Diskusi yang dijalankan atas inisiatif kerajaan negeri Selangor menarik minat pelbagai pihak. Ini termasuklah usahawan ternakan ayam melalui Persatuan Penternak Ayam Selangor. Begitu juga Ramly Burger yang berhasrat mengembangkan perusahaan burger mereka. Selain itu, Sime Darby juga menunjukkan minat. Beberapa agensi pertanian, perumahan, perindustrian dan badan-badan bukan kerajaan juga hadir. Pelbagai saranan dikemukakan untuk dipertimbangkan pihak agensi kerajaan Selangor.

Apabila sesuatu projek pembangunan mega dijalankan pihak kerajaan, dengan perbelanjaan berbilion ringgit, sudah tentu akan memberi impak yang besar. Maka ramailah peserta yang berpendapat impak itu dan ini semasa perbincangan yang diadakan. Justeru, kajian impak sosial (SIA) perlu dijalankan mengikut kesesuaian tahap pembangunan projek berkenaan.

Penulis berpandangan pembangunan yang akan dijalankan perlu mengambil kira keadaan semasa penduduk dan sifat alami kawasan berkenaan. Misalnya, di kawasan Sabak Bernam terdapat kira-kira 70 peratus hutan dan selebihnya adalah pertanian. Bagi kawasan pertanian pula, terdapat tanaman kepala sawit, sawah padi dan tanaman kontan yang lain. Selain itu, kawasan ini terdapat kolam udang, tanaman jagung, kelong nelayan, penternakan kerang dan sebagainya.

Pengezonan dan amalan tanah pertanian moden yang melibatkan pertanian jitu sudah berjaya dilaksanakan di luar negara seperti Jepun, Taiwan, Belanda dan sebagainya. Apalah salahnya kita laksanakan di Sabak Bernam.

Nampaknya, tanaman yang biasa kita lihat di negara ini kebanyakannya adalah kelapa sawit dan padi. Kedua-dua guna tanah pertanian ini menggunakan keluasan tanah yang besar. Apabila luas tanah besar, sudah tentu melibatkan pemilik-pemilik yang pelbagai termasuklah pemilikan pelbagai atau bertindih. Keadaan ini boleh menyukarkan proses dan prosedur konsolidasi tanah untuk dimajukan. Justeru, penubuhan estet padi mempunyai potensi yang cerah. Begitu juga dengan kepelbagaian tanaman seperti hem, rozel, kenaf dan sebagainya.

Pembangunan Lebuhraya Pantai Barat yang menelan belanja hampir RM7 bilion akan dibuka sepenuhnya tidak lama lagi. Terdapat hampir 161 persimpangan dan bersambungan hingga ke Changkat Jering dan juga dengan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Ia juga akan bersambungan dengan Sistem Rapid Transit Klang. Laluan yang berjajaran bagi lebuh raya ini sudah tentu memberikan peluang sebagai pelengkap. Ini terutama kepada industri pelancongan, penternakan dan pertanian serta industri burung walit di Daerah Manjung, Perak.

Dalam konteks ini, Sabak Bernam di Selangor dan Manjung boleh menjadi pelengkap melalui promosi agro lancong, pelancongan budaya dan juga pelancongan kesihatan. Barangkali pelancongan Islam juga mempunyai potensi yang besar. Banyak sumber industri pelancongan yang boleh diketengahkan termasuklah pelancongan kelong, penternakan benih kerang, penanaman dan pemprosesan padi, hutan rekreasi, industri biji benih, penternakan ayam dan sebagainya. Pada tahun 2018 sahaja seramai kira-kira 75,000 pelancong melawat Sabak Bernam.

Oleh kerana kebanyakan penduduk adalah kaum Melayu yang mengerjakan tanah pertanian secara tradisional, isu berkaitan pemilikan tanah termasuk tanah rezab Melayu dan tanah wakaf tidak boleh dilupai. Penyusunan semula pemilikan tanah dan kampung tradisi perlu dilakukan sebaik-baiknya. Penyusunan semula kampung tradisi boleh membantu pertumbuhan ekonomi kampung melalui peningkatan nilai tanah mereka dan pemilikan tanah yang lebih moden. Konsep dan amalan wakaf yang melibatkan wakaf tanah, rumah, tunai, R&R, hotel, hospital wakaf, wakaf penternakan dan pertanian boleh diterokai dan diketengahkan.

Pelbagai bentuk wakaf seperti yang telah dijalankan dengan jayanya di luar negara seperti di Turki dan negara-negara Asia Barat boleh dicontohi. Masih ramai rakyat yang tidak memiliki rumah untuk meneruskan kehidupan. Ini terutama golongan B40 yang sukar untuk membeli rumah mampu milik. Sepatutnya instrumen wakaf sudah boleh digunakan untuk membantu rakyat yang memerlukan keperluan asas seperti rumah tetapi tidak berkeupayaan membeli disebabkan harga yang tinggi di pasaran.

Pihak kerajaan negeri juga bercadang menubuhkan kawasan industri baharu berdekatan Sungai Helang. Kawasan industri mempunyai potensi yang besar untuk memberi pulangan melalui bioproses yang berasaskan pertanian dan penternakan. Potensi wakaf harta industri boleh dimajukan seperti yang telah dijalankan dengan jayanya di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu, Mesir dan Arab Saudi.

Sesungguhnya pembangunan Lebuhraya Pantai Barat membuka peluang rakyat tempatan untuk melibatkan diri dalam perniagaan yang boleh menjana pendapatan dan meningkatkan ekonomi mereka. Jikalau mereka tidak mengambil peluang ini sebaik-baiknya, tentu peluang ini akan diambil pula orang lain.

PROF. DR. ISMAIL OMAR ialah Profesor di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dan Presiden Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (PERTAMA).