Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte menyifatkan kenyataan Dr. Mahathir tersebut mampu mengundang kekeliruan dan keresahan terutama sekali keluarga mangsa penumpang.

Menteri Luar Australia, Marise Payne pula menempelak pendapat Dr. Mahathir dengan menegaskan Canberra menaruh penuh keyakinan integriti siasatan JIT mengaitkan penglibatan Rusia.

Terma tanggungjawab JIT adalah untuk menyiasat dari sudut jenayah dan diwakili lima negara iaitu Australia, Ukraine, Belgium, Malaysia dan diketuai Belanda.

Maka sudah pasti ada pihak sinis dengan pendirian Dr. Mahathir kerana mempertikaikan laporan yang diwakili oleh Malaysia sendiri melalui Peguamcara Negara III, Mohd Hanafiah Zakaria.

Tetapi jika diteliti kenyataan Dr. Mahathir, beliau sebenarnya tidak mempertikaikan maklumat mengenai empat individu dituduh tetapi tidak bersetuju dengan tuduhan penglibatan langsung Rusia.

Ia hanya berasaskan tiga individu itu adalah rakyat Rusia yang mempunyai latar belakang tentera negara tersebut.

Kecurigaan Dr. Mahathir mengenai MH17 yang digunakan sebagai senjata percaturan geopolitik bukan sahaja baharu bermula dari laporan terkini JIT, tetapi sebenarnya Kuala Lumpur telah berasa curiga selang beberapa jam selepas pesawat ditembak jatuh pada 17 Julai 2014.

Kenyataan pertama dari Presiden Amerika Syarikat (AS) pada ketika itu Barack Obama tidak sampai 24 jam selepas MH17 ditembak jatuh menjurus kepada penglibatan Rusia kerana Obama memberi penekanan peluru berpandu BUK adalah milik Rusia.

Beberapa hari selepas itu, Perdana Menteri Britain David Cameron juga senada dengan rumusan bahawa terdapat bukti mengenai penglibatan Rusia. Kuasa besar Barat telah memperguna isu MH17 untuk menghukum Rusia kerana merampas wilayah Crimea beberapa bulan sebelum itu.

Dari hari pertama lagi tindak tanduk Kuala Lumpur sebenarnya jarang selari dengan pendirian dan kehendak kuasa besar Barat.

Umpamanya apabila bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berurusan secara langsung dan memeterai perjanjian dengan ketua pemberontak Donetsk, Alexander Borodai, langkah tersebut merupakan menongkah arus diplomasi lazim antarabangsa.

Perlu ditekankan tindakan Kuala Lumpur walaupun dicemuh pada peringkat awal, telah membuahkan hasil dengan pemberontak memberi laluan kepada penyiasat untuk melawat kawasan terhempas. Hasilnya ialah jenazah mangsa dan kotak hitam pesawat berjaya dibawa keluar.

Asalnya negara ahli JIT tidak termasuk Malaysia dan hanya setelah Kuala Lumpur membuat bantahan, pada November 2014 barulah Malaysia menganggotai pasukan penyiasat ini.

Sememangnya tidak logik Malaysia sebagai negara pemilik pesawat dan rakyatnya menjadi mangsa tidak tersenarai dalam keanggotaan JIT.

Berkemungkinan juga adalah kerana dari awal lagi Kuala Lumpur tidak mahu faktor geopolitik antarabangsa mengaburi usaha untuk mencari kebenaran.

Tetapi anehnya Lembaga Keselamatan Belanda (DSB) yang bertanggungjawab menyiasat dari sudut teknikal telah menjemput Malaysia dari awal untuk menganggotai pasukan penyiasat tersebut.

Menjadi hasrat Kuala Lumpur untuk memberi keadilan sepenuhnya kepada mangsa tragedi dengan tanpa mengira sama ada yang bertanggungjawab itu berasal dari negara kuasa besar atau sebaliknya.

Sebaik-baiknya mereka yang cuba disabitkan bertanggungjawab dengan tragedi MH17 mestilah dari kumpulan hierarki yang tertinggi dalam rantaian arahan sehingga kebenaran diberi untuk melepaskan peluru berpandu BUK.

Tidak dinafikan tragedi MH17 tidak boleh dipisahkan dengan faktor geopolitik terutama sekali yang melibatkan Ukraine kerana faktor pencabulan wilayah Crimea dan pemberontakan di Donetsk yang juga melibatkan pengaruh Rusia dianggap sebagai pemangkin pesawat MH17 ditembak jatuh.

Tetapi faktor geopolitik ini tidak boleh dijadikan asas dan terma rujukan JIT kerana ini akan menjadikan siasatan berat sebelah dan tidak menyeluruh.

Apabila situasi sebegini tercetus maka besar kemungkinan empat individu yang disabitkan dalam laporan JIT walaupun telah melalui proses siasatan diyakini, tetapi apa yang dikhuatiri adalah oleh kerana terlalu taksub untuk mensabitkan penglibatan Rusia, maka empat individu ini dijadikan kambing hitam.

Itulah sebenarnya apa yang dikhuatiri Kuala Lumpur.