T. MURUGIAH

Terbaru, semalam baginda turun menyaksikan rakyatnya yang menjadi mangsa kemalangan di Lebuh Raya Elite.

Keprihatinannya tidak hanya setakat berhenti bertanya dan melihat keadaan rakyatnya yang terlibat dengan kemalangan tetapi Seri Paduka Baginda juga bertitah agar seorang daripada polis pengiringnya segera memberi bantuan mengiring mangsa ke hospital.

Keprihatinan dan sikap perikemanusiaannya begitu tinggi terhadap rakyat dan menyentuh hati semua lapisan masyarakat.

Saya harap sikap baginda ini dicontohi oleh para pemimpin kerajaan dan sama-sama membantu mangsa kemalangan bukan hanya melihat dan melaporkan semata-mata ada kemalangan berlaku.

Sesiapa pun harus dibantu jika berlaku kemalangan. Kita suburkan sikap harmoni kita membantu sesiapa sahaja yang dilanda kemalangan.

Baik pemimpin mahupun sesama rakyat, tidak salah kita contohi sikap raja kita yang prihatin dan berjiwa rakyat.

Sikap turun padang baginda ini sememangnya menyentuh hati saya kerana baginda membantu tidak mengira bangsa atau agama rakyatnya.

Tidak memilih bulu dan melihat pangkat, sesiapa sahaja yang mengalami kemalangan tentunya memerlukan pertolongan kecemasan dan tidak salah kita segera menghulurkan bantuan.

Jadikan semangat Kebawah Duli Yang di-Pertuan Agong ini sebagai semangat kita bersama Semangat Satu Rakyat Malaysia.

Kita menyanyangi dan prihatin antara satu sama lain dalam semangat keprihatinan bersama.

Daulat Tuanku, kami rakyat Malaysia menjunjung kasih atas keprihatinan Tuanku kepada kami semua rakyat jelata.

Sembah Tahniah dan Dirgahayu Tuanku. Moga kasih sayang Tuanku berpanjangan bersama kami rakyat jelata.

Ampun Tuanku.

* Penulis ialah Naib Presiden MIC