Walaupun kedua-dua PRK itu berlaku kerana sebab berbeza, hakikatnya adalah pengundi kawasan berkenaan terpaksa melalui proses pengundian tidak sampai setahun berlangsungnya PRU-14.

Ada berpendapat PRK berlaku terlalu kerap dan setakat ini angka tersebut bakal mencecah tujuh PRK jika kes DUN Rantau diambil kira dan ditambah pula bahang PRU belum lagi reda.

Pengundi akan berasa bosan, lebih-lebih lagi apabila keputusan PRK tidak akan mengubah senario politik negeri atau Persekutuan.

Sebab itu juga menjadi kelaziman jumlah peratus keluar mengundi PRK adalah jauh lebih rendah jika hendak dibandingkan ketika berlangsungnya PRU.

Sebab itu menjadi kemusykilan yang agak menarik sama ada pengundi perlu memberi perhatian sama berat tidak kira ketika melaksanakan tanggungjawab ketika PRU atau PRK.

Menjadi tanggungjawab Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melaksanakan PRK bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen atau DUN seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan akta mengenai pilihan raya. Dan sebab itu perlaksanaan PRK tidak boleh dielakkan kecuali dalam kes tertentu.

Tetapi menarik jika dipersoalkan apabila pengundi melaksanakan hak mereka semasa PRK, apakah perlakuan tersebut berlaku kerana tanggung jawab rakyat melunaskan hak demokrasi untuk memilih wakil rakyat atau pun perlakuan tersebut mempunyai maksud lain.

Dengan perkataan lain, patutkah PRK digunakan oleh pengundi setempat sebagai saluran untuk meluahkan pendapat mereka mengenai sesuatu isu kerana pada asasnya matlamat PRK adalah untuk memilih wakil rakyat kawasan berkenaan.

Di Amerika Syarikat (AS) umpamanya, sistem Pilihan Raya Kongres digunakan oleh rakyat sebagai landasan menyuarakan rasa tidak puas hati atau sebaliknya terhadap pentadbiran White House.

Ini kerana pilihan raya untuk memilih perwakilan Kongres, kedua-dua dewan, Perwakilan dan Senat diadakan setiap dua tahun.

Paling menarik pilihan raya yang lebih dikenali sebagai Pilihan Raya Separuh Penggal, terlaksana selepas dua tahun berlaku Pilihan Raya Presiden.

Umpamanya Pilihan Raya Separuh Penggal November lepas, adalah dua tahun selepas Presiden Donald Trump menerajui pentadbiran White House, dianggap referendum rakyat terhadap pentadbiran beliau.

Seperti yang diketahui Dewan Perwakilan sebelum ini dikuasai Parti Republikan, telah jatuh ke Demokrat yang memberi tafsiran rakyat tidak berpuas hati dengan pentadbiran Trump.

Sementara Dewan Senat yang mempunyai 100 kerusi kekal milik Republikan kerana dari 33 kerusi yang dipertandingkan hanya tujuh penyandangnya adalah Republikan dan kesemuanya itu kubu kuat Republikan.

Lazimnya Pilihan Raya Separuh Penggal kurang menarik minat rakyat AS dan lumrahnya tidak lebih dari 40% pengundi menunaikan tanggungjawab mereka.

Tetapi pilihan raya November lepas menyaksikan hampir 50 % keluar mengundi dan peratusan ini tertinggi dalam sejarah Pilihan Raya Separuh Penggal. Begitu jelas rakyat AS menggunakan landasan itu untuk menyuarakan perasaan terhadap pentadbiran Trump yang kini bermasalah kerana partinya hilang kawalan Dewan Perwakilan.

Tidak lama lagi penduduk DUN Semenyih akan menghadapi PRK dan akan diikuti DUN Rantau. Jika ditinjau perkembangan senario politik semasa, mungkin akan ada lagi PRK yang bakal dilaksanakan selepas Rantau.

Memang tidak dinafikan apa jua keputusan yang dicapai sama ada di Semenyih, Rantau dan banyak lagi selepas ini, tidak akan mengubah kerajaan sama ada di peringkat negeri atau persekutuan.

Tidak keterlaluan jika dianalogikan sekiranya kedua-dua Dewan Kongres jatuh ke tangan Demokrat, kedudukan Trump sebagai Presiden tidak tergugat kerana masih mempunyai mandat dua tahun lagi.

Tetapi PRK perlu digunakan sebaiknya oleh pengundi setempat demi menyuarakan pendapat jika ada kelemahan, PRK adalah landasan terbaik untuk memberi isyarat supaya kelemahan itu diperbaiki.

Sebab itu dihujahkan juga dalam setiap PRK, statistik jumlah keluar mengundi, jumlah undi majoriti menentu kemenangan dan jumlah undi yang diperoleh oleh calon adalah antara isyarat perlu diperhalusi.

Ini kerana kesemuanya itu walaupun merangkumi pengundi kawasan terhad, tetapi hakikatnya adalah itulah juga perasaan rakyat keseluruhannya.