Lebih membimbangkan apabila sisa bahan kimia berbahaya itu yang pada mulanya hanya ditemui di sungai tersebut telah berinteraksi dengan air dan melepaskan gas kimia berbahaya di udara tanpa disedari penduduk setempat.

Berikutan insiden ini, banyak pihak mempersoalkan mengapa kerajaan tidak mengisytiharkan perintah darurat dan kenapa tindakan pembersihan lewat dilakukan. Bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung bencana kimia ini wartawan Mingguan Malaysia, SHARAIMEI SHAIK

 

AHMEDULLAH bersama jurugambar, MOHD. NAJIB MOHD. NOR menemu bual felo penyelidik utama institut alam sekitar dan pembangunan (Lestari) Universiti kebangsaan malaysia (UKM), PROF. EMERITUS DATUK DR. IBRAHIM KOMOO baru-baru ini.

MINGGUAN: Bagaimana pencemaran sisa toksik boleh berlaku sehingga menjadi sangat serius seperti ini?

Ibrahim: Salah satu bencana alam sekitar adalah bencana kimia, sebelum ini kita pernah mendengar istilah bencana banjir, tanah runtuh dan lain-lain yang terjadi apabila proses manusia berinteraksi dengan alam sekitar sehingga menyebabkan kemudaratan. Bencana kimia pula bukan satu perkara baharu tetapi telah menjadi isu besar di beberapa negara membangun lain terutamanya berkaitan kerosakan yang berlaku kepada tanah dan air apabila kandungan bahan kimia bertoksik menyebabkan tanah menjadi beracun dan memberi kesan kepada tumbuh-tumbuhan dan orang ramai.

Bencana ini boleh diatasi tetapi disebabkan jumlah kos mengurus yang sangat tinggi sehingga boleh mencecah angka bilion menyebabkan perkara ini diabaikan.bagaimanapun di negara maju peraturan yang ditetapkan sangat ketat dan tempat tercemar perlu dipulihkan segera.

Terdapat tiga kerosakan yang boleh disebabkan oleh bahan kimia kepada alam sekitar iaitu tanah, air dan udara. Dalam kes pencemaran di Pasir Gudang bahan kimia bertoksik ini berada di udara. Sebelum ini kita berpengalaman menguruskan pencemaran sisa toksik dalam air sama ada melibatkan kepakaran dalam atau luar negara tetapi pencemaran di udara berada di luar dugaan dan kawalan, ini disebabkan pertama kali berlaku.

Malahan, ketika kali pertama kejadian ini dilaporkan pekerja pembersihan hanya fikir untuk membersihkan bahan kimia yang dibuang tanpa menyedari bahan kimia ini telah meresap ke udara sehingga akhirnya menyebabkan kerja-kerja pembersihan terhenti dan lebih 70 orang menerima kesannya.

Pada pendapat saya, ketika kejadian hari pertama lagi ia sudah dikira bencana alam sekitar sebab melibatkan satu angka yang ramai, kalau bencana tanah runtuh walaupun hanya melibatkan dua atau tiga mangsa ia sudah pun dikira sebagai bencana.

Kejadian ini jelas sebagai satu bencana tetapi isu yang berlaku mungkin ini pengalaman pertama, jadi mungkin mereka tidak mengambil serius atau tiada pengetahuan untuk mengambil tindakan susulan sehingga menyebabkan insiden kali kedua pula berlaku dan melibatkan lebih banyak mangsa kemudian baharulah pihak berkenaan berasa panik dan memikirkan perkara yang patut dilakukan.

Bencana ini melibatkan banyak mangsa, adakah perlu perintah darurat dikeluarkan?

Ibrahim: Pada saya ini bukan darurat tetapi hendak guna istilah darurat pun boleh cuma ia membawa implikasi berbeza yang mana selalunya apabila disebut darurat kita perlu duduk di rumah kerana terdapat faktor luaran tetapi apabila melibatkan pencemaran udara, ia boleh meresap masuk ke dalam rumah.

Isunya sekarang mengenai kepe­katan bahan kimia apabila berada di udara dan sejauh mana ia tersebar. Berikutan itu, paling penting kawa­san terkesan ditutup kepada orang awam dan mereka perlu dipindahkan, kemudian semua jalan masuk perlu ditutup dan dikawal ketat oleh pihak keselamatan pada radius tertentu sama ada satu atau dua kilometer atau pun bergantung kepada tahap mana seriusnya pencemaran ini berlaku.

Bagaimana pula tempoh masa untuk menutup kawasan ini kepada orang awam?

Ibrahim: Kadang-kadang mengambil masa dua atau tiga hari sahaja, kadang-kadang boleh jadi satu atau dua bulan tetapi kadang-kadang boleh menjangkau sampai satu atau dua tahun. Apa pun, yang paling penting sekarang seluruh kawasan terjejas perlu ditutup.

Selain itu, tindakan ini juga tidak boleh dibuat secara persendirian sepatutnya satu arahan jelas oleh pihak berkuasa perlu dikeluarkan seperti tidak membenarkan masuk ke kawasan kawalan, segera melakukan pemindahan dan tidak membenarkan mana-mana individu tinggal di kawasan tersebut biar pun atas alasan bimbang rumah diceroboh dan lain-lain.

Kemudian, pihak berkuasa perlu pastikan kawasan ini bebas daripada bencana sepenuhnya bagi menjaga keselamatan awam, selepas semuanya selamat pihak berkuasa tempatan perlu isytiharkan kawasan ini selamat dan membenarkan penduduk pulang semula.

Jika bencana tanah runtuh boleh dilihat secara fizikal bagaimana pula dengan bencana disebabkan pencemaran di udara, bagaimana untuk membuat pengukuran?

Ibrahim: Dalam kes ini, kalau kita tidak mempunyai maklumat kita perlu guna pendekatan berhati-hati, namun begitu, dengan maklumat dan data awal kita boleh mengetahui sama ada bahan kimia yang berada di udara ini boleh memudaratkan orang awam atau tidak.

Berhubung luas kawasan yang perlu berwaspada pula, ia sepatutnya diputuskan oleh kerajaan dengan nasihat Jabatan Alam Sekitar (JAS) berasaskan situasi dan maklumat yang ada, misalnya, katakan bahan kimia bertoksik ini dibawa oleh air ke selatan atau lebih jauh, jadi kawasan yang perlu diberi perhatian adalah di mana bahan kimia ini dibawa oleh air dan luas radius ini patut dijadikan kawasan larangan kepada semua orang awam.

KONTRAKTOR yang dilantik dan pasukan khas pengurusan bahan bahaya melakukan kerja-kerja pembersihan
KONTRAKTOR yang dilantik dan pasukan khas pengurusan bahan bahaya melakukan kerja-kerja pembersihan sisa kimia akibat pencemaran bahan toksik, di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor kelmarin.  UTUSAN/FARID JANUDIN

Kerajaan menyebut bencana ini masih berada pada tahap dua yang dikategorikan bukan bencana besar, adakah tahap ini mempunyai kesan berbeza terutamanya kepada mangsa yang terdedah secara langsung?

Ibrahim: Biar apa pun tahap yang digunakan kalau sudah melebihi 4,000 orang yang terkesan, ini adalah bencana yang sangat serius dan tidak boleh lagi dianggap mudah, perhatian segera perlu diberikan supaya keselamatan awam didahulukan berbanding faktor lain. Sebenarnya ramai yang tidak sedar bencana kimia ini kesannya bukan hanya jangka pendek, kebanyakannya meli­batkan jangka panjang yang boleh mempengaruhi organ dalaman badan, menyebabkan kanser dan penyakit lain. Jika tahap keracunan toksiknya tinggi kemungkinan kematian boleh berlaku.

Apa yang perlu kerajaan lakukan terhadap mangsa yang telah terdedah dengan bahan kimia berbahaya ini?

Ibrahim: Kerajaan perlu mengambil tindakan untuk membuat semakan dan saringan kesihatan secara berterusan antara enam bulan hingga satu tahun untuk melihat kesannya, perkara ini penting sebab kesan jangka panjang hanya boleh dilihat dalam masa panjang dan hanya boleh dilihat jika semua mangsa yang terdedah membuat pemeriksaan secara berkala.

Ada pihak menyamakan pencemaran ini sama seperti kebocoran mini nuklear, adakah benar dakwaan ini?

Ibrahim: Saya tidak melihat pencemaran ini seperti mini nuklear sebab pencemaran janakuasa nuklear disebabkan oleh radiasi bahan radioaktif, biarpun pencemaran bahan kimia berbahaya ini juga boleh memberi kesan kepada organ badan, impak disebabkan radiasi berbeza dengan impak bahan kimia.

Bagaimanapun, kita berharap pihak bertanggungjawab perlu memberi perhatian serius, terutamanya terhadap kesan jangka masa pendek dan panjang terhadap orang ramai, sebolehnya kita berharap impak ini hanya untuk jangka masa pendek.

Orang ramai melihat kerajaan seperti kelam kabut menguruskan bencana ini, mengapa ini berlaku?

Ibrahim: Pencemaran bahan kimia dan pembuangan bahan kimia ke sungai adalah perkara biasa, jika berkait dengan air mereka sudah mempunyai pengalaman dan prosedur operasi standard (SOP) dengan mengambil air dan membuat pengukuran mengenai tahap pencemaran air berkenaan.

Malah, perkara ini juga yang menjadi tanggapan awal mereka ketika melakukan kerja pembersihan dengan tanpa menyedari wujudnya pembebasan gas ke udara hasil daripada bahan kimia yang telah berinteraksi dengan air.

Apabila bahan kimia ini masuk ke dalam udara ia terus berkembang dengan pantas, menjadi bertambah buruk pula apabila bahan kimia ini telah larut dalam air sungai dan bergerak dalam jarak berkilo-kilometer. Ini yang kita tiada pengalaman untuk tanganinya.

Bagaimanapun, dalam mana-mana standard peraturan pun, apabila berlaku bencana alam sekitar kita patut tutup seluruh kawasan ini dan arahkan pemindahan segera berdasarkan jarak dan radius yang munasabah.

Bangi 15 mac 2019-Temubual bersama Felo Penyelidik Utama Institut
DR. IBRAHIM KOMOO

Ada pihak berpandangan sisa toksik boleh hilang tanpa perlu usaha pembersihan dilakukan, benarkah tanggapan ini?

Ibrahim: Sisa toksik tidak boleh hilang sebaliknya boleh tersebar, kalau di tanah mungkin tahapnya tidak besar iaitu dalam lingkungan 10 hingga 30 meter sahaja, tetapi jika masuk ke dalam sungai ia boleh tersebar beberapa hari sahaja. Perkara ini sama seperti pencemaran udara, ia tersebar dengan lebih pantas dan melibatkan jarak yang luas dalam beberapa jam sahaja.

Berapa lama diperlukan untuk membersihkan sungai yang dicemari sisa toksik?

Ibrahim: Sukar hendak menyatakan tempoh masa perkara ini boleh diselesaikan sebab isunya sangat teknikal. Bagaimana bahan itu dibuang dan bercampur ke dalam air akan menentukan bagaimana kerja pembersihan ini perlu dilakukan. Contohnya, jika sedikit bahan yang dibuang maka kuranglah bahan kimia yang berinteraksi dengan air, dan kawasan yang perlu dibersihkan pun hanya melibatkan kawasan kecil.

Tetapi jika sudah masuk ke dalam air dan bergerak sampai ke muara Sungai Kim Kim, tidak banyak benda yang boleh dilakukan kecuali pantau sehingga had kepekatannya tidak memudaratkan. Jika masih jumpa sisa tong bahan toksik, pihak berkenaan perlu mengambilnya untuk dilupuskan.

Selain itu, pengambilan sampel tanah dan pasir juga perlu dilakukan, jika masih tinggi kandungan toksik ia perlu dibuang.

Adakah perlu proses pembenihan awan bagi menghasilkan hujan tiruan?

Ibrahim: Tidak perlu, hanya perlu pemantauan jika terdapat kawasan yang mempunyai kepekatan yang tinggi dan kena halang orang awam daripada menghampiri kawasan ini sehingga disahkan selamat.

Benarkah dakwaan jika duduk di rumah dan menjauhi kawasan terdedah boleh elak daripada terkena pencemaran ini?

Ibrahim: Pencemaran udara tidak boleh dibendung dengan duduk di dalam rumah, kuantiti pencemaran akan masuk dalam rumah, mungkin ia sedikit berkurangan berbanding di luar tetapi tetap boleh masuk, jadi apabila berlaku pencemaran bahan kimia ke udara berlaku tindakan duduk di dalam rumah adalah tidak sesuai.

Cara terbaik adalah tentukan kawasan yang selamat dan tidak selamat kemudian berpindah sementara sehingga keadaan selamat.

Isu pembuangan sisa toksik dilihat sering berlaku, adakah disebabkan tiada tempat untuk menguruskan sisa toksik atau disebabkan kelemahan undang-undang?

Ibrahim: Di Malaysia ada syarikat yang menguruskan sisa toksik tetapi mungkin kos yang tinggi menyebabkan pihak tidak bertanggungjawab ini lebih sanggup membuangnya ke dalam sungai ataupun sebagainya biar pun berhadapan risiko ditangkap.

Situasi ini memperlihatkan betapa kecilnya pesalah ini melihat kesalahan yang dibuat terhadap alam sekitar. Sehubungan itu, sudah tiba masanya bukan sahaja hukuman di atas kesalahan ini perlu ditingkatkan tetapi lebih daripada itu, kalau pencemaran ini memudaratkan orang awam sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan, hukuman ini perlu dibaca bersama akta di bawah kanun keseksaan.

Ini kerana apabila mereka membuang sisa toksik ia bukan hanya kesalahan kepada alam sekitar tetapi ia juga menyebabkan keselamatan awam.

Persoalan lain sekarang ialah apakah undang-undang yang ada jika mangsa ini meninggal dunia? Jadi sudah sampai masa peraturan alam sekitar dibuat melibatkan dua komponen iaitu yang pertama kesalahan kerana mencemar alam dan kedua, kesannya masyarakat.

Sekarang mereka tidak takut sebab hukuman tidak tinggi dan mampu membayarnya. Jika di negara maju bukan sahaja dikenakan hukuman tinggi tetapi wujudnya kesedaran dan tanggungjawab daripada syarikat untuk tidak melakukan kesalahan ini, tetapi di Malaysia perkara ini tidak berlaku.

Apakah pengajaran yang boleh diambil pada masa hadapan?

Ibrahim: Kita sudah bergerak dengan baik dalam konteks menjaga pencemaran alam sekitar khususnya pencemaran bahan-bahan buangan bukan toksik seperti sampah sarap dan lain-lain, tetapi kita belum bergerak dengan baik dalam menguruskan bahan kimia bertoksik, Malaysia perlu memberi perhatian yang serius kerana industri sudah menjadi semakin meningkat dan jumlah penggunaan bahan kimia juga sangat tinggi.

Bahan kimia boleh menyebabkan keracunan dan impaknya berbeza-beza antara setiap bahan kimia, jadi satu kitaran menjaga keselamatan awam terhadap bencana kimia perlu diberi perhatian serius.

Kitaran ini bermaksud semua bahan kimia yang masuk ke dalam negara perlu dicatat, diklasifikasikan dan bagaimana penggunaan sehingga proses pembuangan, dengan hanya cara ini kerajaan boleh tahu bagaimana bahan kimia diproses.

Proses ini telah dilakukan di negara-negara maju tetapi di Malaysia kita masih belum lakukan kerana beranggapan keadaan pencemaran bahan kimia bertoksik masih belum mencapai tahap berbahaya.

Bagaimanapun, kejadian yang berlaku di Pasir Gudang menunjukkan perkara ini sangat serius, ia bukan sahaja mencemar tanah dan air tetapi juga udara.

Biar apa pun tahap yang digunakan kalau sudah melebihi 4,000 orang yang terkesan, ini bencana yang sangat serius dan tidak boleh lagi dianggap mudah, perhatian segera perlu diberikan supaya keselamatan awam didahulukan berbanding faktor lain.