Beberapa perkara perlu dijelaskan terlebih dahulu. Pertama, bukanlah kebiasaan saya mengkritik pendapat seseorang. Saya menulis rencana mengenai sesuatu isu, termasuklah yang dibangkitkan oleh seseorang. Tujuan saya adalah untuk memberi pandangan dan hujah-hujah saya mengenainya, bukan untuk berbahas. Sebab itulah saya tidak membalas respons terhadap tulisan saya itu.

Saya fikir saya perlu menulis rencana ini kerana perkara tersebut telah dikatakan oleh seorang profesor kanan dan semestinya diterima oleh pembaca tanpa soal, terutama sekali jika tiada tulisan lain yang memberikan pandangan berlainan dengan hujah-hujah menyokongnya. Ini dapat dilihat daripada komen-komen pembaca berita itu. Maka sekurang-kurangnya rencana ini akan memberi pendapat dan hujah-hujah di sebaliknya untuk ditimbang oleh pembaca dan membuat keputusan sendiri.

Kedua, saya sedar adalah agak berbahaya menulis berdasarkan berita yang disiarkan oleh akhbar-akhbar, apatah akhbar-akhbar internet. Kerapkali wartawan-wartawan itu hanya akan melaporkan sesuatu aspek yang boleh disensasikan sebagai berita, memberi gambaran tidak tepat malah salah sama sekali. Saya harap perkara itu tidak berlaku di sini.

Ketiga, saya menulis dalam bahasa Melayu bukan kerana saya tidak boleh menulis dalam bahasa Inggeris. Sebabnya ini adalah mengenai perpaduan rakyat dan lebih ramai rakyat Malaysia boleh membaca dan memahami bahasa Melayu daripada bahasa Inggeris. Lagi pula bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan. Maka janganlah ada pula yang mengatakan saya rasis kerana berbuat demikian.

Oleh sebab berita itu tidak terlalu panjang dan untuk membolehkan pembaca menilai kedua-dua pendapat dan hujah-hujah kami, saya akan memperturunkan terjemahannya:

“‘Di Sarawak, orang duduk bersama, ada yang makan babi, yang tidak makan babi tidak menempuhnya’ - pakar menghentam orang Semenanjung yang rasis yang cuba ‘membawa masuk’ racism ke dalam negerinya, kata profesor.

PETALING JAYA - Seorang ahli akademik dari Sarawak mengatakan Semenanjung tetap menjadi batu penghalang dalam mencapai perpaduan di Malaysia.

Jayum Jawan yang kini berkhidmat di Jabatan Ekologi Manusia di Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, masalah etnik dan agama sekarang bermula di Semenanjung dan mereka ‘diimport ke Sarawak’.

Beliau berkata, rakyat Sarawak tidak mempunyai masalah dengan agama, sama ada Islam, Kristian atau Buddha.

“Banyak keluarga Sarawak yang berkahwin campur (inter-marry). Mereka meraikan raya dan Krismas. Mereka duduk bersama, sesetengah makan babi.

“Mereka yang tidak makan daging babi tidak menyentuhnya.”

Jawan bercakap dalam forum bertajuk Adakah kita lebih bersatu sebagai sebuah negara selepas GE14 yang dianjurkan oleh Universiti Taylor.

Beliau berkata, adalah juga satu norma bagi gerai beroperasi di bawah satu bumbung menjual daging babi, makanan India dan nasi lemak.

Tetapi beliau memberi amaran bahawa Sarawak menghadapi masalah kerana ia mengimport isu-isu perkauman dari Semenanjung, sambil menambah bahawa “jika anda ingin membawa masalah anda ke sini, anda tidak dialu-alukan (di Sarawak).”

Beliau berkata terdapat juga pengagihan (distribution) kerja yang adil antara Melanau, Bidayuh, Melayu, Iban dan Cina.

Walau bagaimanapun, Jawan berkata perkara sama tidak boleh dikatakan mengenai pengagihan pekerjaan dalam perkhidmatan awam di Semenanjung.

Sebagai contoh, beliau berkata, pengarah dalam Kementerian Pendidikan yang membincangkan dasar dan membawanya kepada menteri, kebanyakannya terdiri daripada satu kaum.

Beliau berkata, terdapat kira-kira 30 pengarah.

“Berapa banyak orang India? Hanya satu. Itu adalah tiga tahun lalu ketika saya melakukan profil. Tetapi selama dua tahun yang lalu, tidak ada. Cina? Zero,” katanya.

Beliau berkata, beliau mengambil Kementerian Pendidikan sebagai contoh tetapi ia hampir senario yang sama di kementerian lain.

Jawan bertanya bagaimana para pengarah akan memahami keperluan dan aspirasi Iban atau kaum India.

Beliau berkata orang yang menjalankan pentadbiran kerajaan mesti memahami keperluan rakyat Malaysia dan bukan hanya satu komunitii - (terjemahan saya).

Nampaknya, bagi Jayum, perpaduan wujud apabila semua orang daripada pelbagai bangsa dan agama dapat duduk semeja. Ada yang makan babi, ada yang makan tosai dan ada yang makan nasi lemak di sebuah gerai yang menjual semua makanan itu. Jika hujah itu dilanjutkan, maka jika semua kaum di Malaysia boleh duduk semeja, sama-sama memakan babi, lembu, monyet, landak dan biawak, maka tahap perpaduan adalah lebih tinggi!

Saya katakan bahawa itu bukanlah ukuran perpaduan. Perpaduan antara kaum tidak menghendaki setiap kaum itu membuang suruhan dan tegahan agamanya, membuang budayanya dan sensitivitinya. Apa yang diperlukan ialah mereka sama-sama menghormati hak setiap kaum seperti yang telah dipersetujui dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan; tidak menuntut hak yang telah dipersetujui diberi kepada kaum lain; tidak curiga-mencurigai; tidak bermusuhan antara satu sama lain; menghormati agama, budaya dan perasaan sensitiviti kaum-kaum lain; taat setia kepada negara; menghormati dasar kebangsaan dan institusi negara; bersama-sama berusaha untuk membina dan memajukan negara, dan seterusnya.

Orang Islam bukan sahaja diharamkan memakan babi. Babi juga adalah najis yang paling berat. Tertempuh atau terkena pun memerlukan dibasuh anggota atau pakaian yang terkena itu sebanyak tujuh kali, termasuk sekali dengan air tanah. Kebanyakan orang bukan Islam tidak mengetahui konsep suci. Mereka hanya tahu konsep bersih.

Maka orang Islam mengelak kemungkinan tertempuh atau terkena bahan makanan yang mengandungi babi pada dirinya atau pakaiannya, seperti kuah sup kaki babi yang mungkin tertumpah di atas meja. Lagi pula, orang Islam umumnya merasa jijik melihat makanan yang berasaskan babi (dan juga monyet, landak, tenggiling, biawak dan lain-lain binatang yang haram dimakan) menyebabkan mereka merasa loya untuk menelan makanan mereka sendiri, apatah lagi jika ia dimakan di hadapannya.

Perbezaan ini sangat ketara jika dibandingkan dengan orang Cina. Sebagai misalan, orang Islam diharam memakan babi. Kerana itu dan kerana mereka merasa jijik, mereka tidak mereka-reka untuk memasak makanan yang menyerupai dari segi rupanya dan rasanya dengan makanan yang diperbuat daripada babi untuk dimakan.

Sebaliknya pada Bulan Hantu, apabila penganut-penganut agama berkenaan memakan sayur-sayuran untuk nasib baik, wujudlah gerai-gerai menjual makanan yang diperbuat daripada sayur-sayuran menyerupai makanan yang dielakkan itu dari segi rupa dan rasanya. Maka diketengahkanlah makanan-makanan yang menyerupai makanan yang diperbuat daripada ikan, udang, sotong, itik, ayam, lembu dan lain-lain. Lagi lebih ia menyerupai makanan asal yang dielakkan itu, lagi istimewa dan lagi mahallah makanan itu.

Bayangkan, sebuah restoran menjual makanan menyerupai makanan yang diperbuat daripada babi atau nasinya dikepal menyerupai seekor babi untuk dimakan orang Islam yang kempunan kerana diharam memakan babi! Mungkinkah mereka akan menyerbu restoran itu untuk menikmatinya dan membayar harga yang lebih mahal daripada biasa?

Itu tahap sensitiviti orang Islam terhadap makanan yang diharamkan.

Atas alasan yang sama, orang Islam juga tidak selesa untuk masuk ke rumah orang bukan Islam yang memelihara anjing di dalam rumah dan duduk di atas sofa yang ditiduri oleh anjing itu, apatah lagi jika ia datang menggesel-gesel dan menjilat kaki pelawat itu.

Semua itu perlu difahami dan dihormati. Mereka bukan menolak perpaduan.

Jika ada orang Islam di Sarawak, malah di Semenanjung yang tidak merasa jijik, malah yang makan babi, itu hal individu, ia tidak kena mengena dengan tahap perpaduan masyarakat mereka.

Mungkin tahap sensitiviti itu kurang dalam kalangan orang Islam di Sarawak daripada orang Islam di Semenanjung, terutama sekali sebelum penubuhan Malaysia. Itu adalah kerana berlainan daripada di Sarawak, terutama sekali di bahagian Utara dan Pantai Timur Semenanjung, terdapat banyak ulama tersohor dan sekolah-sekolah pondok dan sekolah Arab yang mengeluarkan beratus-ratus orang ‘lebai’ dan ‘ustaz’ yang menjadi imam di setiap kampung dan ‘pakar rujuk’ di kampung berkenaan.

Maka tidak hairanlah jika umumnya, orang Islam di Semenanjung terutama sekali sebelum penubuhan Malaysia, lebih mendalami hukum syarak dan lebih warak daripada orang Islam di Sarawak. Warak bukan bererti extremist. Warak adalah cuba menjalani penghidupan mengikut hukum syarak dan semangatnya (the spirit of the law).

Sebagai misalan, seorang yang warak tentu tidak mahu masuk (walaupun masuk) ke dalam restoran yang tergantung daging babi bakar di hadapannya. (Mungkin seorang sami Buddha dan seorang paderi Kristian juga tidak mahu dilihat dalam kelab malam. Rasionalnya sama. Salahkah jika beliau bersikap demikian? Perlukah beliau membuangkan amalan itu demi untuk perpaduan? Salahkah jika umumnya, orang Islam di Semenanjung lebih warak daripada orang Islam di Sarawak, terutama sekali sebelum penubuhan Malaysia?

Orang Islam di Semenanjung tidak pernah berniat untuk ‘mengimport’ masuk ‘Islam ala-Semenanjung’ ke Sarawak (sebenarnya tidak ada Islam ala-Semenanjung atau Islam ala-Sarawak). Tiada siapa pernah terfikir demikian. Jika dalam masa setengah abad selepas penubuhan Malaysia, orang Sarawak juga turut menerima manfaat daripada kemakmuran dan kemajuan Malaysia dan turut mengikuti siaran-siaran agama melalui radio dan televisyen Malaysia, menyebabkan mereka lebih mendalami Islam dan hukum syarak dan oleh itu, cuba menjalani penghidupan mereka yang lebih warak. Patutkah orang Islam di Semenanjung dituduh cuba mengimport Islam ala-Semenanjung ke Sarawak?

(Satu misalan perbezaan dan kemajuan orang Islam Sarawak yang ketara semenjak penubuhan Malaysia ialah berkenaan bacaan al-Quran. Ini dapat diperhatikan daripada mutu bacaan qari dan qariah Sarawak dalam majlis tilawah al-Quran di peringkat kebangsaan. Di peringkat awal, mutu bacaan mereka agak rendah berbanding peserta-peserta Semenanjung, terutama sekali dari bahagian Utara dan Pantai Timur. Malah dari segi lagu pun, mereka menggunakan lagu berzanji. Sekarang mutu bacaan mereka menyamai qari dan qariah daripada Semenanjung.)

Mungkin dihujahkan bahawa pengimportan itu dilakukan melalui penghantaran ustaz-ustaz untuk mengajar mata pelajaran agama Islam di sekolah-sekolah kebangsaan di Sarawak. Perlu diingati bahawa agama Islam adalah mata pelajaran bagi silibus sekolah kebangsaan di seluruh Malaysia, bukan hanya di Sarawak dan ia untuk pelajar-pelajar Islam. Adakah itu pun hendak dibantah oleh orang bukan Islam?

Maka, adalah tidak adil menuduh orang Islam Semenanjung ‘mengimport isu-isu perkauman’ dari Semenanjung. Mengklasifikasikan perkara ini sebagai isu perkauman dan menuduh orang Melayu rasis adalah amalan biasa ahli-ahli politik bukan Melayu selepas Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan. Nampaknya, ahli akademik pun sudah bercakap seperti orang politik.

Beliau juga dengan sombong memberi amaran “jika anda ingin membawa masalah anda ke sini, anda tidak dialu-alukan (di Sarawak)”.

Kepada beliau saya bertanya: Adakah beliau telah pun mengimport ‘Islam ala-Sarawak’ ke Semenanjung untuk diajar kepada pelajar-pelajarnya di Universiti Putra Malaysia? Bagaimana jika dikatakan, jika beliau berbuat demikian, beliau juga tidak dialu-alukan di sini? Tetapi, kita tidak berkata demikian kepadanya, jika tidak beliau tidak boleh berada pada kedudukannya sekarang.

Beliau seterusnya mempersoalkan mengenai pengagihan pekerjaan dalam perkhidmatan awam di Semenanjung. Sebagai misalan, terdapat kira-kira 30 pengarah dalam Kementerian Pendidikan, kebanyakannya terdiri daripada satu kaum, maksudnya Melayu. Seorang Cina pun tidak ada, katanya.

Saya akui, saya tidak mempunyai fakta yang cukup untuk menjawab tuduhan ini. Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran dan Jabatan Perkhidmatan Awam tentu lebih sesuai menjawab tuduhan ini.

Saya terima fakta yang diberinya. Tetapi, kita tidak sepatutnya hanya melihat kepada angka tanpa mengkaji sebabnya. Berapa orang pelajar Cina yang berminat mengambil kursus pendidikan di universiti-universiti kita? Hakikatnya, mereka menolak sistem pelajaran kebangsaan; tidak mahu memasuki sekolah kebangsaan; belajar di sekolah-sekolah Cina; mengambil Peperiksaan Gabungan Sekolah Menengah Persendirian Cina (UEC); tidak sanggup mengajar di sekolah-sekolah kebangsaan apatah lagi di luar bandar dan di pedalaman. Jika mereka tidak sanggup memulai kerjaya mereka sedemikian, dari mana hendak diambil calon-calon yang kanan dalam kementerian untuk mengisi jawatan-jawatan itu? Adakah ahli-ahli politik berbangsa Cina akan dilantik semata-mata untuk mengisi jawatan-jawatan itu dengan orang Cina?

Mengenai tuduhan itu, saya akan berhenti di sini. Saya harap pihak yang lebih tahu dalam hal ini akan menjelaskan perkara ini supaya orang ramai mengetahui hal yang sebenar. Jika tidak, apa yang dikatakan oleh Jayum itu akan diterima bulat-bulat yang memberi gambaran kerajaan Barisan Nasional adalah rasis. Sebenarnya, itulah yang hendak dikatakan pun.

Satu faktor yang menjadi penghalang utama perpaduan negara yang Jayum tidak dilaporkan menyebut ialah kewujudan sekolah-sekolah Cina. Dari kecil hingga keluar sekolah, seorang pelajar Cina tidak bergaul dengan pelajar bangsa lain. Mereka membesar dalam ‘persekitaran Cina’, rakan sedarjahnya Cina, gurunya Cina (apabila kerajaan menghantar guru penolong kanan bukan Cina, ia ditentang), bahasa pengantar Cina, peperiksaan lain daripada di sekolah kebangsaan, sijilnya lain (tetapi mereka menuntut supaya ia diiktiraf sama seperti Sijil Pelajaran Malaysia). Pendek kata, mereka mahu kekal berlainan, tetapi menikmati faedah yang sama. Mereka mahu untung di kedua-dua belah.

Maka tidak hairanlah jika, setelah keluar sekolah, mereka tidak berminat menyertai pasukan beruniform; mereka menghina bendera Malaysia; mereka menghina agama Islam; mereka menghina Yang di-Pertuan Agong dan lain-lain lagi.

Itu adalah penghalang utama perpaduan Malaysia.

Mungkin dihujahkan bahawa pelajar-pelajar Melayu yang belajar di sekolah-sekolah kebangsaan juga tidak bergaul dengan pelajar-pelajar Cina. Itu bukan salah mereka. Mereka berada di sekolah kebangsaan yang pelajar-pelajar Cina itu sepatutnya belajar, tetapi ibu bapa mereka enggan menghantar mereka ke sekolah kebangsaan itu. Yang menggagalkan peluang mereka bergaul adalah orang Cina.

TUN ABDUL HAMID MOHAMAD ialah bekas Ketua Hakim Negara.

petikan 1: “PERPADUAN antara kaum tidak menghendaki setiap kaum itu membuang suruhan dan tegahan agamanya, membuang budayanya dan sensitivitinya. Apa yang diperlukan ialah mereka sama-sama menghormati hak setiap kaum seperti yang telah dipersetujui dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan

petikan 2: Mungkin tahap sensitiviti itu kurang dalam kalangan orang Islam di Sarawak daripada orang Islam di Semenanjung, terutama sekali sebelum penubuhan Malaysia.