Manakan tidak, salah satu komponen PIP iaitu PIL 1 akan mula dilaksanakan pada tahun depan selepas projek yang mendapat bantahan daripada golongan pencinta alam serta warisan di Pulau Pinang itu mendapat kelulusan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Selepas itu, projek PSR yang dikatakan bakal menjadi pesaing kepada Marina Bay di Singapura juga bakal dilaksanakan sepertimana yang diumumkan oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Maka, selepas pengumuman itu dibuat, gegak gempita wargamaya serta rakyat Pulau Pinang memberikan pendapat serta hujah sebagai penentang dan penyokong bagi pelaksanaan projek tersebut.

Bagi golongan penentang antaranya terdiri daripada pencinta alam seperti Sahabat Alam Malaysia (SAM) serta aktivis warisan, projek berskala mega seperti PIP dan PIL 1 itu hanya merupakan satu pembaziran terhadap dana awam malah ia akan mengubah landskap hijau Pulau Pinang.

Selain itu, projek PSR yang juga merupakan komponen kepada projek PIP akan menyaksikan tiga buah pulau buatan seluas kira-kira 1,800 hektar bermula dari persisiran selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan menghala ke timur dekat Permatang Damar Laut turut dibantah lebih 3,000 golongan nelayan yang mencari rezeki di sekitar kawasan berkenaan.

Bantahan golongan nelayan untuk projek PSR itu juga ada logiknya memandangkan perubahan garis pantai di sekitar kawasan persisiran pantai akan berlaku di sebabkan projek penambakan laut itu.

Lihat sahaja nasib nelayan di sekitar Tanjong Tokong, Tanjung Bungah dan Teluk Bahang yang kini berdepan dengan masalah kekurangan sumber ikan dan hasil laut selepas projek penambakan dan pembangunan Seri Tanjung Pinang serta penambakan bagi projek di Persiaran Gurney dijalankan.

Walaupun ada ganti rugi dan pampasan yang diberikan nanti sekiranya projek itu dilaksanakan, ia pastinya tidak setimpal dengan kehilangan mata pencarian nelayan serta pastinya mengorbankan ekologi marin di kawasan terlibat.

Bagi kumpulan yang menyokong perlaksanan projek PIP itu pula, mereka menegaskan projek itu satu keperluan memandangkan Pulau Pinang kini berdepan dengan masalah kesesakan lalu lintas yang teruk.

Hujah ini juga ada benarnya bagi penduduk di kawasan pulau negeri ini yang sering berdepan dengan kesesakan lalu lintas yang kritikal terutamanya ketika musim cuti sekolah atau musim cuti perayaan.

Tersangkut dalam kesesakan lalu lintas sehingga sejam atau dua jam merupakan ‘makanan’ harian penduduk malah keadaan akan bertambah teruk jika berlaku kemalangan serta hujan lebat sehingga kadang-kala ayat seperti ‘mak hang hijau’ pasti muncul jika ada pemandu kenderaan kurang beradab memotong barisan.

Selain itu, hujah penyokong lagi, jika projek PIP itu tidak dilaksanakan pada masa ini, dalam tempoh 10 tahun lagi tidak mustahil keadaan lalu lintas bahagian pulau negeri ini akan menyaingi bandar Jakarta atau Bangkok dari segi kesesakan jalan raya malah peningkatan kos juga mungkin berlaku jika ia ditangguhkan.

Apa juga hujah yang diberikan oleh golongan penentang dan penyokong kepada projek PIP, sewajarnya jika projek itu dilaksanakan ia perlu dilakukan dengan telus serta mengikut garis panduan yang ditetapkan tanpa sebarang skandal terpalit.

Pastinya, jangan biarkan sehingga alam sendiri yang berbicara untuk mengajar kerakusan manusia, natijahnya terlalu menakutkan untuk difikirkan. - UTUSAN ONLINE