Biarpun perlu berhadapan dengan risiko yang tinggi, anak jati Kedah ini tidak pernah gentar dan berhenti berkarya bagi menyampaikan mesej kesedaran kepada seluruh masyarakat. Bagaimanapun, sejak tumbangnya kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum (PRU) lalu ada pihak yang mempersoalkan sama ada beliau akan mengkritik kerajaan Pakatan Harapan (PH) atau bersikap sebaliknya.

“Sebagai kartunis saya tetap akan mengkritik pemerintah sekarang dan saya tidak akan memberikan mereka ruang kebebasan untuk melakukan apa sahaja seperti yang dilakukan oleh kerajaan dahulu, itu tanggungjawab kartunis untuk mengkritik dan membetulkan” katanya kepada wartawan Mingguan Malaysia, SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH dan jurugambar MOHD. NAJIB MOHD. NOR ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

MINGGUAN: Bilakah saudara Zunar mula terlibat sebagai kartunis?

ZUNAR: Saya mula melukis sejak kecil. Kartun pertama saya pernah disiarkan dalam majalah kanak-kanak Bambino ketika berumur 12 tahun. Namun begitu, sejak zaman persekolahan saya tidak pernah mengambil subjek sastera atau pun mata pelajaran lukisan sebab saya pelajar aliran sains dari zaman sekolah hingga ke peringkat universiti. Waktu itu ibu bapa saya tidak membenarkan saya mengambil aliran sastera dan menjadi kartunis kerana tiada masa depan.

Bagi mereka lebih baik ambil aliran sains sekurang-kurangnya boleh menjadi doktor atau ahli fizik, meskipun begitu sepanjang tempoh itu saya masih melukis dan menghantar lukisan ke majalah-majalah. Sampai masuk ke sekolah menengah dan universiti saya masih menghantar lukisan-lukisan kartun untuk disiarkan dalam majalah.

Namun begitu, pengajian saya di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Jalan Semarak dalam kursus sains dan pendidikan tidak lama, saya hanya sempat belajar setahun dan tidak lulus kerana tidak mahu ambil peperiksaan.

Selepas itu, saya melakukan pelbagai jenis pekerjaan seperti buruh kontrak, kilang dan sebagainya selama setahun. Biar pun begitu, saya tetap melukis dan menghantar karya untuk disiarkan. Sehinggalah pada 1982 saya mendapat tawaran bekerja di Hospital Universiti sekarang Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebagai juruteknik makmal.

Walaupun bekerja waktu siang, saya masih melukis pada malam hari dan waktu itu juga saya sudah berjinak-jinak dengan majalah Gila-Gila sehingga satu ketika saya ada kolum dalam majalah ini sebagai kolumnis tetap. Ketika itu juga saya dalam dilema sama ada hendak menjadi kartunis atau juruteknik makmal, ini kerana bekerja di hospital kerajaan waktu itu semua sudah terjamin ada pencen dan sebagainya walhal kerjaya sebagai kartunis belum tentu ada kerja lagi dan hanya mempunyai ruangan tetap, bukannya gaji tetap.

Akhirnya apabila semakin banyak kolum yang saya dapat, saya mula berada dalam keadaan dilema untuk memilih yang mana satu, saya tak tahu hendak membuat pilihan. Cuma apabila lebih banyak memberi tumpuan kepada lukisan, fokus saya pada nombor ketika bekerja sebagai juruteknik makmal sudah mula kurang dan saya sudah mula buat kesilapan dalam pengiraan. Saya rasa benda ini tidak sihat dan selalu kena marah dengan bos apabila benda kecil pun saya buat silap.

Saya lihat perkara ini sangat bahaya dan kerana itu saya meletak jawatan dan menjadi kartunis sepenuh masa. Semakin lama saya semakin mendapat tempat di Gila-Gila dan mempunyai empat kolum untuk diri sendiri bagi setiap keluaran. Ketika itu majalah ini diterbitkan sebanyak tiga kali sebulan. Bagaimanapun, waktu itu lukisan saya berbeza dengan orang lain sebab kartun saya lebih berbentuk satira, politik dan kritikan jadi lukisan ini tidak popular masa itu, pembaca Gila-Gila yang rata-ratanya remaja mahukan kartun sebagai hiburan.

Jadi saya agak kecewa masa di Gila-Gila sebab lukisan saya tidak mendapat sambutan daripada pembaca sedangkan teman-teman saya pada masa itu sudah popular dengan kartun masing-masing. Disebabkan kecewa tidak mendapat tempat dan kurang impak, saya kemudiannya mengambil keputusan untuk berhenti daripada Gila-Gila dan mencari satu medium baharu supaya pembaca boleh memahami kartun berbentuk politik, satira dan kritikan.

Selepas itu saya mula menyertai Berita Harian kerana bagi saya pembaca surat khabar faham mengenai isu-isu semasa dan politik tetapi disebabkan banyak suntingan terhadap lukisan kartun saya dan benda tidak boleh dibuat akhirnya saya gagal menyampaikan mesej dengan berkesan. Disebabkan itu akhirnya sekitar 1996 saya mengambil keputusan meletak jawatan dan bersara, dan membuat kerja-kerja lain yang tiada kena mengena dengan kerjaya kartun politik sehinggalah pada 1998 saya kembali pada era reformasi sebagai pelukis.

MINGGUAN: Kenapa begitu lama menghilang?

ZUNAR: Sebab masa itu saya tidak nampak masa depan dan tahun 1998 merupakan come back buat saya sehinggalah sekarang. Pada waktu itu juga orang sudah mula sedar mengenai politik dan orang sudah mula mengkritik pemerintah berbanding waktu sebelum itu.

MINGGUAN: Bagaimana mendapat idea berkarya?

ZUNAR: Kebanyakan idea datang daripada isu-isu semasa tetapi paling penting bagaimana hendak mengolah sesebuah karya itu supaya menjadi sebuah kartun yang berkesan, sebab itu ada lukisan kartun saya yang mengambil masa selama 10 jam hanya untuk membuat homework, itu belum lagi angkat pen untuk melukis.

Pada masa sama, bagi saya kartunis yang bagus mesti ada ilmu pengetahuan bukan saja bakat melukis, pengetahuan dalam semua bidang juga penting misalnya sains, undang-undang negara dan sebagainya.

MINGGUAN: Mengapa memilih melukis kartun menongkah arus?

ZUNAR: Ia dianggap begitu kerana di Malaysia tidak banyak kartunis yang melukis kartun sebegini sedangkan trend mengkritik pemerintah melalui kartun politik sudah meluas di Eropah, Amerika, Indonesia, Thailand dan Filipina malahan ia turut disiarkan dalam surat khabar.

Disebabkan kita tidak ada pendekatan sebegini mereka menganggap ia menongkah arus. Memang betul dalam konteks Malaysia ia menongkah arus tetapi yang penting kita faham mesej yang hendak disampaikan dan saya tidak kisah orang panggil saya dengan gelaran menongkah arus, ini bukan budaya Malaysia dan Asia, suka mencari kontroversi dan lain-lain kerana saya tahu apa yang saya lakukan.

Saya lakukan ini kerana di akhir-akhir pemerintahan BN banyak isu rasuah yang besar berlaku, isu ini penting untuk semua orang tahu dan caranya untuk semua tahu adalah melalui kartun kerana ia mudah untuk disampaikan.

MINGGUAN: Apakah pengalaman yang paling tidak boleh dilupakan?

ZUNAR: Saya pernah ditangkap sebanyak lima kali, buku diharamkan dan pernah dilarang ke luar negara tetapi pengalaman yang paling sukar dilupakan adalah ketika diserang oleh sekumpulan Pemuda UMNO pada 2016 ketika saya membuat pameran di Komtar Pulau Pinang. Waktu itu saya bersama dua orang lagi pembantu diserang oleh 20 hingga 30 orang selama 45 minit di tempat pameran. Biarpun waktu itu ada anggota polis di tempat kejadian, mereka tidak berbuat apa-apa untuk menghalang, bagi saya itu pengalaman yang menakutkan.

MINGGUAN: Sepanjang berkarya lukisan manakah yang paling memberikan impak?

ZUNAR: Sebuah karya saya yang memaparkan bagaimana keadaan kartun di Malaysia, lukisan ini telah membolehkan saya menerima anugerah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan Cartooning for Peace yang disampaikan oleh Presiden Kehormat Swiss Foundation Cartooning for Peace, Kofi Annan tiga tahun lalu. Selepas itu, saya juga diberi peluang untuk mengadakan pameran secara umum di tepi tasik Lac Leman di belakang bangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva.

Impaknya selepas itu saya terus dihalang ke luar negara dan banyak menteri waktu itu antaranya bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang turut mengkritik saya.

MINGGUAN: Pernah mendapat tawaran untuk memasuki arena politik?

ZUNAR: Saya pernah mendapat tawaran untuk bertanding dalam PRU lalu dan diberikan jaminan akan menang tetapi saya cakap saya tidak berminat langsung kerana saya bukan ahli politik. Jika saya masuk politik siapa yang hendak lukis kartun? Pada masa sama, politik juga bukan sifat saya kerana sebagai kartunis kehidupan saya lebih banyak menyendiri dan sensitif berbanding ahli politik yang masanya dihabiskan kepada orang ramai. Sebab itu, saya tidak mahu dan mahu terus menjadi kartunis serta terus menghasilkan kartun-kartun politik di Malaysia. Sekarang siapa yang menghasilkan kartun berbentuk begini? Tiada.

Kalau yang ada ini pun masuk politik juga, tiada lagi kartun sebegini. Walaupun saya boleh terkenal dan mendapat peluang menjadi menteri satu hari nanti tetapi saya percaya tidak semua orang atau pun asal ada nama atau pernah masuk lokap boleh menjadi ahli politik. Itu salah, itu bukan bidang kita kerana kita tidak meletakkan orang yang betul di tempat yang betul.

MINGGUAN: Adakah untuk menjadi pelukis kartun perlu kelakar?

ZUNAR: Saya sebenarnya seorang yang serius, sesiapa yang jumpa saya kalau saya tidak beritahu mereka tidak akan percaya saya seorang kartunis.

Saya percaya seorang kartunis itu tidak perlu lawak tetapi kartunnya yang perlu lawak jadi untuk menjadi seorang kartunis seelok-eloknya orang tidak perlu gelak kepada kartunis tetapi gelak bila tengok kartun dihasilkan.

MINGGUAN: Adakah pendekatan mengkritik kerajaan sebelum ini akan diteruskan kepada kerajaan baharu dengan menggunakan medium kartun?

ZUNAR: Ya, bagi saya salah satu kesalahan rakyat Malaysia yang membuatkan UMNO dan BN boleh memerintah sehingga 61 tahun adalah kerana kita tiada budaya mengkritik. Kita memberi mereka masa terlalu lama kepada kerajaan.

Bagi saya apa yang dikatakan Malaysia Baharu ini bukan melibatkan parti politik baharu tetapi satu perubahan sikap kerajaan. Rakyat jangan berikan kuasa yang besar kepada kerajaan sekarang dan kerajaan akan datang.

Sebagai kartunis saya tetap akan mengkritik pemerintah sekarang dan saya tidak akan memberikan mereka ruang kebebasan untuk melakukan apa sahaja seperti yang dilakukan oleh kerajaan dahulu, itu tanggungjawab kartunis untuk mengkritik dan membetulkan.

Namun begitu, saya juga akan menambah dengan menghasilkan kartun untuk membangunkan semula negara dengan menonjolkan isu-isu berkaitan masyarakat kerana bagi saya bukan semua isu di Malaysia perlu ditonjolkan dari sudut politik sahaja.

MINGGUAN: Dalam tempoh setahun bagaimana prestasi PH?

ZUNAR: Saya bahagi kepada dua perkara, dari segi ekonomi kita harus berlaku adil kepada mereka kerana dahulu rasuah sangat besar dan dijamin oleh kerajaan macam skandal 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), hutang RM42 bilion syarikat ini dijamin oleh kerajaan dahulu dan perlu dibayar oleh kerajaan sekarang.

Dari sudut ekonomi saya boleh memberi mereka sedikit masa tetapi dari segi agenda reformasi saya rasa kerajaan sekarang gagal selepas setahun. Saya bagi contoh dahulu kerajaan gunakan Akta Hasutan untuk menangkap saya di samping itu, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan juga dikenakan terhadap saya. Sehingga kini akta-akta ini masih ada dan belum dihapuskan, sepatutnya akta-akta ini telah dihapuskan sejak hari pertama lagi tanpa perlu menunggu tempoh yang lama untuk dilakukan.

Selain itu, saya juga tidak nampak satu dasar atau hala tuju jelas oleh kerajaan sekarang, saya bagi contoh biar pun betul kerajaan kata mereka masih baharu dan sebagainya tetapi kita hendak lihat perancangan mereka dalam tempoh 10 tahun lagi bagaimana. Seperti isu tol kita faham sekarang ia tidak boleh diturunkan tetapi dalam tempoh 10 tahun lagi adakah ia akan diturunkan?

Isu pendidikan pula, banyak isu yang belum diselesaikan banyak sekolah terbiar dan banyak isu dalaman sekolah melibatkan guru-guru dan kurikulum, mana dasarnya? Apakah yang hendak dibuat dalam tempoh 10 atau 20 tahun lagi, itu yang kita tidak nampak lagi. Sama juga dengan isu ekonomi mana dasarnya?

Bagi saya kerajaan sekarang kurang iltizam politik dan kurang wawasan. Ini yang tidak ada. Sama juga dengan situasi hendak menghapuskan Akta Hasutan, memang diakui ada banyak halangan tetapi kena ada will power untuk lakukannya.

MINGGUAN: Di bawah PH adakah diberikan kebebasan untuk berkarya?

ZUNAR: Secara peribadi saya lihat lebih bebas, semua sekatan termasuk larangan ke luar negara kepada saya ditarik balik, tuduhan terhadap saya di bawah Akta Hasutan juga telah ditarik balik dan buku-buku yang diharamkan turut ditarik balik. Untuk masa sekarang nampak bagus tetapi paling penting saya tidak mahu dengar pandangan atau pun persepsi mengenai seseorang tanpa berpandukan sebarang indikator atau pun penanda aras.

Kebebasan media dan bersuara perlu diberikan ruang yang lebih besar, jadi apakah indikatornya? Macam saya sebut tadi undang-undangnya masih ada seperti Akta Mesin Cetak, Akta Penerbitan, Akta Hasutan dan Akta Rahsia Rasmi yang masih belum dihapuskan, sekarang mungkin kerajaan tidak gunakan lagi tetapi tiada jaminan jika ia tidak akan digunakan di masa hadapan.

Jadi jika indikatornya iaitu akta-akta ini masih belum dihapuskan sebagai langkah permulaan, saya masih mengatakan belum bebas.

MINGGUAN: Pandangan mengenai Tun Dr. Mahathir Mohamad dahulu dan sekarang?

ZUNAR: Saya rasa beliau orang yang sama, cuma dahulu menteri Kabinetnya daripada BN dan sekarang Kabinetnya daripada PH, bezanya dari sudut itu sahaja, peribadinya tetap sama.

Beliau masih memikirkan mengenai pembangunan material seperti membina bangunan, kereta terbang, jambatan bengkok dan kereta nasional ketiga. Saya rasa perkara itu tidak perlu diteruskan dan pada masa sama kita tidak ada satu langkah penghapusan rasuah.

MINGGUAN: Bagaimana pula dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim?

ZUNAR: Dari segi penghapusan rasuah beliau seorang yang jelas, saya bangkitkan bukan mengenai soal rasuah dahulu tetapi rasuah sekarang dan masa akan datang yang rakyat hendak tengok. Saya rasa Anwar boleh lakukannya.

MINGGUAN: Bagaimana pula pandangan terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor yang sering dikritik ketika menghasilkan kartun politik?

ZUNAR: Saya memang hendak mereka dipenjarakan, bukan penjara di atas kesalahan mereka sahaja tetapi sebagai pengajaran kepada pemimpin sekarang dan akan datang. Ini bagus untuk negara kerana kita tidak pernah menangkap pelaku rasuah sebelum ini dan disebabkan itu pemimpin yang datang selepas itu masih melakukan rasuah sebab tiada yang pernah ditangkap.

Dahulu pemimpin yang melakukan rasuah dilindungi, itulah masalah kita jadi jika jelas mereka melakukan rasuah, saya mahu mereka dihukum untuk pengajaran kepada pemimpin akan datang bahawa jika kamu rasuah kamu juga akan dipenjara.

MINGGUAN: Pandangan terhadap UMNO dan BN selepas setahun tewas dalam PRU lalu?

ZUNAR: Dalam konteks UMNO sahaja, sebagai orang luar saya melihat jika Khairy Jamaluddin memimpin UMNO saya percaya UMNO boleh kembali semula.

MINGGUAN: Bagaimana dengan Datuk Seri Mohamad Hasan yang memimpin UMNO sekarang?

ZUNAR: Tak boleh, sebab UMNO perlu berfikir bahawa imej mereka sekarang sangat teruk, mereka perlu melakukan perubahan dan untuk dekat dengan rakyat mereka harus membuang pemikiran lama dengan membawa satu pemikiran baharu dengan memikirkan masa depan orang muda kerana pengundi muda mahukan begitu.

Pengundi muda mereka mahukan benda baharu dan relevan dengan kehidupan sekarang jadi sekiranya UMNO masih membawa agenda lama saya rasa mereka tidak akan diterima lagi oleh pengundi baharu. Mereka harus berubah. - UTUSAN ONLINE