Zaman yang mana perbuatan seks songsang semakin diterima oleh segelintir masyarakat terutama dalam kalangan pejuang-pejuang LGBT atas nama hak asasi.

Oleh itu tidak hairanlah ada individu yang tidak segan silu mengaku yang dia adalah gay kerana baginya itu adalah hak asasi yang tidak boleh dipersoalkan oleh sesiapa. Inilah antara fenomena yang sedang berlaku.

Apatah lagi terdapatnya pertubuhan-pertubuhan tertentu yang bermati-matian membela golongan LGBT ini selain beberapa pihak-pihak yang dikatakan begitu ‘lunak’ dengan mereka.

Lebih malang lagi apabila perbuatan jijik dan berlawanan fitrah itu cuba digambarkan sebagai satu bentuk perbuatan yang berhak dilakukan oleh sesiapa tanpa rasa bersalah meskipun dalam Kanun Keseksaan hubungan sejenis (liwat) adalah satu bentuk kesalahan jenayah.

Paling menyedihkan lagi apabila mereka yang terlibat dalam hubungan sejenis ini rata-ratanya terdiri daripada orang Islam meskipun agama mengharamkan perbuatan keji dan jijik itu seperti yang pernah menjadi amalan umat Nabi Lut satu ketika dahulu sehingga Allah menurunkan bala ke atas mereka.

Isu LGBT ini wajib diketengahkan memandangkan segala yang berkaitan dengan hubungan sejenis adalah racun cukup berbahaya yang boleh memusnahkan negara jika ia tidak ditangani dengan berkesan.

Selain meruntuhkan dan memecah belahkan struktur masyarakat, hubungan sejenis terutama liwat juga boleh menyebabkan berlakunya penularan HIV dan Aids. Adakah ini yang kita mahukan? Mahu tidak mahu semua pihak perlu berganding bahu membanterasnya, daripada pihak kerajaan sehinggalah ke peringkat ibu bapa.

Isu ini tidak boleh dipandang sebelah mata kerana kesannya terhadap negara amat buruk. Keruntuhan organisasi masyarakat dan penularan penyakit Aids yang sehingga kini tiada penawar adalah sesuatu yang amat menakutkan.

Sudah pasti negara akan berkecamuk. Perkahwinan sejenis mendapat tempat dalam masyarakat manakala zuriat keturunan bukan sesuatu yang dianggap penting. Penghidap Aids dan pembawa HIV pula meningkat saban tahun

Justeru, satu gerakan besar-besaran menangani isu LGBT wajar dilakukan segera sebelum Malaysia ditimpa satu bencana yang tidak terfikir dek akal. Jangan nanti di saat itu baru kita hendak menyesal. Sehubungan itu mana-mana individu terutama berstatus VIP yang menyokong gerakan LGBT ini hendaklah disingkirkan kerana kedudukan mereka itu boleh mempengaruhi rakyat.

Termasuk juga jika ada yang terlibat dengan aktiviti keji itu. Malaysia tidak boleh menerima mereka yang tidak bermoral dan tidak berakhlak. Malaysia adalah sebuah negara Islam yang berpegang teguh dengan nilai-nilai akhlak, moral, adab dan etika.

Setakat hari ini Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad cukup konsisten dalam menyatakan pendirian kerajaan terhadap isu LGBT. Ketika melawat London 18 Jun lalu, Dr. Mahathir berkata, Malaysia tidak akan mengalah kepada sebarang tekanan untuk menerima amalan songsang dalam kalangan rakyat negara ini terutama yang melibatkan LGBT.

Sehubungan itu istilah ‘ikan bawal putih’, ‘ikan bawal hitam’, ‘ikan cencaru’, ‘cuci kawah’ dan ‘cuci karpet’ yang cukup terkenal dalam kalangan gay hendaklah dibuang jauh-jauh. Istilah-istilah yang merosakkan struktur masyarakat ini hanya akan mengundang padah kepada negara jika perbuatan keji ini dibiarkan berlarutan tanpa sebarang usaha pembanterasan.