PENGGUNAAN cermin berwarna dan gerbang tajam pada hujung mihrab Masjid Sultan Suleiman mempunyai kesamaan rapat dengan dinding apse serta tingkap rose gereja.

Umat Islam amat sayang kepada Islam sehingga perbuatan menjaga ‘kesucian’ Islam menjadi suatu aspek yang dalam banyak hal merosak hubungan antara kaum dan agama serta menggagalkan agenda pembinaan negara-bangsa.

Maka itu, dalam artikel ini saya akan menunjukkan kepada golongan Muslim Melayu konservatif betapa di Malaysia sendiri kita mempunyai contoh secukupnya dalam membuktikan Islam sebagai agama ‘liberal’ dan ‘progresif’. Masa kini, dalam khutbah-khutbah Jumaat yang saya dengar selalu didendangkan bahawa musuh Islam adalah Yahudi, Nasrani, LGBT, orang minum arak, Syiah, Muslim liberal, progresif dan moderat.

KUIL CINA

Aspek senibina pertama adalah tentang bahasa senibina. Kalau kita melihat masjid-masjid tradisional Melayu seperti Masjid Kampung Tuan di Terengganu, Masjid Kampung Laut di Kelantan dan Masjid Kampung Hulu di Melaka, bentuk bumbung piramid bertingkat menjadi imej ikonik senibina Islam di Malaysia. Senibina Masjid sebegini wujud juga di Indonesia seperti pada Masjid Demak. Persoalan yang menarik adalah mengapa masjid-masjid tradisional Melayu menggunakan gaya rupa sebegini yang mirip seperti senibina kuil Cina yang bertingkat atau senibina pagoda?

Ada beberapa teori oleh cendekiawan senibina yang cuba memberi penjelasan. Tidak ada satu pun dari penjelasan ini yang boleh menjadi ‘fakta kukuh’ sejarah. Walau apa sekalipun teori-teorinya satu fakta yang tidak boleh dielakkan adalah bumbung masjid tradisional ini mirip senibina kuil Cina. Tambahan pula jika diamati Masjid Kampung Hulu di Melaka, perabung bumbung dibuat dari konkrit atau simen bercampur pasir dan dibentukkan secara awan larat serta berekor seperti ‘naga’. Ciri ini amat jelas pada perabung bumbung kuil-kuil seperti kuil lama Cheng Hoon Teng di Melaka yang duduk bersebelahan. Umat Islam Melayu dulu rupanya lebih liberal dan progresif dengan mengolah masjid yang tidak mengikut bahasa senibina kubah tempurung atau kubah bawang seperti Makam Taj Mahal di India.

Aspek senibina kedua adalah penggunaan bahasa senibina English Victorian (atau ada yang menyebut neoklassikal) pada Masjid Abu Bakar dan Masjid Pasir Pelangi yang kedua-duanya di Johor. Saya amat gemar menunjukkan senibina masjid yang tidak berkubah ini dalam ceramah saya untuk membuktikan bahawa bahasa senibina Eropah yang digunakan membina istana, villa, gereja dan bangunan institusi digunakan juga untuk senibna masjid.

Sebelum ada yang mengkritik mengatakan bahawa kedua-dua masjid itu dibina dalam penjajahan British, sila lihat juga senibina neoklassikal Eropah pada Istana Johor yang lama yang kini berfungsi sebagai muzium. Bagi saya ini satu contoh lagi aspek liberalism Islam yang membuka kelapangan fikiran dan jiwa untuk mengambil bahasa senibina penjajah sebagai senibina masjid.

Dalam membicarakan tentang gaya rupa behasa senibina lagi, kita harus melihat kepada masjid-masjid ‘progresif’ tahun 60-an seperti Masjid Negara dan Masjid Negeri, Negeri Sembilan. Kedua-dua masjid tidak menggunakan bahasa kubah tempurung kelapa atau kubah hemisfera. Masjid Negara menggunakan sistem bumbungan plat terlipat manakala Masjid Negeri, Negeri Sembilan menggunakan sistem bumbungan kelompang konkrit konoid bersilang.

 

GURDWARA

Arkitek Masjid Negara dimulakan oleh dua orang ‘mat saleh’ bukan Islam. Masjid Negeri, Negeri Sembilan direkabentuk oleh Firma MAC atau Malayan Architects Co-Pertnership, firma arkitek tempatan pertama yang membintangkan tiga tokoh arkitek nasional, Datuk Lim Chong Keat, Mendiang Chen Voon Fee dan Arkitek William Lim, kesemuanya rakyat Malaysia bukan Islam. Bukankah ini suatu contoh ‘progresif’ dan ‘liberal’? Masa kini dalam banyak ceramah umum saya pada rakyat Malaysia terdapat rungutan yang saya dengar dari rakan-rakan kaum Sikh di mana mereka memberitahu bahawa pembinaan Gurdwara mereka tidak boleh menggunakan kubah kerana kubah adalah khusus hanya untuk masjid. Saya amat terpegun melihat bagaimana aspek liberal dan progresif senibina masjid boleh menjadi kolot dan regresif oleh jabatan agama dan majlis perbandaran masa kini.

Sekarang saya nak cakap pasal Masjid Sultan Suleiman di Klang. Masjid ini direka mirip seperti sebuah cathedral atau Gereja Besar. Pertama, bentuk pelannya adalah cruciform atau seperti palang salib. Gereja-gereja Eropah 1,000 tahun yang lalu memang banyak menggunakan tipologi pelan cruciform ini sehinggalah Gereja Hagia Sophia.

Bahasa senibina yang digunakan mirip senibina Gothic yang digunakan dalam pembinaan cathedral Eropah zaman kurun ke 10 Masihi. Penggunaan cermin berwarna dan gerbang tajam pada hujung mihrab mempunyai kesamaan rapat dengan dinding apse serta tingkap rose gereja.

Di tampak luar, menara-menara rendah dan tinggi mirip kepada butress columns atau tiang bersagang dalam Senibina Gothic gereja. Islam sebenarnya ‘adik beradik’ dengan penganut Nasrani dan Yahudi kerana kesemua kitab-kitab ugama ini dihormati dalam al-Quran sendiri.

Saya juga mendapati aspek perpaduan dalam pembinaan masjid awal merdeka dari aspek dana pembinaan. Telah dirakamkan dalam sejarah bahawa dana pembinaan Masjid Negara dan Masjid Negeri, Negeri Sembilan telah ditubuhkan di atas derma rakyat dan perbelanjaan yang agak besar adalah derma rakyat bukan Islam! Rakyat bukan Islam amat sayang kepada Malaysia sehinggakan yang Buddha, yang Kristian, yang Sikh, yang Hindu dan yang Tao kesemuanya menyumbang wang keringat komuniti mereka untuk kebaikan bersama dan demi perpaduan sejagat.

PENGKHIANAT

Sekarang saya nak tanya orang-orang Melayu; pernahkah orang Melayu menderma wang untuk pembinaan gereja, kuil atau Gurdwara...demi perpaduan? Saya amat pasti kalau ini berlaku, penuh WhatsApp dengan maki-hamun orang Melayu yang menuduh si penderma sebagai pengkhianat Melayu dan Islam. Maka itu sifat perpaduan kita masa kini telah menjunam teruk dari tahun 60-an zaman ‘a-go-go’ Allahyarham P. Ramlee!

Akhir sekali adalah aspek aktiviti masjid. Dalam kajian saya tentang masjid sebagai pusat perpaduan, Masjid Saidina Abu Bakar di Bangsar mencerminkan sifat perpaduan Malaysia yang jitu. Bukan sahaja pihak pengurusan membenarkan penggunaan kemudahan seperti parking dan tandas kepada masyarakat umum, ia juga mengundang masyarakat Cina bagi merayakan Tahun Baru Cina. Sifat aktiviti inklusif ini menjadi tauladan penting kepada semua pengurusan masjid dalam negara ini bagi lebih mesra kepada semua rakyat dan bukan menjadikan masjid sebagai ‘kelab Muslim Sunni’ semata-mata.

Di luar negara seperti Britain, Amerika, Australia dan banyak lagi masjid telah mengorak langkah yang lebih jauh dalam sifat inklusif ini serta merapat perpaduan dalam suasana Islam yang lebih terbuka dan liberal serta progresif. Aspek-aspek yang telah saya tunjukkan dan coretkan dalam artikel ini mengharapkan agar terbukanya minda umat Melayu Islam kepada fahaman Sunnah yang lebih lapang dan terbuka berbanding pandangan puak-puak ustaz yang rasis dan sempit serta berpolitik ekstremis.

PROFESOR DR. MOHD. TAJUDDIN MOHD. RASDI ialah pensyarah senibina.