Memang benar isu nilai hantaran tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada sebuah perkahwinan. Sebab yang penting hanya bagi mas kahwin tu. Ada setengah mak ayah tu siap minta puluh-puluh ribu macam nak jual anak pula. Tak patut la macam tu kan. Kenapa kita nak susahkan lelaki yang nak kahwin dengan anak kita. Nasib baik ada yang mahu. Kalau tak, jadi andartu la sampai ke tua.

 

Tetapi kalau kita lihat sisi positif pasal demand wang hantaran ni, mungkin boleh dijadikan ukuran untuk menunjukkan tahap keseriusan lelaki itu nak kahwin. Kalau dari awal dah ada kesungguhan untuk mencari ‘duit’ untuk membina keluarga, jadi tidak mustahil selepas kahwin dia tidak akan abaikan soal nafkah untuk isteri dan anak-anak.

Perkara ini ada asasnya. Bukan apa, kalau sebelum kahwin pun dah liat nak keluarkan duit, pergi dating pun si perempuan kena payung, gamaknya selepas kahwin, isteri lah yang banyak keluar duit. Bukan sahaja nafkah, makan pakai laki pun isteri pula kena tanggung. Si suami hanya duduk goyang kaki di rumah, si isteri pula yang keluar mencari rezeki.

Banyak dah kes penceraian berlaku kerana masalah kewangan. Mengikut rekod Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), masalah kewangan menjadi antara punca 11,860 permohonan cerai yang difailkan pada tahun lalu. Ada satu kajian yang dijalankan oleh ahli akademik juga mendapati golongan yang berpendapatan rendah merupakan golongan yang teramai bercerai. Boleh dikatakan semuanya kerana duit disebabkan si suami tidak tahu tanggungjawab.

Bila dah bercerai pun satu hal. Bekas suami tetap culas nak bayar nafkah kepada bekas isteri dan anak-anak. Mengikut statistik pendaftaran kes ingkar perintah nafkah di mahkamah syariah juga menunjukkan sebanyak 2,699 kes telah didaftarkan di 14 negeri untuk tahun 2017.

Mungkin dia fikir selepas bercerai terlepas ‘bebanan’ itu kot kononnya tak perlu lagi tanggung anak bini. Jadi eloklah kalau kerajaan nak mewujudkan Mahkamah Nafkah untuk mengambil tindakan ke atas suami yang liat dalam membayar nafkah kepada bekas isteri. Kita juga mengalu-alukan mekanisme untuk mengenakan tindakan lebih tegas termasuk sekatan bank terhadap lelaki yang liat memberi nafkah kepada bekas isteri dan anak.

Jadi, jangan salahkan perempuan demand macam-macam sebelum kahwin. Sebab selepas kahwin kita tak tahu apa nasib perempuan tu jika dapat lelaki yang liat nak keluar duit.