Berpijak di bumi kita sendiri kali ini, kita bertanya apa yang kita pelajari dari kolonialisme ke atas kita selama 446 tahun oleh Portugis, Belanda dan British, sejak 1511 hingga 1957.

CLIFFORD datang ke tanah Melayu pada 1883 ketika berusia 17 tahun dan berjaya menundukkan negeri-neg
Cli fford datang ke Tanah Melayu pada 1883 ketika berusia 17 tahun dan berjaya menundukkan negeri-negeri Melayu pada usia 21 tahun. – GAMBAR MEDIA SOSIAl 

Apa yang berlaku di era Portugis dan Belanda sangat sut tetapi apa yang British lakukan sejak awal abad ke-19 hingga kita merdeka mempunyai kesannya sehingga hari ini. Kesan fizikalnya, seperti jalan raya, jalan kereta api dan laluan laut dibuat dan diperkemaskannya. Sejarah kemudahan pengangkutan ialah untuk mengangkut bahan-bahan perdagangan dan industri kepentingan kolonialisme.

Kapal kuasa wap menggantikan kapal pakai layar. Kuda digantikan kereta api yang kemudiannya bergandingan dengan kereta motor. Tidak cukup begitu, kapal terbang pula dicipta. Dunia dianggap menjadi lebih kecil kerana kemudahan pengangkutan. Perjalanan setahun menjadi sebulan sedangkan yang sebulan menjadi 10 jam.

Implikasinya ialah semakin cepat kolonialis British tiba di sini dari London. Koloni-koloni Gibraltar, Mesir, Yemen hingga ke India berupa tangga-tangga ke sini. British dengan gah yang begitu rupa menyedarkan sesiapa saja golongan pemerintah di Tanah Melayu.

Justeru sebelum abad ke 19 berakhir, British telah membelai Tanah Melayu melalui entiti Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-Negeri Melayu yang dilindungi British. Suka tidak suka, begitu ramai pegawai British berada di sana sini dari utara ke selatan dan dari barat ke timur. Apa saja jawatan yang disandang, tugas mereka ialah memberi nasihat kepada pihak berkuasa. Dan nasihat itu mesti diikuti.

Bagi mereka yang sebaya dengan saya, satu perkara yang terawal dipelajari di sekolah Inggeris ialah menyanyi lagu kebangsaan British, God Save The King. Bila King George VI meninggal, lagu itu digantikan dengan God Save The Queen, sesuai dengan penggantinya, Queen Elizabeth ll.

Dipendekkan cerita, British meletakkan di sini dua orang kolonialis terbesar pada 70 tahun terakhir kolonolismenya. Mereka ialah Sir Frank Swettenham dan Sir Hugh Clifford. Kedua-duanya memulakan kerjayanya di sini sehingga menjadi Gabenor dan Pesuruhjaya Tinggi.

Antara berdua itu, Clifford mencapai lebih kebesaran. Beliau pada awal abad 20 dihantar menjadi Penolong Gabenor di Trinidad. Kemudiannya sebagai Gabenor di Sri Lanka, Nigeria dan Ghana. Beliau ditukarkan semula ke Tanah Melayu pada 1927.

Swettenham ialah penggubal Perjanjian Pangkor 1874. Beliau kemudiannya menjadi Residen Perak sebelum dinaikkan pangkat sebagai Ketua Residen (Residen-General) pada 1896. Di jawatan itu beliau mendirikan bangunan Carcosa yang terkenal itu sebagai kediamannya. Beliau menjadi Gabenor Tanah Melayu menjelang abad ke 20.

Swettenham berusia 20 tahun apabila datang ke sini pada 1870. Clifford melangkah ke sini pada usia 17 pada 1883. Diplomasi Clifford pada usia 21 tahun telah membawa kejayaan apabila sebuah negeri Melayu yang ‘degil’ akhirnya menyusuri negeri-negeri Melayu yang lain di bawah kolonialisme British.

Dalam prosesnya, dua sekolah dinamakan Clifford School; sebuah di Kuala Kangsar, Perak dan sebuah lagi di Kuala Lipis, Pahang, selain daripada tambatan Clifford Quay di Singapura. Swettenham pula, namanya disempenakan pada Port Swettenham, kini dipanggil Pelabuhan Klang sejak 50 tahun dulu.

Itu sejarah garis kasar. Sejarah, kata George Santayana (1963-1952), seorang ahli falsafah Sepanyol, boleh melaknatkan kita jika kita lupa padanya. Tentunya. Apakah sejarah kolonialisme British yang mengajar kita? Banyak. Perincian sejarah kolonialisme sangat luas pengajarannya. Namun begitu, paling kurang orang mengetahui sejarah British di sini.

Apabila saya membuat filem sejarah kolonialisme yang bersulam asmara di sekitar dua tokoh kolonialis itu, timbul kebimbangan terhadap sambutannya, sebab para penonton dipercayai kurang tahu sejarah British di sini. Namun begitu, filem-filem hantu dan cinta yang nipis-nipisan pastinya tidak mampu menaikkan mutu perfileman Malaysia seperti misi kerajaan melalui Finas.

Pengalaman Hollywood, Pinewood, Bollywood, Jepun dan lain-lain membuktikan filem-filem periode sejarah mampu mencapai keagungan. Filem-filem Patton; McArthur, Titanic, Shakespeare In Love, The King’s Speech, A Beautiful Mind dan 12 Years A Slave adalah antara yang dimaksudkan. Justeru jika sejarah bertulis jadi terasing, filem sejarah pula patut mampu berfungsi sewajarnya, selaras dengan kata-kata bistari Santayana itu.

TAN SRI ADAM KADIR ialah bekas Ahli Kabinet dan Presiden Senat.