Penggunaan payung bagi mengurangkan kesan sinaran dan bahang matahari kembali popular di ibu kota, ekoran cuaca panas terik yang melanda negara sejak kebelakangan ini. BERNAMA

Sungguhpun definisi ini benar, kebanyakan beranggapan bahawa fenomena pemanasan ­global ini adalah sesuatu yang berlaku secara sangat perlahan dan kesannya hanya akan dirasai pada generasi akan datang. Oleh itu, langkah pencegahan tidak perlu dilakukan secara terburu-buru.

Hakikatnya, penyelidik telah menyimpulkan bahawa bumi hanya mampu didiami sekiranya peningkatan suhu global dapat dihadkan pada 2 darjah Celsius berbanding dengan bacaan suhu pada zaman pra-industri. Dengan menghitung aktiviti manusia terutama dalam sektor tenaga, para penyelidik dapat mengetahui jumlah sebenar pembebasan gas rumah hijau yang berbahaya ini.

Ini membolehkan mereka menganggar kadar pembebasan gas pada tahun-tahun yang akan datang. Kesimpulan daripada penyelidikan ini menunjukkan bahawa bumi akan memanas sebanyak 4.5° Celsius pada tahun 2100 sekiranya tiada langkah-langkah diambil bagi mengurangkan pencemaran. Ini bermakna, ­kesan daripada pemanasan global ini akan dapat dirasai pada generasi ini juga. Jika tiada langkah drastik diambil di peringkat global, maka bumi akan menjadi panas melebihi hadnya serta tidak lagi sesuai didiami pada tahun 2100.

Sehubungan itu, pada penghujung 2015, sebanyak 195 negara telah berikrar untuk bersama-sama berusaha mengurangkan pembebasan karbon ke atmosfera bumi. Ikrar ini dinamakan Paris Agreement dan Malaysia adalah salah satu negara anggota. Perjanjian ini merupakan kali pertama sebanyak 195 negara dapat duduk bersama serta bersetuju tentang situasi pemanasan global yang mendesak lalu bersetuju untuk mengambil langkah-langkah drastik. Sebagai sebuah negara sedang membangun, Malaysia berikrar untuk mengurangkan intensiti pengeluaran karbon per kapita sebanyak 45% pada 2030 berbanding dengan kadar pengeluaran pada 2005. Amerika Syarikat, Britain dan Jepun juga berikrar untuk mengambil tindakan lebih drastik bagi mengurangkan pembebasan karbon kerana sebahagian besarnya telah dibebaskan negara-negara ini. Mereka juga harus mengeluarkan belanja serta kepakaran bagi menampung perkembangan teknologi rendah karbon untuk digunakan oleh negara-negara sedang membangun.

Usaha mengurangkan aras karbon kini adalah tanggungjawab semua di pelbagai peringkat. Ini kerana selama ini manusia telah menjadikan atmosfera bumi sebagai ‘tong sampah sejagat’ dan menyangka boleh berbuat apa sahaja tanpa sebarang akibat. Ini termasuklah pembakaran bahan api fosil secara meluas sama ada untuk penghasilan tenaga elektrik mahupun dalam sektor pengangkutan. Ini tidak termasuk lagi dengan kejadian hutan terbakar yang menyebabkan begitu banyak karbon dibebaskan dalam masa singkat. Tambahan pula, tumbuhan yang musnah akan memperlahankan proses penukaran karbon dioksida kepada oksigen. Lebih mengecewakan, negara miskin serta tidak menjalankan aktiviti yang memudaratkan atmosfera juga menerima kesan serupa dengan negara yang banyak membebaskan karbon ke udara.

Sememangnya, kebergantungan kepada sumber bahan api fosil sejak daripada penciptaan enjin stim pada 1769 telah membawa kepada revolusi industri dan sekaligus meningkatkan taraf hidup manusia secara menyeluruh. Tanpa disedari, umat manusia menjadi ketagih terhadap penggunaan bahan api fosil ini.

Setelah sekian lama hal ini berlarutan, ini secara langsung menjadikan perkembangan bahan api boleh baharu terbantut. Bagaimanapun, masih belum terlambat untuk mengawal pembebasan karbon yang berlebihan ini. Para penyelidik menjangkakan langkah yang drastik perlu diambil bagi mengurangkan kesan pemanasan global. Antara langkah utama yang boleh diambil adalah perancangan dan kesedaran yang mendalam tentang isu pembebasan karbon sebelum sesuatu infrastruktur baru dibina. Ini kerana sebarang pembinaan infrastruktur dalam tempoh dua dekad ini akan mengunci kadar pembebasan karbon sehingga akhir abad ini. Sekiranya pembinaan bangunan-bangunan baru dilakukan tanpa sebarang pembaharuan yang dapat mengurangkan pembebasan karbon, kos untuk membaiki bangunan tersebut pada masa akan datang akan menjadi terlalu tinggi.

Antara langkah lain yang boleh dilakukan adalah dengan membina infrastruktur penghasilan tenaga berasaskan sumber boleh baharu. Sebagai contoh, negara-negara yang berdekatan garisan khatulistiwa termasuklah Malaysia menikmati limpahan cahaya matahari secara konsisten sepanjang tahun.

Ini membolehkan peluang untuk menjana tenaga berasaskan solar menjadi suatu penyelesaian secara menyeluruh bagi menggantikan arang batu. Sudah pastinya, perubahan ini akan memerlukan kos besar memandangkan negara sudah bergantung kepada sumber tenaga fosil setelah sekian lama. Isu-isu lain seperti sumber bahan untuk membina panel-panel solar serta kesan penggunaan bahan kimia dalam proses penghasilannya terhadap persekitaran juga perlu diambil kira bagi menjamin kelestarian tenaga tersebut. Sebagai rumusan, fenomena pemanasan global sedang berlaku dengan kadar yang pantas dan kesan buruknya akan dapat dirasai dalam generasi ini juga. Ia tidak boleh dipandang remeh serta tindakan pencegahan tidak boleh ditangguhkan lagi.

Walaupun kelihatan seperti kita sedang dalam situasi yang sukar, usaha ke arah kelestarian bumi akan membuka peluang untuk membina semula masyarakat yang lebih menghargai alam sekitar dan yang paling penting peluang merapatkan jurang kemiskinan dalam sesebuah negara.

DR. MUHAMAD HASBULLAH PADZILLAH ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).