Persoalannya, bertakwakah kita setelah berpuluh tahun menjalani ibadah puasa? Kenapa keimanan dan ketakwaan kita masih di takuk lama? Banyak sebab, antaranya kerana kita berpuasa ikut-ikutan. Berpuasa kerana semua orang berpuasa. Sikap sebegini tidak akan memberi bekas kepada keimanan dan ketakwaan kerana bukan terbit daripada ketundukan ubudiyyah dan ketaatan kita kepada Allah SWT, sebaliknya persekitaran adat dan budaya.

Berpuasa perlu bermula dengan kesedaran yang matlamatnya mencapai takwa, bukan semata-mata berlapar dahaga. Gunakan untuk fokus, merenung, muhasabah dan refleksi diri seterusnya membuat lonjakan transformasi agar menjadi insan bertakwa dengan sisa umur yang berbaki.

Ia umpama kakitangan yang dihantar untuk menjalani kursus pendek agar selepas itu kembali dengan lebih bermotivasi, bersemangat dan menjadi pekerja cekap dan cemerlang. Oleh kerana itulah, Ramadan juga sering disebut sebagai ‘madrasah’ atau tempat latihan bertujuan mendidik dan melatih tubi bagi memantapkan lagi keimanan. Namun masih ada yang gagal walaupun menginsafi tujuan dan matlamat Ramadan, kenapa? Sebab ramai yang tidak mengerti bagaimana jiwa manusia berfungsi.

Manusia tercipta daripada unsur roh dan jasad. Jasad hanya kenderaan bagi roh. Apabila roh berada dalam jasad, roh mengemudi dan mengarah mengikut kemahuannya. Roh pula dibekalkan dengan kekuatan rasional dan kekuatan kehaiwanan. Kekuatan rasional akal berfungsi menerima ilmu, membuat pertimbangan baik buruk, manakala kekuatan kehaiwanan atau dipanggil nafsu berfungsi membantu kehidupan manusia.

Tanpa nafsu, manusia tidak akan membiak, tiada aktiviti dan alam ini tidak dapat ditadbir seperti sepatutnya kerana aktiviti duniawi mereka banyak didorong oleh nafsu. Namun nafsu hendaklah yang dikawal oleh kekuatan rasional akal, baharulah alam ini ditadbir seperti mana dikehendaki oleh Pencipta Alam. Jika tidak, ia akan ditadbir mengikut hawa nafsu dan nescaya berlaku banyak kerosakan di atas muka bumi. Apa kaitan hal ini dengan puasa?

Matlamat sebenar puasa untuk melemahkan kekuatan nafsu dan menguatkan kekuatan rasional akal. Apabila kekuatan nafsu dapat dikawal, baharulah insan itu menjadi hamba Allah yang benar-benar bertakwa kepada-Nya. Sifat nafsu manusia adalah bersifat kehaiwanan, dalam erti kata lain mempunyai persamaan dengan apa yang dilakukan dan disukai oleh haiwan. Antaranya suka hubungan kelamin, makan minum dan bergaduh. Jika diperhatikan sepanjang Ramadan, kekuatan haiwan inilah yang kita diminta kawal manakala kekuatan rasional akal seperti membaca al-Quran, berzikir, solat tarawih digalakkan untuk diperkuat dan dimantapkan.

Kalau faham semangat berpuasa ialah untuk melemahkan kekuatan hawa nafsu kebinatangan yang bersarang dalam diri dan menguatkan kekuatan rasional akal, maka sudah pasti kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai tujuan ini.

DR. NIK ROSKIMAN ABDUL SAMAD ialah Felo Kanan, 
Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik, 
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).