Tetapi, siri pilihan raya kecil sejak selepas Mei 2018 jelas sekali menjadi medan kebangkitan UMNO yang kini bergandingan dengan Pas sebagai satu kerjasama pembangkang, dan pada masa sama medan persaingan sengit antara pemimpin dan parti komponen PH sendiri.

Seperti ditunjukkan melalui kemenangan Barisan Nasional (BN) di Parlimen Cameron Highlands dan kemudian merampas Semenyih, pilihan raya kecil yang berlangsung menjadi platform berkesan bagi kempen lebih besar BN bersama Pas, dan menguatkan momentum kebangkitan.

Secara terang dan tersirat, pilihan raya kecil yang berlangsung menjadi platform pemimpin-pemimpin PH bersaing (malah dilihat mengenakan satu sama lain) melalui kenyataan-kenyataan yang dibuat pada masa kempen sedang hangat berlangsung.

Pada masa sama, dalam setiap pilihan raya kecil, sentiasa timbul isu-isu yang menjejaskan kerajaan PH, mendedahkan kegagalan mereka untuk menepati janji menjadi jauh lebih bersih dan berwibawa - selain janji-janji manis yang pelbagai - berbanding BN yang digelar kleptokrat.

Pilihan raya kecil (PRK)kini menjadi peristiwa penting untuk diperhatikan bagi melihat dan menilai kerjasama dan paling utama, tahap persaingan antara kuasa-kuasa dalam PH, terdiri daripada pemimpin, parti, dan kelompok mewakili pelbagai kepentingan dalam PH.

Ketika media dan pemerhati tertumpu pada pilihan raya kecil, kelihatan perbezaan antara parti-parti PH paling mudah timbul.

Menjelang PRK Rantau kali ini, Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri menimbulkan isu satu pakatan untuk menentangnya, yang segera disambut oleh pemimpin lain yang mempertahankannya.

Kenyataan ini yang dibuat sebagai mengulas isu penarikan diri Malaysia daripada Statut Rom yang timbul tidak lama selepas anak Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Izzah Anwar mengeluarkan kenyataan menyebut Dr. Mahathir sebagai bekas diktator, kenyataan yang menampakkan lagi keresahan berleluasa Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kem beliau terhadap Dr. Mahathir.

PRK ini, mungkin akan menjadi medan terakhir perbezaan-perbezaan besar antara parti PH dapat berlangsung dengan agak terkawal, sebelum pertembungan antara dua pemimpin utama mereka berlaku dengan lebih terbuka.

PRK DUN Rantau ini berlangsung pada masa populariti kerajaan PH berada pada tahap yang rendah, selepas melepasi tempoh 100 hari tanpa rekod cemerlang yang dapat ditunjukkan, dan kekal dengan skrip menyalahkan kerajaan terdahulu atas segala kelemahan yang terdedah.

Menjelang setahun pemerintahan PH, ia semakin kurang diyakini dapat membela kepentingan Melayu, dan menjadi satu isu utama mencetus keresahan ramai orang Melayu.

Isu terbaharu, seminggu sebelum hari pengundian Rantau, isu Tabung Haji yang merupakan salah satu isu pokok berhubung kepentingan orang Islam memanaskan suasana, apabila diumumkan hibah sebanyak 1.25 %, jauh berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Mudarat

Seperti dijangka, PH mengatakan pengumuman mengecewakan orang Melayu itu tidak akan menjejaskan undi di Rantau, tetapi kenyataan ini sedia difahami dalam politik sebagai satu bentuk sindrom penafian.

Perincian teknikalnya boleh dibahas panjang oleh pakar-pakar, tetapi apa yang berlaku boleh dimuatkan dengan mudah dalam naratif ancaman terhadap kepentingan orang Islam, sesuatu yang sukar dinafikan apabila dilihat gambaran besar peralihan kuasa sejak Mei tahun lalu.

Naratif ini dilawan dengan hujah mudah meletakkan kesalahan di bahu kerajaan terdahulu, yang akhirnya terlihat lebih sebagai kempen mengeksploit emosi berbanding penjelasan yang lebih berasas fakta.

Menuju hari pengundian Rantau ini juga, isu panas Statut Rom juga timbul apabila perdana menteri sendiri mengumumkan pusingan-U kerajaan dalam menerimanya, sambil menunjukkan kemarahannya pada pihak tertentu.

Selain Tabung Haji dan Statut Rom, timbul juga isu penerimaan pemilik sijil pendidikan Cina, UEC untuk amalan guaman, yang menambahkan keresahan orang Melayu.

Dua isu sijil UEC dan Statut Rom dijawab perdana menteri, hingga mengundang rasa tidak senang DAP, kumpulan paling jelas pertentangannya dengan Dr. Mahathir.

Isu-isu ini meningkatkan sentimen permusuhan terhadap Dr. Mahathir, yang kali ini dilihat paling kuat sejak memimpin kerajaan bermula Mei tahun lalu.

Berhubung penilaian semula pengiktirafan UEC, parti-parti Cina MCA dan DAP berkongsi sentimen yang sama menolak pendirian Dr. Mahathir yang bertentangan dengan kepentingan pendidikan Cina.

Pemimpin DAP, Lim Kit Siang menyifatkan tindakan Dr. Mahathir menarik diri daripada Statut Rom sebagai langkah mengundur ke belakang.

Kenyataan mengkritik perdana menteri atas tindakan ini turut disuarakan ahli Parlimen DAP dan aktivis liberal.

Bagi Dr. Mahathir, isu Statut Rom ini lebih rumit kerana turut melibatkan Raja-raja Melayu, menambah kesukarannya apabila menghadapi pencabar kedudukan sebagai perdana menteri.

Malah, Dr. Mahathir dipercayai hanya disokong sebahagian kecil menteri Kabinet dalam keputusan menarik balik penglibatan dalam Statut Rom.

Isu-isu menyentuh sentimen rakyat ini menguasai kempen PRK DUN Rantau, yang menjadi platform penerangan pihak pembangkang, mewakili kepentingan Melayu.

Bagi ramai orang Melayu di Rantau, selain sokongan padu kepada Mohamad, isu-isu ini menguatkan penyatuan dan sokongan untuk pemimpin popular ini.

Rantau menunjukkan bukti lebih jelas tentang penyatuan orang Melayu atas isu bangsa dan agama, dan diakui ramai pemerhati akademik sebagai amat cenderung berpihak pada BN yang kempennya kini dibantu kuat oleh Pas yang seperti UMNO memiliki kekuatan akar umbi kukuh.

Maka, bagi PH, selepas berakhir pilihan raya ini, sama ada kalah atau menang, boleh dijangka tumpuan akan segera beralih pada persaingan dalaman.

Selepas Rantau, selain persaingan Dr. Mahathir dengan pencabarnya yang akan semakin sengit dan terbuka, Parti Amanah juga akan memulakan pemilihan kepimpinan parti.

Dr. Mahathir dilihat semakin banyak menyekat agenda pihak lain dalam PH, manakala Anwar pula dianggap semakin kuat mencabar perdana menteri apabila anaknya membuat kenyataan menyifatkan Dr. beliau sebagai bekas diktator.

Perkembangan semasa kelihatan memberi gambaran yang keadaan akan lebih sukar bagi Anwar sekiranya beliau terus menunggu, apatah lagi dari perspektif kepentingan Melayu.

Parti politik Melayu kini nampaknya lebih cenderung kepada Dr. Mahathir sebagai pemimpin yang lebih ringan mudaratnya walaupun berada di barisan bertentangan.

PENULIS ialah penganalisis isu politik tanah air dan global serta bekas editor kanan Harakah.