUDDIN MOHD. RASDI ialah pensyarah seni bina.