Namun demikian baru-baru ini Malaysia didatangi oleh ‘satu’ lagi Sophia yang turut serta dalam persidangan teknologi maklumat di ibu negara. Berbeza dengan pelbagai Sophia yang dikenali sebelum ini, kali ini Sophia yang ditampilkan bukannya manusia tetapi tidak bernyawa atau roh. Sophia adalah robot ciptaan manusia. Ia dibawa masuk untuk ditonton bagi menunjukkan betapa teknologi robot sudah begitu maju hasil ciptaan kecerdasan manusia. Sehinggakan Sophia kini dikatakan mampu berbicara sendiri dengan air muka dan gerak mata serta bibir yang seakan-akan manusia bernyawa. Malah Sophia boleh dibawa berbual dengan sesiapa sahaja dalam bahasa Inggeris.

Yang anehnya Sophia adalah warga negara Arab Saudi. Ia adalah robot pertama yang diberikan kerakyatan. Namun ia tidak pandai berbahasa Arab apatah lagi tidak berhijab yang diwajibkan kepada semua wanita Muslim. Persoalan ini walaupun nampak remeh tetapi mempunyai implikasi besar dalam memastikan dan meneliti impak teknologi ke atas nilai serta norma sedia ada amalan masyarakat semasa. Dan ini adalah satu persoalan yang tidak banyak dibicarakan di khalayak umum sedangkan teknologi saban hari terus menyelinap ke dalam kehidupan kita sama ada disedari atau tidak. Contohnya, telefon bimbit. Ramai yang tidak mampu berenggang dengan peranti tersebut baik untuk sehari pun malah beberapa jam dalam sehari. Seolah-olah pengguna alat tersebut telah dicandui dan berupaya menganjak tabii manusia.

Begitu juga hal apabila Sophia, warga Arab Saudi yang tidak dikenakan hijab. Adakah ini satu lagi anjakan ataupun cabaran kepada norma serta nilai yang selama ini menjadi amalan di negara tersebut? Tolak sebelah dahulu hukum-hakam dari segi keagamaan. Maksudnya adakah teknologi dibiarkan begitu sahaja menulari sesuatu pendapat walaupun tidak selaras dengan adab manusia sejagat? Contoh yang paling meruncing melibatkan soal hubungan keluarga dan kesejahteraan rumah tangga. Berapa kerapkah kedudukannya diganggu gugat oleh teknologi sehingga makna berkeluarga itu tidak lagi membawa maksud mendalam, kalaupun tidak luntur sama sekali? Sedangkan kita sedia akui dan maklum bahawa keluarga itu adalah satu-satunya unit terpenting dalam memupuk masyarakat, hatta nilai, budaya dan tamadun keseluruhannya. Kini kita biasa mendengar bagaimana perceraian dipermudahkan oleh teknologi.

Oleh itu, walaupun kedatangan Sophia diraikan dari segi kemajuan teknologi tinggi terkini, kehadirannya juga menjadi kegusaran dari segi pembangunan insaniah itu sendiri. Soalan pokoknya, adakah teknologi akan mengatasi keinsanan sehingga manusia menjadi ‘abdi’ kepada mesin ciptaannya sendiri? Bukan sebaliknya. Oleh itu natijah dari hakikat ini amat berat sekali, yakni manusia akan hilang erti kemanusiaannya jika kita tidak berhati-hati.

Malah besar kemungkinan lebih mirip kepada sebuah mesin ala robot yang tiada roh ataupun adab. Ini sudah pun terjadi dan sering diperhatikan dalam pelbagai gelagat masyarakat dan media sosial kebelakangkan ini. Rata-rata tidak berhati perut sama sekali. Ia seolah satu tontonan adegan wayang fiksyen sains ganas seperti Terminator, Transformers dan sebagainya. Malah ini adalah antara urutan teknologi autonomi yang kini banyak diperkasakan bukan sahaja terhad kepada kenderaan seperti kereta dan dron. Soldadu ala robot juga sudah banyak diuji dan dicuba secara sulit.

Kesimpulannya, wajah-wajah yang tidak bernyawa umpama Sophia adalah isyarat apa yang mendatang hasil ciptaan kecerdasan otak manusia. Tanpa manusia, robot bernama Sophia tidak akan wujud sama sekali. Oleh itu amatlah malang jika setelah terwujudnya robot, manusia tidak berupaya mengawalnya, bagai hantu raya tidak bertuan. Sebaliknya manusia pula yang dirobotkan bagai hantu raya melawan tuan.

Maka soalannya, apakah manusia mampu bertahan daripada Sophia dan konco-konconya? Semuanya ini terpulanglah kepada kita, betapa berjayanya kita mendalami teknologi dan memanusiawikannya.

PROFESOR TAN SRI DR. DZULKIFLI ABDUL RAZAK ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).