Dalam kesibukan menyelesaikan masalah yang dibebani dari Dr. Mahathir seperti kekecohan politik sejak pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim, kegawatan ekonomi global dan sebagainya, Najib terpaksa menghadapi pelbagai isu artificial yang sengaja diuar-uarkan media pro-pembangkang dan media baharu lebih bebas dan berani mengecam pemerintah tanpa etika asalkan mempunyai nilai sensasi.

Inilah perbezaan zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) di bawah Najib dan Dr. Mahathir yang mempunyai suasana dan cabaran berbeza. Dalam era pemerintahan Dr. Mahathir, politik dan ekonomi kita mantap di mana BN mendapat mandat 2/3 sehinggalah bekas PM itu keluar parti dan membuat panggilan terbuka agar rakyat menggurangkan majoriti BN di bawah Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Alasan Dr. Mahathir untuk mengurangkan mandat BN ke paras bawah 2/3 ialah supaya kerajaan tidak angkuh dan salah guna kuasa, walhal pada zaman pemerintahan Dr. Mahathir telah berlaku salah guna kuasa dan amalan kronisme yang paling ketara.

Cakap tak serupa bikin, pada zaman Dr. Mahathir pula boleh pula beliau mengemis memohon rakyat memberi kerajaan sokongan mandat 2/3 supaya dapat mentadbir negara tanpa diganggu-gugat.

Kasihan Tun Abdullah pula kena menanggung bala kemarahan rakyat terhadap penyalahgunaan kuasa zaman Dr. Mahathir. Ironinya yang menyeru rakyat menghukum salah guna kuasa dan amalan kronisme kerajaan BN zaman Dr. Mahathir ialah beliau sendiri. Yang dihukum dan menanggung ialah kerajaan BN di bawah Tun Abdullah. Itulah ketidakadilan dunia nyata. Orang lain yang berdosa, orang lain pula yang menanggung padah. 
 Itulah keruncingan politik hasil daripada angkara seorang bekas perdana menteri yang sememangnya masih mempunyai pengaruh. Seharusnya kuasa dan pengaruh ini digunakan secara bijaksana dan bertanggungjawab. Sebagai satu pasukan, kita semua berdiri bersama Dr. Mahathir walaupun tidak semestinya bersetuju dengan segala keputusan dan tindakannya.

Itulah amalan disiplin dan semangat demokrasi yang komponen-komponen parti BN amalkan. Dahulunya DAP menghantam MCA kerana akur pada etika politik dan semangat berpasukan di bawah pimpinan Mahathir. Kini DAP pula mengikut telunjuk DR. Mahathir sejak beliau dijadikan Pengerusi Pakatan Harapan secara pintu belakang.

Adakah Dr. Mahathir dipilih oleh ahli melalui pilihan parti atau beliau dijadikan pengerusi setelah ada pakatan politik? DAP pula dilihat makan dedak politik Dr. Mahathir dengan menggadai segala prinsip yang dilaungkan tetapi terpaksa menelan segala tuduhan, dosa dan salah laku Dr. Mahathir sepanjang 22 tahun menerajui negara.

Itulah maruah politik DAP di bawah 'regu' anak-beranak Lim sehinggakan anak mendiang Karpal Singh, Sunjeet Kaur terpaksa menyuarakan bantahan secara terbuka kerana tidak mahu menggadai maruah dan prinsip perjuangan mendiang bapanya.

Menyara hidup

Berbalik kepada isu graduan-graduan yang terpaksa menjadi pemandu Uber atau penjaja nasi lemak, penulis terkilan sikap Dr. Mahathir menghina penjaja nasi lemak dan pemandu Uber sebagai pekerja lapisan bawah yang tidak layak mendapat penghormatan.

Bagi beliau adalah satu penghinaan sekiranya mereka memilih untuk menyara hidup dengan memilih bekerja sebagai pemandu Uber dan penjaja nasi lemak walaupun sebagai kerja sampingan atau sementara.

Apakah graduan yang memakai kereta mewah, bekerja kolar putih tetapi amalkan rasuah, menipu dan sebagainya lebih tinggi martabat dan maruah mereka daripada graduan yang memilih untuk bekerja secara halal dan bersungguh-sungguh untuk menampung diri dan keluarga?

Kita kena terima hakikat bukan semua warganegara mempunyai bapa atau datuk yang juga bekas Perdana Menteri. Bukan semua orang boleh menjadi hampir bankrap semasa kegawatan ekonomi tetapi kemudiannya kembali menjadi antara jutawan terkaya dalam negara.

Nasiblah kalau semua graduan boleh menjadikan Dr. Mahathir sebagai ayahanda atau Godfather tapi kebanyakan kita adalah rakyat marhaen yang tidak mempunyai banyak pilihan.

Sama ada pemandu Uber atau penjaja nasi lemak, kita tetap bermaruah, malah lebih tinggi martabat jika kaya dengan nilai-nilai hidup yang suci dan murni.

Kalaulah kita mahu mencari kesalahan, Dr. Mahathir juga yang harus dipersalahkan kerana gagal merealisasikan Wawasan 2020 dalam masa 22 tahun pemerintahannya.

Yang menanggung kegagalannya ialah penggantinya, Tun Abdullah dan kini Najib Razak. Semasa Dr. Mahathir memerintah, dia boleh merancang dan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan yang mencukupi untuk menanggung pertambahan peluang pendidikan menerusi jumlah universiti yang bertambah.

Namun graduan-graduan itu yang kini bertambah berlipat kali ganda akan menghadapi masalah kurang peluang pekerjaan kalau di zaman Mahathir dahulu tidak iltizam mewujudkan peluang pekerjaan pada kadar setimpal dengan kadar pertambahan graduan.

Ini ibarat hutang ayah yang terpaksa ditanggung anak tetapi ayah pula menyalahkan anak kerana susah mahu menjelaskan hutang ayah.

Kalau kita tenggok di negara-negara maju seperti di Britain atau Australia dan sebagainya, peluang-peluang pekerjaan untuk graduan pun terhad.

Semasa saya berada di Australia, ramai graduan kita juga berkerja sambilan sebagai pelayan kedai makan dan fast food chain. Saya berkesempatan berbual dengan seorang pelayan Cina berkelulusan kejuruteraan tetapi merungut tentang peluang pekerjaan yang terhad di sana.

Di Malaysia, saya masih belum berkesempatan berjumpa seorang yang berkelulusan kejuruteraan untuk bekerja di restoran makanan segera atau menjaja nasi lemak atau menjadi pemandu Uber. Andai kata kalau terjumpa, janganlah kita menghina mereka. Satu hari nanti mana tahu, graduan inilah yang akan menjadi jutawan dan berjaya. Bezanya kejayaan mereka bukanlah hasil daripada bantuan atau pengaruh bapanya!

Respect-lah penjaja Nasi Lemak dan pemandu Uber kita ya!

Penulis adalah Ahli Jawatankuasa Pusat MCA.