Waktu abang hensem muda-muda dulu, sekitar umur 20-an dan 30-an, hampir separuh Eropah, beberapa negara Arab serta tiga negeri di negara Uncle Sam sudah abang hensem singgah. Itu belum lagi Afghanistan, Australia, Afrika Selatan, Pakistan dan Hong Kong.

Bukan melancong atau bercuti ya, tapi memenuhi tuntutan kerja. Benarlah orang kata, banyak berjalan, luas pengalaman.

Walaupun banyak foto kenangan, cenderamata dan kemanisan yang dikutip, ia tak sama dengan satu perkara ini yang ingin sangat abang hensem bawa balik ke tanah air Malaysia tercinta ini - etika dalam kehidupan seharian.

Begitupun, nilai-nilai murni ini hanya abang hensem peroleh dari kunjungan ke negara-negara Barat.

Dalam kunjungan awal ke Vienna, Austria pada lewat 90-an, abang hensem (yang tidaklah tua sangat sebenar­nya) terdetik juga, apa hal lah dia orang ni (penduduk di sana) sopan sangat. Ini sehinggakan rajin kosongkan dulang selepas makan di McDonald dan KFC.

Hanya selepas silih berganti negara-negara yang abang hensem kunjungi dari Asia Barat ke Eropah, masuk ke Amerika Syarikat, singgah di Afrika, pengalaman berkelana sebentar itu yang kebiasaannya antara lima ke lapan hari (kecuali di Mekah dan Madinah sehingga 54 hari pada 2014), tanpa disedari membentuk budi pekerti abang hensem (eh! Bukan masuk bakul angkat sendiri ya).

Maksud abang hensem adalah abang hensem tak gemar orang memekik, mencerca orang lain, apa lagi menghina atau lebih teruk lagi mencarut. Hisss! Memang tak bolehlah.

Waktu sekitar awal tahun 2000 ketika abang hensem ke Australia, abang hensem teruja dengan budi bahasa pemandu basnya yang cukup-cukup sopan. Boleh pula menyapa abang hensem yang melangkah masuk dengan ramah, bertanyakan dari negara mana. Bukan dia seorang sahaja, beberapa pemandu bas di Perth pun begitu juga.

Eh! Benar, abang hensem rindukan suasana beretika begitu di negara ini. Tapi dalam banyak keadaan tidak pula tercapai.

Abang hensem impikan di pusat beli-belah, pengunjung­nya berdiri di sebelah kiri eskalator. Suka sangat kalau sesiapa sabar tunggu orang keluar dari kereta api atau lif sebelum masuk.

Kawan abang hensem, James Cheng Haik San di Petaling Jaya kata, dia akan berhenti bercakap bahasa Cina dengan adiknya apabila terdapat orang Melayu lalu di sebelahnya. Tanya abang hensem, kenapa? Kata Haik San, dia nak belajar jadi toleran. Wah! Ganda 25, kata abang hensem membuatkan Haik San terpinga-pinga.

Tak tahulah, nak kata abang hensem ni perfectionist tak juga. Tapi abang suka soal-soal kualiti. Biasanya kalau bab membeli, abang hensem gemar beli satu barang sahaja. Kalau seluar tu, biarlah yang selesa dan ada jenama. Dapat satu pun sudah cukup. Pakai hampir dua tiga tahun.

Itu sebabnya kalau tiba bab makan di restoran mamak atau restoran Cina Muslim, abang hensem akan perhatikan dulu tahap kebersihan premis. Kalau nampak mantap, sebelah kaki tak sedar dah melangkah masuk. Kalau air minuman, khususnya Nescafe tarik umpp tanpa ‘ketirisan’ susu atau bahan pemanisnya, itu sudah abang hensem boleh buat jangkaan awal ayam goreng, ikan atau kuah karinya mesti yang terbaik juga.

Itu belum lagi kalau abang hensem singgah di tandasnya. Kalau tandasnya bersih tahap kelas hotel, wah! Itu sudah bonus untuk abang hensem berkunjung lagi seterusnya.

Ya, abang hensem rindukan orang yang bercakap baik-baik. Jiran yang bertolak ansur. Tidak memasang kanopi di luar rumah sehingga mengganggu laluan kenderaan jiran. Tidak mengumpat orang lain sehinggakan terdetik dalam diri sendiri ‘dia ni tak mustahil akan umpat aku juga’.

Abang hensem sukalah dengar bila orang mengungkapkan terima kasih atau silalah. Atau perokok yang berhenti sekejap merokok apabila menyedari orang perempuan lalu di sebelahnya. Dan kenderaan yang berhenti untuk pejalan kaki di jalan raya. Sukalah.

Juga, yang abang hensem respek habis apabila ada sebilangan cybertrooper parti-parti politik yang saling bertelagah masa kempen pilihan raya umum sebulan lalu, memberi ucapan tahniah kepada pemenang. Tapi tak ramai berbuat demikian. Bahkan, lebih teruk lagi gemar melemparkan ayat-ayat berbaur sinikal dan ‘pulang paku buah keras’. Eh! Relaks lah bro, macamlah anda yang menang. Perasan.

Abang hensem gemar buat perbandingan waktu berkelana memenuhi tuntutan kerja dulu. Ya, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, elok lagi di negeri sendirikan?

Tapi kalau boleh, meminjam sekejap istilah Malaysia baharu ini, elok juga dicuba etika-etika yang abang hensem ngomel tadi. Tapi janganlah sehingga naik shehhh sampaikan mengesampingkan bahasa Melayu. Menyanjung bahasa kebangsaan ini juga nilai-nilai murni tau.

Eh! Minggu lepas akak cun ada bangkitkan perihal suami kedekut. Bukan sahaja akak cun yang tolak sikap sebegini, abang hensem pun tumpang semangkuk anti sangat-sangat dengan lelaki yang ada tabiat buruk ini. Apa lagi kalau yang panas baran.

Kalau abang hensem ini perempuan, sayonaralah ja­wab­nya si dia itu.