Gelaran itu diberi selepas imej ekspresi unik wajahnya yang cuba memberi senyuman sopan tetapi dalam keadaan yang tidak selesa malah kelihatan canggung, tular di negara itu.

Pelbagai ekspresi wajah Gavin yang unik telah digunakan secara meluas dalam media sosial China sebagai emoji dan imej format saling tukar grafik (GIFs) animasi.

Malah ketika akaun media sosial Sina Weibo miliknya dilancarkan pada 12 Julai tahun lalu, dia memperoleh lebih sejuta pengikut dalam tempoh sejam dan empat bulan kemudian jumlahnya bertambah dua kali ganda.

Imej wajahnya digunakan sebanyak 10 juta kali sehari di seluruh China menerusi pelbagai platform media sosial, kata Ann Ding pengasas Dongtu.com, pengedar utama GIFs atas talian kepada CNN.

Beliau menganggarkan secara keseluruhan GIFs berkaitan Gavin yang digunakan dalam semua platform di negara itu meningkat satu bilion.

Walaupun peminatnya di China tidak mengetahui nama Gavin tetapi ‘meme’ GIFs miliknya tular secara meluas dalam media sosial terutama WeChat, aplikasi mesej paling besar di China yang digunakan hampir satu bilion orang.

Senyuman palsunya berjaya menawan hati berjuta-juta pengguna internet China terutama golongan millennial atau generasi Y yang banyak menggunakan `meme’ Gavin bertujuan mengelakkan ketidakselesaan semasa berbual dalam internet.

Dikatakan golongan ini amat payah untuk mengeluarkan kata-kata negatif jika seseorang itu mengeluarkan kata-kata yang memalukan atau berada dalam keadaan tidak selesa, justeru GIFs Gavin digunakan untuk menunjukkan sikap sopan dan positif dalam keadaan terpaksa.

Cai Qianyi, 39, yang bertugas dalam industri media berkata, dia sering menggunakan GIFs Gavin ketika berbual dalam internet selepas menerima GIFs itu yang dihantar menerusi WeChat.

“Saya menyimpan GIFs itu untuk digunakan apabila berbual kerana sangat sesuai untuk meluahkan pendirian saya,’’ katanya.

Kata penuntut sebuah kolej di Beijing, Leo Li, 21, `senyuman palsu’ Gavin membantunya menyatakan perasaan tidak selesa terhadap rakan atau mereka yang menyatakan sesuatu yang memalukan tetapi pada masa sama dapat menjaga air muka mereka.

Katanya, ‘senyuman terpaksa tetapi sopan’ Gavin amat berguna sebagai `pelincir sosial’.

Menurut Ding pula, senyuman Gavin mempamerkan emosi jujur dan sesuai dengan penduduk China yang memerlukan cara untuk meluahkan ketidakselesaan secara sopan selain digunakan bagi mengajuk diri sendiri.

Kanak-kanak lelaki itu mula terkenal selepas bapa saudaranya, Nick Mastodon memuat naik video dalam Vine pada 2014 yang memaparkan reaksi gementar Gavin ketika seekor cicak Gecko merayap di atas kepalanya.

Video itu pantas tular dan menjadi perhatian pengguna internet di AS namun lebih popular di China.

Sementara itu Gavin berkata, dia dan Mastodon mengambil banyak swafoto dan video bersama malah keluarganya beranggapan dia seorang yang `cool’ kerana mempunyai ramai peminat dalam internet.

Buat masa ini menurut kanak-kanak itu, dia sedang menikmati `kemasyhurannya’ di China.

Ini kerana populariti Gavin bukan setakat dalam alam maya tetapi dia telah mencipta jenama tersendiri apabila ada syarikat China yang `menjual’ ekspresi wajahnya.

Pada tahun lalu, Gavin menjadi jemputan pada Persidangan Tencent Global Partner dan menandatangani kontrak membenarkan syarikat internet China, Tencent, memaparkan videonya dalam aplikasi video pendek, Yoo.

Pada masa sama, sebuah syarikat rekaan China dibenar­kan menjual baju T dan sarung telefon bimbit serta pelekat yang memaparkan ekspresi wajah Gavin melalui laman sesawang beli-belah, Taobao.

Tidak seperti individu lain yang popular selepas diviralkan, Gavin mempunyai kumpulan pengurusannya sendiri yang kemudian memutuskan dia perlu menghargai peminatnya justeru dia ‘terbang’ ke China.

Tahun lalu kanak-kanak lelaki itu mengadakan pertemuan dengan peminatnya di Beijing dan Chengdu, wilayah Sichuan serta Nanjing, wilayah Jiangsu malah pertemuan itu turut menghasilkan banyak `meme’ Gavin memakai pakaian tradisional Cina dan beraksi di hadapan tempat-tempat bersejarah dan menarik negara berkenaan.

Namun ramai beranggapan bahawa populariti Gavin tidak akan kekal lama kerana aksi comelnya akan hilang apabila meningkat dewasa.

Walau bagaimanapun, ejen yang menguruskan Gavin, Byron Austen Ashley berkata, pihaknya mempersiapkan beberapa strategi untuk memaparkan `personaliti menarik’ apabila dia meningkat dewasa.

Pihaknya juga telah memastikan agar Gavin merasa seronok dalam setiap projek yang disusun dan dapat menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain.

“Impian Gavin adalah untuk menjadi YouTuber dan nampaknya dia sedang mengikut laluan yang betul,’’ kata Ashley.