Kalau di zaman penulis membesar di awal 70-an dahulu, rukun negara ini akan terpampang di belakang buku dengan satu tujuan agar anak-anak mengenali dan menghayatinya.  Bukan itu sahaja, malah ia dijadikan lagu dan dinyanyikan oleh anak-anak sekolah.

Penulis sendiri masih boleh menghafal Rukun Negara melalui lagu tersebut kerana sering menyanyikannya di sekolah.

 

Dalam artikel ini, penulis hendak memfokuskan penghayatan muda mudi hari ini terhadap rukun negara yang kelima ini. Banyak kes yang kita baca dan dengar berkenaan sikap generasi muda hari ini yang kurang sedap mata membaca dan melihat dan kurang sedap telinga mendengar.

Antaranya kes pukul emak, pukul guru, tidak memberikan keutamaan kepada penumpang wanita dan ibu mengandung ketika berada di tempat awam dan penggunaan bahasa yang kasar ketika berkomunikasi dengan orang tua.  

Namun, dari satu sudut lain, kita puji sikap berani dan lantang generasi muda hari ini. Tetapi yang menyedihkan ialah dek lantaran kelantangan dan keberanian itulah nilai-nilai murni, kesopanan dan kesusilaan telah makin pudar dalam kalangan generasi ini.

Siapakah yang perlu di pertanggungjawabkan? ibu bapa, guru, masyarakat, teknologi atau sistem pendidikan kita. Seolah-olah ramai daripada generasi hari ini sudah tidak tahu jalan menundukkan dan membongkokkan badan ketika melalui orang tua, sudah tidak tahu memberikan salam, sudah tidak tahu bersalam dan berjabat tangan dengan orang tua dan sudah tidak tahu menggunakan kata yang sopan ketika berbicara dengan orang tua.

Pernahkah kita bayangkan generasi apa yang mereka akan hadapi dan pimpin di masa hadapan jika sekiranya pada zaman mereka inipun kita telah dapat melihat susut nilainya kesopanan dan kesusilaan itu sendiri.

 

Tidak ada lagi generasi muda perempuan yang kalau bergaul dijaga tatetertibnya. Pada zaman 70-an dan 80-an, anak gadis dipesan bila berbicara jangan sampai suara boleh didengari, ketawa jangan sampai didengari dan mengganggu, bila duduk mesti bersimpuh bukan bersila kerana bersila itu hanya untuk anak lelaki.  

Bila ayah dan ibu berbicara, wajib dengar dan jangan buat kerja lain. Perkara yang ditegur untuk diperbaiki pasti tidak akan diulangi di kemudian hari kerana generasi ini diajar orang tua itu patut di hormati, guru patut di hormati, ketua patut disegani.  Makanya zaman dahulu guru dan ketua kampung itu adalah profesion yang sangat di segani dan dihormati apa lagi sekiranya kita menjadi ketua jabatan.

Di suatu ketika dulu sekiranya kita berbaris menunggu giliran untuk membayar makanan, atau giliran berjumpa doktor atau giliran, akan ada sahaja orang yang muda akan mendahulukan yang tua, pasti yang terkeluar dari mulut si muda “Pakcik / makcik tak apa pakcik / makcik dulu”.

Maka yang tua pun dengan rasa gembira dapat menyelesaikan urusannya dengan cepat dan merasa di hormati.  Hari ini generasi muda sudah tidak kisah semua itu, malah sanggup hanya menutup mata melihat orang tua berdiri tanpa tempat duduk dan berbaris lama menunggu gilirannya.

Dimanakah perginya sifat ihsan, adab dan sopan generasi kita? Hilangkah jati diri bangsa Melayu, bangsa Malaysia yang terkenal dengan kekayaan adab dan budinya?

 

Zaman dahulu apabila anak gadis mencecah 9 tahun sudah mula masuk ke dapur, bila mencecah usia remaja emak-emak sudah boleh mencuci tangan, menyerahkan semua tugas rumah kepada anak gadisnya.

Zaman kini anak gadis sibuk bermain telefon bimbit, menonton tv atau tidur dibilik sedangkan si ibu diusia tua masih sibuk dan penat menguruskan hal-hal rumah.  Dimanakah nilai seorang ibu dimata generasi hari ini?

Apakah ibu itu hanya untuk melahirkan mereka ke dunia? menyediakan makanan dan mereka menjadi tuan menunggu semua disediakan untuk mereka.  Apakah kemahiran menguruskan rumah tangga ini sudah tidak diperlukan oleh generasi muda hari ini lantaran perkembangan teknologi dan peningkatan tahap pendidikan di kalangan anak anak perempuan?  

Hasilnya kita akan dapat melihat bila si ibu sakit atau meninggal dunia, maka rumah menjadi tidak teratur, busuk dan hilang serinya.

 

Dahulu kala sekiranya kita memandu dan dihadapan kita majikan kita yang memandu, atau guru kita yang memandu, sekiranya kita dalam keadaan ingin cepat, dan perlu memotong keretanya pasti kita akan membunyikan hon dan mengangkat tangan sebagai tanda dan pemberitahuan kita perlu pergi dulu.

Kini pekerja selamba membawa kereta laju mendahului majikannya tanpa memberikan hormat. Malahan ada pelajar yang selamba memotong kereta gurunya dengan laju. Dahulu subjek sivik di adakan di sekolah-sekolah dan banyak kempen kempen yang dijalankan untuk menanam semangat kesopanan seperti ‘kempen Berbudi Bahasa’.

Kita boleh melihat iklan-iklan di televisyen yang mengajak masyarakat mengamalkan kesopanan, kita boleh mendengar ceramah yang mengingatkan pentingnya berbudi dan berbahasa.

Mungkin perkara ini kita nampak remeh berbanding masalah negara yang lain tetapi adab, kesopanan dan kesusilaan inilah yang akan menentukan sama ada generasi hadapan generasi yang menghormati undang-undang, generasi yang menghormati rakannya, masyarakatnya, majikannya, generasi yang berintegriti dan di segani sudut adabnya dan sopannya.

Moga satu hari nanti generasi yang kita tinggalkan bukan generasi yang lupa adat, lupa adab dan lupa kesopanan dan kesusilaan dan yang lupa bahasanya. Haruskah kita mengajak mereka menghayati dan jatuh cinta dengan rukun negara yang kelima ini?

Masih relevankah rukun negara kelima ini untuk generasi muda?

Kalau bertanak dengan menggulai

Mengacau gulai pecah isinya

Kalau gelak nak jangan mengilai

Kalau mengilai rendah budinya

 

Jangan suka nak merapah pagar

Merapah pagar kaki terpuruk

Jangan suka nak berkata kasar

Berkata kasar budinya buruk

 

Biar orang mencabut cendawan

Kita mencabut padi kan mati

Biar orang berebut bangsawan

Kita berebut budi pekerti

 

***Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi

UiTM Cawangan Sabah, Kampus Kota Kinabalu