Pertama, diuji dengan kesedihan dan kesusahan seperti kehilangan harta benda, kematian orang yang kita sayang, hilangnya pangkat dan kedudukan, kegagalan dalam apa yang kita usahakan dan seumpamanya. Kedua, diuji dengan kebahagiaan dan kesenangan.

Dalam hidup di dunia ini kita sentiasa berjaya, kalau berniaga untung berganda-ganda, dalam kerja cepat dan senang naik pangkat – muda-muda lagi sudah memegang jawatan penting untuk organisasinya, anak-anak, isteri/suami juga membahagiakan – cemerlang dalam pelajaran dan sihat cantik/segak disenangi dan dimuliakan orang sekeliling.

Apabila kita berpegang kepada prinsip, kita anggap apa-apa yang berlaku semua ujian, maka tugas kita adalah dengan menggunakan akidah kita yang mantap, jaga ibadah dan lembutkan akhlak kita akan dapat menerima semua perkara yang berlaku, dengan sabar, reda serta penuh ketakwaan dan kesyukuran.

Hal ini amat penting kerana banyak orang apabila diuji dengan kesusahan, kita akan menjadi lebih baik dan insaf diri serta bertaubat. Sebab kita sedar, kita tidak boleh kawal apa yang berlaku ke atas kita, tetapi kita hanya kawal respons terhadap apa yang berlaku. Iaitu, jika PERISTIWA negatif tetapi RESPONS kita sangat-sangat positif maka, HASIL KEHIDUPAN juga akan menjadi positif.

Kita bertindak positif atas kesedaran ibarat kita tidak boleh mengubah “arah angin” yang bertiup, kerana “arah angin” dalam takdir ketentuan Allah SWT. Tetapi, kita boleh mengubah “arah layar” bahtera kita, tidak melawan arus dan menentang angin kencang, agar bahtera kita tidak binasa ditempuh ombak samudera, badai dan taufan.

Sesungguhnya alangkah baiknya apabila kita mendapat situasi yang kita tidak suka, kita ingat kepada dua perkara. Pertama, apa yang kita belajar daripada peristiwa negatif itu. Kedua, adakah peristiwa buruk itu dapat mendekatkan diri kita kepada Allah SWT.

Demikian jugalah hidup ini ujian susah senang bahagia derita semuanya dalam genggaman-Nya, tidak boleh kita elak. Namun begitu, kita boleh kawal reaksi kita terhadap takdir ketentuan-Nya, yang sedih dihadapi dengan keredaan, sebaliknya yang bahagia diterima dengan kesyukuran.

Usaha dan kehebatan

Hal ini amat penting kerana banyak orang apabila diuji dengan kesenangan, kita akan menjadi sombong diri, ego dan berasa semua yang kita peroleh adalah kerana usaha dan kehebatan kita.

Apabila kita dewasa kita telah dipengaruhi oleh persekitaran kita, maka mulalah timbul perasaan diri ego dan diri palsu. Iaitu kita menilai diri kita berdasarkan pangkat yang kita ada, berapa banyak harta yang kita miliki dan kita berasa kitalah yang paling bijak, yang paling hebat, yang paling cantik atau kacak, yang paling kaya dan seumpamanya.

Lihatlah diri, betulkan sifat diri, sayangi dan hargai diri sendiri supaya hidup kita di dunia tidak menzalimi diri sendiri dan mendapat balasan buruk pada hari akhirat kelak. Ingatlah setiap daripada kita mempunyai base-line yang tersendiri.

Manusia mempunyai tiga jenis iaitu A, B dan C.

A: Seorang yang suka melenting (base-line asyik melenting, marah dan menyalahkan orang sahaja). Orang begini ialah orang neurotik seperti orang sakit mental, hidup pasti tidak tenang dan stres.

B: Manusia biasa, jika tiada krisis dia normal kalau ada krisis dia boleh melawan dan berkasar. Iaitu, (base-line bergantung pada keadaan, kalau orang datang kepadanya manja seperti kucing, dia juga akan dapat melayan orang tersebut dengan baik.

Tetapi, jika orang yang datang kepadanya garang seperti harimau, dia juga akan membalas dengan kekasaran atau respons negatif.

C: Manusia yang base line ataupun auranya sangat dekat dengan Allah. Maka orang yang begini base line sudah tinggi tahap ketakwaan dan kebergantungannya kepada Allah SWT. Jika ada perkara buruk berlaku tidak menjadi masalah kepadanya. Orang-orang yang menuju ke arah ini, apabila dipuji tidak berasa bangga, apabila dikeji orang, dia tidak berasa marah.

Jom audit diri kita, kita berada di kategori mana, sama ada kita seorang yang mempunyai kesedaran keegoan (ikut nafsu) atau kesedaran ketuhanan (ikut iman). “Kesedaran keegoan” bermaksud, manusia yang mengikut hawa nafsu seperti marah, semua perkara yang diinginkan perlu cepat, mesti ikut cara dia, suka bersaing, sangat fikir apa orang kata, sangat fikir tentang pangkat dan harta, sangat sentiasa ingin lebih daripada orang. Dalam erti kata lain, orang seperti ini sentiasa hendak menang sahaja.

Orang yang begini, dinamakan golongan orang yang ego. Apabila kita mempunyai sifat seperti ini, iaitu tidak pandai mengawal emosi, maka tubuh kita akan menghasilkan hormon-hormon stres yang akan merosakkan sistem badan, sekalipun kita telah mengamalkan pemakanan yang seimbang dan berkhasiat.

Penting kita membersihkan hati untuk mendapat ketenangan. Setiap dosa yang kita lakukan akan menghilangkan ketenangan. Jika kita banyak masalah, banyakkan bertaubat.

Kita hanya akan memperlihatkan apa yang ada dalam diri. Apa yang kita percaya itu yang kita akan lihat. Kalau kita banyak kebaikan dalam diri, kita akan dapat melihat kebaikan dalam diri orang lain.

Keegoan

Orang yang bahagia akan mengeluarkan hormon yang sihat untuk menyihatkan badannya, tetapi orang yang tidak pandai mengawal emosi kerana fokus kepada keegoan, maka hormon yang dihasilkan semuanya negatif, maka tekanan darah naik, jantung laju, sistem imun akan kurang.

Maka impaknya senang dapat kanser, senang mendapat jangkitan kuman (batuk, selesema, demam, dan lain-lain). Ini semua ciri-ciri orang yang kurang sabar. Jika kita sabar kita hidup dalam kesedaran ketuhanan/kesedaran keimanan menggunakan keimanan dengan setiap keputusan dan reaksi kita, maka kita tidak akan bersikap ego.

Kita akan sentiasa bekerjasama, sentiasa mengalah, sentiasa penuh kasih sayang, sentiasa mencari kebaikan atau kecantikan dalam apa situasi pun, apakah rahmat di sebaliknya, sentiasa murah hati, sentiasa membaiki diri dan menerima orang lain seadanya.

Sesungguhnya, jika kita mempunyai sifat-sifat positif atau mahmudah ini, maka insya-Allah kehidupan kita akan tenang dan bahagia. Konsep berlapang dada, adalah mengubah cara kita memandang sesuatu.

Kita ubah bahasa yang kita gunakan, maka kita telah mengubah cara kita melihat, seterusnya mengubah kehidupan kita; daripada susah kepada senang, daripada merungut, mengeluh dan mengumpat kepada sabar dan reda.

“Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.

- PENULIS adalah Pengarah Pusat Mata dan Lasik Prof. Muhaya.