Begitulah betapa pentingnya ilmu dalam kehidupan. Sejak dahulu lagi banyak orang berkata, dengan ilmu boleh mengubah kehidupan; daripada susah menjadi senang. Jika dahulu dihina kini dipuja, semuanya kerana ilmu. Benarkah? Pengalaman peribadi saya sendiri semasa kecil, apabila saya nampak kapal terbang di angkasa, saya kata kepada ayah saya, “Saya nak naik kapal terbang.” Kata ayah saya, “Belajar pandai-pandai.”

Kita telah dimitoskan; kejayaan dalam pelajaran merupakan jaminan kejayaan hidup seseorang. Sebab itulah musim peperiksaan adalah saat yang paling stres untuk ibu bapa, guru dan pelajar khususnya.

Dua perkara yang paling berharga adalah: masa dan fikiran. Jaga bagaimana cara kita menggunakan kedua-duanya. Jika kita gagal memanfaatkan dan mengawal kedua-duanya, kita akan menjadi panik apabila kita berada pada saat kemuncak, iaitu peperiksaan akan bermula. Belajar tidak bersungguh pada saat awal, tetapi apabila hampir hendak menghadapi peperiksaan barulah pulun, merupakan satu kesilapan besar yang dilakukan pelajar. Kalau semua pelajar mengambil iktibar daripada peribahasa Melayu, “Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian. Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian”, pasti tidak stres menghadapi peperiksaan.

Dalam kehidupan kita boleh pilih antara membuat pilihan atau mencari alasan. Semakin banyak alasan yang kita beri semakin tinggi ego kita, untuk memberikan alasan atas perkara yang kita tidak mahu lakukan. Bagi membolehkan kita membuatkan pilihan dan tindakan yang betul, kita kena tahu tujuan kita belajar. Hal ini amat penting kerana, ‘tujuan’ itu akan membuatkan kita bersemangat untuk belajar. Semangat berkobar-kobar untuk belajar akan membuatkan kita sanggup korbankan semua kesenangan kita masa kini, untuk mendapatkan kejayaan mendatang.

Semangat yang positif juga dapat melawan perasaan negatif kita; malas, penat dan putus asa. Orang yang ada wawasan sentiasa bijak membuat pilihan. Setiap orang dalam kehidupan ada tahap kehidupan yang akan dilaluinya berdasarkan pilihannya. Pertama, orang yang hendak bahagia sekarang, tidak ada wawasan, malas dan suka lepak. Kedua, orang yang terlampau hendakkan wawasan sampai hidupnya tidak boleh berseronok atau bahagia, tidak pernah rasa nikmat hidup dan mensyukuri nikmat. Hidupnya sentiasa stres. Ketiga, orang yang murung, tidak ada wawasan dan tidak bahagia. Keempat, orang yang ada wawasan, bersyukur dan bahagia. Orang yang dalam tahap ini optimistik dan berjaya, kerana ada visi masa hadapan. Jom audit diri dan buat pilihan kehidupan yang betul untuk menjadikan kita seorang sentiasa bersemangat.

Tip memupuk semangat hendak belajar dengan serius dan membuang perasaan negatif. Pertama, niat belajar kerana Allah, bukan belajar dengan tujuan hendak meraih kejayaan cemerlang dalam peperiksaan, untuk berbangga dan menunjuk-nunjuk kepada orang. Kedua, belajar dengan kerelaan hati, atas kesedaran untuk tidak mensia-siakan peluang yang ada, dan menghargai pengorbanan ibu bapa daripada segi wang ringgit, serta menghormati kepercayaan mereka kepada kita.

Mengajar orang lain

Ketiga, niat belajar kerana hendak memberikan manfaat dengan mengajar orang lain, sebab itu kita kena belajar bersungguh-sungguh dan faham betul-betul. Keempat, setiap ilmu yang kita pelajari ini, kena ada ‘pengikat’. Menulis atau mencatat ilmu yang kita pelajari adalah yang dimaksudkan ‘pengikat’. Kalau tidak, ilmu yang kita dapat akan senang hilang daripada minda dan tidak kekal.

Apabila guru menerangkan mata pelajaran yang kita pelajari di dalam kelas, kita tulis atau catat sebanyak mana mungkin sambil memahaminya. Selepas kelas, baca semula cacatan kita, dan mana yang tidak faham, segera buat rujukan atau dapatkan semula cikgu/pensyarah kita untuk mendapat penjelasan. Catat tarikh kelas tersebut, tulis halaman pada setiap helaian catatan kita, kemudian kumpulkan dalam fail, supaya nanti senang hendak jadikan rujukan. Maknanya pada musim peperiksaan nanti kita hanya membaca catatan nota kita yang lengkap, bukan membaca buku dan membuat rujukan pada saat terdesak itu.

Konsep belajar hari ini dan terus faham ini akan mudah untuk kita capai, dengan syarat sebelum masuk kelas kita sudah membuat rujukan dan membaca sekurang-kurang buku teks untuk mata pelajaran itu atau lebih baik lagi kita sudah membaca buku-buku rujukan yang berkaitan. Persediaan awal sangat penting, iaitu apabila masuk kelas sudah ada dua atau tiga helai kertas yang bercatat mengenai apa yang kita hendak belajar hari itu berdasarkan pemahaman awal kita, hasil daripada pembacaan tambahan.

Jika tidak sempat catat kerana cikgu/pensyarah menerangkan secara laju, rakam apa yang diajar cikgu/pensyarah. Dengar balik semula rakaman dan penuhkan ruang nota yang tertinggal setelah dapat mengesannya. Jadi dalam masa sehari ada baca semua semak rujuk sekejap ada. Seboleh-bolehnya pada hari yang sama kena lengkapkan semua nota itu dan fahamkan. Hal ini penting kerana lebih daripada 24 jam, kita akan lupa apa-apa yang kita pelajari, jadi jangan bertangguh!

Sebenarnya, untuk belajar tidak perlu masa yang banyak sangat, tetapi sesuaikan pada bila-bila masa, dalam keadaan fizikal kita bertenaga dan fikiran kita tenang dan segar. Tidur awal dan bangun awal untuk ulang kaji, dan cara ini lebih selamat daripada kita pulun ulang kaji semua mata pelajaran sekali gus, apabila peperiksaan semakin hampir. Ingatlah belajar pada saat terakhir banyak yang tercicir, kerana apabila terlalu banyak membaca pada waktu yang singkat kita pasti tidak ingat, akhirnya kita yang stres.

Yang penting dalam proses pembelajaran, faham. Setelah faham baru kita boleh hafal. Kedua-dua proses ini penting kerana, faham membantu kita ingat. Hafal membantu kefahaman kita. Percayalah setelah kita faham dan hafal baru kita boleh ajar. Apabila kita boleh mengajar orang lain, hal ini bermakna kita telah memahami 100 peratus mata pelajaran tersebut.

Seandainya peperiksaan sudah hampir, sedangkan kita tergolong dalam pelajar yang belum membuat persediaan bagi menghadapi peperiksaan, janganlah stres dan menganggap sudah tiada peluang untuk berjaya dalam kehidupan. Cuba dahulu, hadapi peperiksaan dengan tenang dengan mendapatkan bantuan daripada kawan-kawan yang mahu menguji penguasaannya terhadap mata pelajar, yang sudah difahami dan dihafalnya dengan mengajar. Seterusnya berdoa dan bertawakal. Ada tiga jenis pelajar. Pertama, kalau gagal mereka akan terus putus asa, menganggap diri dirinya tidak berguna. Kedua, pelajar yang kuat belajar tetapi tidak pandai-pandai juga. Ketiga, pelajar yang tukar strategi belajar tidak menggunakan cara lama. Biasanya pelajar jenis ketiga akan berjaya dalam hidupnya. Ingatlah kesilapan yang paling besar yang kita buat adalah apabila kita mengulangi kesilapan yang sama. Jangan putus asa, kegagalan bukan bermakna tamat kehidupan, tetapi kegagalan adalah tanda aras bermulanya kejayaan. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.