2. Menyeru pendekatan kepemimpinan berhikmah di semua peringkat dalam penyelesaian kemelut, keresahan dan konflik. Ia juga perlu dalam menyantuni dan menggerakkan Agenda Reformasi Negara seterusnya dalam membina Malaysia Baharu.

3. Mencadangkan Program Latihan Kepemimpinan Berhikmah di semua peringkat dengan modul standard. Ia menjadi bertambah mendesak dengan umur menjadi calon dan mengundi diturunkan dari 21 ke 18 tahun, serta umur belia dari 40 ke 30 tahun.

4. Mencadangkan agar Gerakan Masyarakat Madani dalam Membangun Insan dan Tamadun mestilah diperkasakan dengan enam sendi kekuatannya melalui Gerakan Politik Muafakat dan Kenegaraan, Gerakan Subuh-Tarbiah, Gerakan Monetari Madani, Gerakan Budaya Ilmu-Pendidikan, Gerakan Koperasi, Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) dan Korporat serta Gerakan Ikatan Masyarakat Madani (Imam).

5. Menegaskan semula bahawa Islam sebagai agama Persekutuan dan hak istimewa Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan mestilah dipertahankan. Kesemua pihak mestilah menghormati kontrak sosial jus soli yang ada serta mengutamakan kestabilan dan keharmonian dalam negara pelbagai kaum dan agama di Malaysia. Tindakan tegas perlu diambil bagi mempertahankannya.

6. Menegaskan semula bahawa penghasilan insan beragama dengan penuh penghayatannya perlu menjadi fokus pembangunan dalam menghadapi pelbagai cabaran era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) sama ada lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), ajaran sesat dan ateis, serangan dadah dan rasuah, rempit dan berpeleseran, dan seumpamanya. Penggunaan teknologi maklumat (IT) secara positif juga wajar dimanfaatkan dalam pendidikan dan kehidupan beragama abad 21.

7. Mencadangkan agar pemansuhan hutang PTPTN segera dilakukan. Mekanisme baharu perlu diperkenalkan dalam membiayai persekolahan dan pengajian generasi muda. Generasi muda tidak perlu dibebankan dengan hutang seawal kehidupan mereka.

8. Menegaskan semula bahawa bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan perlulah dimestikan dalam semua urusan rasmi kerajaan termasuk papan tanda, ucapan pemimpin di semua peringkat dan disarankan dengan tegas dalam urusan perniagaan dalam negara.

9. Menegaskan semula bahawa konsep pendidikan bersepadu dan penghayatan nilai dalam setiap subjek pelajaran mestilah ditekankan. Ini juga selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara yang telah diluluskan sekian lama. Proses pengintegrasian ilmu juga perlu terus disemarakkan.

10. Menegaskan semula bahawa pengajaran Sains dan Matematik mestilah dilakukan dalam Bahasa Kebangsaan. Negara-negara penerima hadiah Nobel dalam Sains dan Matematik kesemuanya mengajarkan subjek berkenaan dalam bahasa kebangsaan masing-masing.

11. Mencadangkan latihan IT coding disemarakkan sejak dari sekolah rendah lagi. Ini selaras dengan persiapan menghadapi IR 4.0 yang semakin rancak berkembang. Generasi muda juga sewajarnya diterapkan dari awal lagi penggunaan IT secara sihat dan bermanfaat.

12. Menegaskan semula bahawa amalan pemakanan sihat perlulah ditekankan sejak dari prasekolah. Ini termasuklah disiplin kebersihan dan keteraturan hidup dan tempat. Manakala di peringkat dewasa hal ini juga perlu diperingatkan semula terutama dengan umur yang meningkat, risiko serangan penyakit semakin meningkat.

13. Mencadangkan agar pendekatan perubatan alternatif diperkasakan di samping pendekatan perubatan allelopathy yang sedia menjadi pendekatan utama hari ini. Pendekatan perubatan tradisional dengan kod etika yang diperkemaskan, silibus pengajaran dan pengamalan yang distandardkan serta pemantauan yang berterusan mampu menjadi pelengkap rawatan perubatan di samping kos lebih rendah.

14. Mencadangkan agar sektor perbankan meningkatkan semula pembiayaan secara venture capital dalam membantu modal usahawan dengan penyeliaan perjalanan kewangan yang rapi. Ini akan membantu menyemarakkan semula sektor usahawan yang cergas dengan suntikan modal permulaan atau pengembangan perniagaan. Pengawasan rapi dari pihak kerajaan juga amat penting dalam menjayakan hasrat menjadikan Malaysia dengan masyarakat berkeusahawanan menjelang 2030.

15. Mencadangkan agar kerajaan mewujudkan lebih banyak bank awam yang memungkinkan perkongsian kekayaan negara kepada jumlah rakyat yang lebih ramai atau rakyat terbanyak.

16. Mencadangkan pemerkasaan institusi baitulmal agar menjadi suatu institusi kewangan yang lengkap dalam merangsang ekonomi Muslim.

17. Mencadangkan suatu sistem kewangan dan monetari bebas riba, dengan standard emas diperkenalkan. Bank Negara Malaysia (BNM) juga sewajarnya menjadi satu-satunya institusi yang mengeluarkan wang di pasaran sama ada berbentuk M1, M2 dan M3.

18. Mencadangkan wujudnya harga lantai bagi komoditi utama negara seperti kelapa sawit, getah dan beras. Kerajaan sewajarnya mewujudkan tabungan bagi membantu petani jika harga komoditi ini di bawah paras harga lantai. Pada masa sama dalam soal keselamatan, jaminan dan bekalan makanan (food security) adalah dicadangkan pengurangan import makanan dengan memperkasa industri pertanian tempatan semaksimumnya dengan sokongan sepenuhnya daripada kerajaan.

19. Mencadangkan agar kerajaan meningkatkan perhatian secara khususnya dalam mempermudahkan modal awal usahawan, pembinaan rangkaian serta bantuan pemasaran secara berkesan dan menguntungkan usahawan.

20. Mencadangkan agar diperkenalkan semula agensi pemborongan seperti Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) sebelumnya bagi membantu usahawan pelbagai sektor mendapatkan bekalan bahan mentah pada harga kompetitif.

21. Mencadangkan agar kerajaan mewujudkan sekretariat tetap dengan fokus memantau jurang pendapatan rakyat, perkongsian kekayaan mengikut keperluan rakyat serta menjamin tiada rakyat yang tertinggal dalam menikmati kemakmuran negara.