Bercakap mengenai Melayu, semalam berlangsung Konvensyen UMNO Wilayah Persekutuan bertemakan Ke mana arah Melayu Bandar. Satu tajuk yang memberi maksud yang amat besar kepada orang Melayu bandar. Adakah mereka masih mampu hidup di bandar yang serba mencabar dengan kos sara hidup dan peluang memiliki kediaman yang selesa? Tidak kira di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya atau Labuan, masyarakat bandar di negeri-negeri lain juga perlu diberi perhatian. Ke mana mereka? Adakah terpaksa berhijrah ke pinggir bandar, luar bandar atau ke negeri-negeri lain yang berhampiran? Bagaimana dengan kedudukan ekonomi mereka? Melayu tidak mungkin mampu hidup di tengah bandar jika untuk membeli rumah mampu milik pun mereka tidak mampu. Mungkin kisah Melayu ini boleh dibawa oleh perwakilan dari Pulau Mutiara atau Pulau Pinang. Adakah masih ada ‘mutiara’ Melayu di negeri itu? Sejauh mana kebenaran kisah perkampungan Melayu semakin ‘tenggelam’? Seriuskah apa yang berlaku di Pulau Pinang? Jika ya, apa tindakannya terutama dalam kalangan UMNO dan pertubuhan Melayu? Keadaan jauh berbeza jika penempatan orang lain yang tergugat. Setakat ini jarang kedengaran kawasan bukan Melayu ‘terancam’ atau ‘diancam’ atas nama pembangunan. Maaf jangan dianggap kenyataan ini rasis kerana Selak hanya melontarkan pertanyaan. Sebagai anak Pulau Pinang dan pernah bertugas di negeri itu ketika era kepemimpinan Dr. Lim Chong Eu dan Dr. Koh Tsu Koon, sedikit sebanyak saya tahu apa yang berlaku kepada Melayu di situ. Adakah Melayu Pulau Pinang kini lebih bernasib baik? Tidak kiralah di mana sahaja ada Melayu, sesetengah Melayu tidak ambil peduli mengenai soal masa depan. Golongan ini kononnya sudah bersedia untuk bersaing dengan kaum lain dalam semua bidang. Dalam beberapa isu, banyak Melayu yang tidak sekata berbanding isu yang diperjuangkan oleh bukan Melayu. Disebabkan tidak sekata, tidak hairanlah ada bukan Melayu yang boleh menegur orang Melayu supaya tidak membangkitkan isu-isu yang dianggap sensitif.

Setiap kali mahu berhimpun dan berbahas, Melayu UMNO diperingatkan supaya tidak membangkitkan isu-isu yang kononnya bakal menyentuh orang lain. Ada pula garis panduan. Masihkah kita ingat bagaimana keris yang dihunus disalah tafsir? Hakikatnya, entah berapa banyak tindakan dan kenyataan di pihak sebelah sana yang seperti ‘menghiris dan menikam’ jantung orang Melayu dan Islam dibangkitkan. Kesannya lebih pedih berbanding keris yang ketika ini sekadar menjadi hiasan dinding, diselitkan di pinggang pengantin atau penerima pingat kebesaran. Adakah kita terpaksa membisu seribu bahasa dalam mempertahankan sesuatu yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan? Sebagai pentas membincangkan pelbagai isu, kritik dan bercakaplah mengenai apa yang tersurat dan tersirat demi kepentingan bangsa Melayu dan Islam. Kenapa harus disembunyikan sesuatu kononnya untuk menjaga hati pihak tertentu? Perasaan sensitif yang dikatakan mampu menggugat perpaduan adalah disebabkan pihak berkenaan tidak memahami isu-isu yang dibangkitkan berlandaskan Perlembagaan. Memang kerana mulut badan binasa. Sudah tentu ketika membahas, pembahas sedikit terbabas dalam memberi hujah. Itu perkara biasa lebih-lebih lagi bagi orang politik. Diharapkan pelbagai hujah yang akan dilontarkan pada perhimpunan kali ini benar-benar bernas yang mampu mengembalikan perpaduan umat Melayu dan menilai semula kekuatan yang ada pada hari ini. Mungkin juga lebih ramai orang muda diturunkan sebagai barisan pembahas usul sebagai langkah pendedahan kepada barisan pelapis melontarkan pandangan mereka. Jangan sekat golongan ini.

Jika Presiden UMNO, Najib Tun Razak sudah menyuarakan supaya golongan muda harus diberi peluang untuk melakukan proses peremajaan parti, maka lakukanlah. Jangan kita sekadar bercakap tetapi tidak menyokong, enggan memberi laluan dan berlaku pelbagai sekatan yang merumit dan membosankan di setiap peringkat. Tanpa mempertikaikan peranan golongan veteran, orang muda perlu diberi ruang secukupnya untuk menjadi pelapis. Dalam keadaan tertentu jangan sampai UMNO tercari-cari untuk meletak orang muda atau pelapis yang setanding dengan pemimpin pembangkang. Jika ada pun, belum cukup matang, masih memerlukan bimbingan. Keadaan ini disebabkan veteran terlalu lama berada di atas tanpa memberi ruang untuk orang muda. Penyakit inilah yang perlu disingkirkan. Jika diambil contoh di Selangor, siapakah dalam kalangan ‘orang muda’ UMNO di negeri itu sudah bersedia menyaingi usia, pengalaman dan keupayaan Menteri Besar Selangor, Azmin Ali?

Seperti kata Najib, golongan muda perlu diberi panduan dan bimbingan untuk memimpin supaya UMNO dilihat sebagai sebuah parti yang inklusif, moden, progresif dan dinamik. Biar di negeri mana sekali pun, sama ada yang di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) atau pakatan DAP, PKR, Pas, cukuplah pemimpin bercakaran untuk jawatan, kuasa atau kedudukan. Tidak ke mana perebutan itu jika akhirnya jawatan di dalam parti kita peroleh tetapi negeri terlepas ke tangan orang lain. Kata orang, yang dikejar tidak dapat yang dikendong berciciran. Berubahlah supaya anggota UMNO kekal bersama UMNO dan mereka yang di luar UMNO menghormati dan menyokong UMNO. Inilah yang dapat mengekalkan kuasa UMNO. Elok diselak kembali sedutan ucapan Najib pada perhimpunan yang sama pada 2009, iaitu selepas pilihan raya umum 2008. Katanya: ‘’Kita tahu rakyat masih sayang UMNO. Apa yang mereka inginkan hanyalah agar UMNO berubah. Nyata kita mendengar hasrat rakyat ini. Kita akan berubah’. Itu kata pemimpin. Bagaimana pula penerimaan di peringkat bawah?

Adakah kekalahan teruk calon-calon UMNO terutama di Selangor pada pilihan raya umum lalu disebabkan tidak ada perubahan? Begitu juga dengan penampilan golongan profesional. Sudah banyak kali diperkatakan mengenai peluang kepada golongan ini tetapi isu ini juga umpama perjuangan yang belum selesai. Isu peremajaan dan golongan profesional ini perlu diselesaikan. Berilah ruang dan harapan kepada golongan muda dan profesional. Semoga ada cahaya di hujung terowong bagi UMNO untuk meneruskan agenda perjuangan sebagai sebuah parti yang terus relevan dan menawarkan kerajaan yang terbaik kepada rakyat. Ingat pesanan Najib ketika menyambut Ulang Tahun UMNO ke-66 pada 2012. katanya: Sesungguhnya UMNO sudah berjalan begitu jauh, setiap inci tanah sudah dimakmurkan. Jangan sesekali kita biarkan kita dibinasakan. Biar putih tulang, jangan biar rakyat dan bangsa dibinasakan, kelak anak cucu terbangsat hidup mereka,’’

Selamat bersidang kepada seluruh perwakilan UMNO.