DEB berjaya memulakan gerak ke arah pewujudan keadilan ekonomi di Malaysia apabila kadar kemiskinan negara dikurangkan kepada 17.1 peratus pada 1990 berbanding 49.3 peratus pada tahun 1970. Kadar Kemiskinan pada 2014 pula terus menurun ke tahap 0.6 peratus. Ketika DEB mula dilaksanakan, kemiskinan dalam kalangan masyarakat Melayu berada pada paras 64.8 peratus. 

Selepas penamatan DEB pada 1990, Kerajaan BN memperkenalkan Dasar Pembangunan Nasional (DPN), Dasar Wawasan Negara (DWN) dan Model Ekonomi Baru (MEB) diperkenalkan pada Mac 2010. 

Memetik kenyataan Menteri Hal-Ehwal Ekonomi bahawa “dalam langkah kerajaan meneliti semula dasar utama negara, pembangunan sosioekonomi orang Melayu dan bumiputera tetap menjadi agenda penting tanpa meminggir kaum lain di negara ini”. Apa yang menghairankan berlaku sebaliknya, pendapatan dan sosioekonomi golongan petani, nelayan, peneroka, buruh dan perniagaan kecil dan sederhana orang Melayu dan bumiputera berada di dalam situasi meruncing dan tidak mendapat pembelaan.

Sebelum Mei 2018, harga runcit setan kelapa sawit mentah ialah antara RM580 dan RM600 tetapi kini hanya tinggal sekitar RM280 dan RM300. Kemerosotan harga minyak kelapa sawit menyebabkan pekebun kecil tergolong dalam kumpulan rakyat termiskin yang memperoleh pendapatan kurang RM 1,000 sebulan. Situasi ini telah menimbulkan kerisauan kepada lebih 650,000 pekebun kecil sawit di seluruh negara. Peruntukan RM260 juta yang diberi oleh Kerajaan BN sebelum ini sebagai bantuan musim tengkujuh telah dihapuskan. Apakah ini dinamakan kerajaan yang prihatin dengan nasib dan derita rakyat marhaen?

Khalifah Umar bin Abdul Aziz adalah pemerintah yang ekonomis. Kehebatannya mengendalikan ekonomi negara sehingga tidak kedapatan golongan asnaf yang memerlukan zakat. Antara pendekatan yang digunakan baginda ialah:

•  Meningkatkan pendapatan golongan buruh serta merapatkan jurang pendapatan antara buruh, pegawai dan pentadbir.

•  Meringankan pajakan dan bebanan kepada petani dan peladang.

Meningkatkan pendapatan dan sosioekonomi rakyat marhaen khususnya petani, nelayan dan buruh menjadi keutamaan kerajaan BN semenjak dahulu. Sebaliknya kerajaan hari ini, saban hari memfokuskan rakyat kepada isu-isu kontroversi politik dan sengketa perebutan kuasa yang tidak berkesudahan.

Pengusaha perniagaan kecil dan sederhana bumiputera juga mengalami kemelesetan dan penurunan pendapatan kerana persaingan dan kesan langsung revolusi industri 4.0. Perniagaan konvensional tergugat apabila sistem jualan dan pembelian secara dalam talian mula menguasai pasaran tempatan. Langkah kerajaan mencadangkan cukai perniagaan dalam talian diperkenalkan untuk meningkatkan pendapatan negara adalah langkah yang baik, tetapi bagaimana pula pembelaan kepada perniagaan bumiputera?

Ejen pengembaraan antara perniagaan yang mengalami kesan awal dari sistem perniagaan dalam talian. Apa jaminan kerajaan sistem perniagaan dalam talian tidak akan menjejaskan kepentingan ejen pengembaraan yang bertaraf bumiputera? Pekeliling Perbendaharaan Malaysia (PS 2.6) berkaitan dengan penggunaan Kad Kredit Korporat (KKK) yang membenarkan pembelian tiket kapal terbang secara dalam talian (online) bagi perjalanan rasmi pegawai kerajaan dalam dan luar negara menggunakan kad kredit korporat dan tidak tertakluk dengan had nilai serta kaedah perolehan di bawah tatacara perolehan kerajaan yang berkuat kuasa sebelum ini, membuktikan kerajaan tidak prihatin dengan nasib ejen pengembaraan bumiputera.

Penggunaan KKK yang tidak tertakluk kepada kaedah tatacara perolehan kerajaan melanggar dasar kerajaan yang mewajibkan urusan rasmi kerajaan mestilah berurusan dengan ejen pengembaraan yang berlesen, bertaraf bumiputera (100%) sebagai service provider bagi urusan rasmi perjalanan dan penginapan kerajaan. Saya menggesa Kementerian Kewangan menyemak kembali pekeliling tersebut yang terang-terangan melanggar dasar perolehan dan menjejaskan pendapatan ribuan ejen pengembaraan bumiputera yang terlibat.

UMNO akan terus menjadi pemantau dan pendesak kepada pelaksanaan agenda ekonomi bumiputera tanpa meminggirkan kaum yang lain. Kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya menggubal dan mengubah dasar dan akta yang berkaitan dengan agenda ekonomi bumiputera, yang telah dipersetujui bersama tanpa sebab yang munasabah dan konkrit.

UMNO dan BN akan terus berusaha sedaya mungkin mencari kaedah dan pendekatan yang terbaik bagi meningkatkan sosio ekonomi rakyat. Tabung Dana UMNO (Crowd Funding) yang bakal dilancarkan dalam masa terdekat akan menjadi tabung jihad ekonomi ahli UMNO bagi memastikan kelangsungan aktiviti politik parti dapat dilaksanakan dengan lancar. Manfaatnya bukan hanya untuk ahli UMNO, bahkan rakyat juga akan turut mendapat faedah daripada tabung dana ini.

AHMAD ZAHID HAMIDI
#demiummah
#akhiratdidepan