Dulu apabila ada cadangan supaya kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dibenarkan menggunakan tandas orang kurang upaya (OKU), maka ramai pada masa itu mengingati OKU. Selepas itu senyap dan lupa hak OKU. Tunggu jika ada isu baharu, maka bakal gegak gempita semula.

Itulah nasib OKU, diingati hanya bermusim. Seolah-olah sama seperti rakyat negara ini yang ditatang seperti minyak yang penuh hanya semasa musim pilihan raya sahaja.

Tidak mustahil selepas ini jika ada pihak yang meminta ruang parkir khas sama seperti OKU, maka hak OKU akan kembali diperdebatkan. Langsung tidak ambil kesah sama ada hati OKU itu terluka atau tidak. Mungkin ramai menganggap OKU sama seperti manusia normal lain, mudah lupa.

Sebenarnya sudah ramai ber­ma­harajalela atas petak parkir ken­deraan dikhususkan untuk OKU. Beberapa hari lalu, penulis me­nemankan isteri membeli ba­rangan dapur di sebuah pasar raya, isteri dan dua lagi anak sahaja yang turun, penulis terpaksa tu­nggu dalam kereta kerana anak bongsu sedang lena tidur.

Secara kebetulan kenderaan kami diletakkan di hadapan em­­pat petak khusus untuk OKU. Dalam tempoh kira-kira sejam itu, petak itu tidak lengang, se­baliknya diisi dengan kereta. Tetapi apa yang sedih, pemiliknya bukan OKU. Mungkin mereka OKU penglihatan hingga gagal melihat papan tanda kerusi roda yang diletakkan di hadapan petak itu. Jika OKU penglihatan macam mana pula boleh memandu?

Dalam perjalanan pulang, kami singgah di perhentian sebelah Rehat dan Rawat, dari jauh terlihat sebuah food truck di kawasan parking ‘strategik’ tengah sibuk melayan pelanggan. Sekali lagi petak parking OKU menjadi mangsa. Cuba juga diperhatikan, mungkin peniaganya OKU, tetapi tersilap, mereka adalah manusia normal!

OKU adalah rakyat negara ini yang mempunyai hak terpelihara dalam Akta Orang Kurang Upaya 2008 iaitu mereka yang mempunyai kekurangan jangka panjang fizikal, mental, intelektual atau deria. Apabila berinteraksi ada pelbagai halangan yang boleh menyekat penyertaan penuh dan berkesan dalam masyarakat.

Pihak berwajib kena buat sesuatu yang sewajarnya, manakala manusia normal pula manfaatkanlah anugerah akal. Dalam pada itu, pihak berkuasa agama juga disarankan agar memudahkan OKU untuk beribadat di masjid dengan memastikan rumah Allah itu mesra OKU. Percayalah OKU yang ke masjid adalah manusia hebat kerana manusia normal lain pun kebanyakannya tidak sanggup melakukannya.

Jangan melayan keperluan OKU dalam ‘satu bakul yang sama’ kerana setiap daripada mereka mempunyai keperluan berbeza. Mungkin agak sukar untuk me­muaskan hati semua pihak, namun penyelesaian bakal ditemukan melalui perbincangan dengan persatuan yang mewakili OKU bagi memahami denyut nadi mereka.

Pihak berkuasa agama juga dalam kursus perkahwinan boleh juga menyelitkan sedikit modul berkaitan OKU. Ini penting bagi memastikan bakal ibu bapa itu tidak menganggap satu bala jika memiliki anak OKU. Sekurang-kurangnya mereka ada pengetahuan bagi memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan dan pembelaan sewajarnya. Ini kerana sama ada OKU atau normal, semuanya adalah hamba Allah.