Mungkin kita tidak boleh menyalahkan 100 % perbuatan itu kepada kanak-kanak tersebut kerana dalam usia seawal itu, dia masih tidak mampu untuk berfikir secara waras bahawa kelakuannya itu adalah satu kesalahan. Dan mungkin dia sekadar mahu melakukan eksperimen tentang apa yang ditontonnya itu.

Sebenarnya kes itu bukanlah yang pertama. Untuk rekod yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri, lebih 600 kes juvana bagi kesalahan rogol dicatatkan setiap tahun yang dilakukan seawal usia tujuh tahun!

TONTON VIDEO PORNO

Kaitan kes rogol dengan isu menonton video lucah pada awal usia kanak-kanak tidak boleh dipandang ringan dan merupakan satu isu yang amat membimbangkan di negara ini.

Dalam satu kajian dijalankan Malaysians Against Pornografi (MAP) pada 2018, kira-kira 80 % kanak-kanak berusia antara 10 hingga 17 tahun telah menonton video/filem porno secara sengaja, manakala hampir 89 % daripada kanak-kanak berusia 13 hingga 17 tahun menjadi mangsa antun dalam talian (sexual grooming).

Maklumat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula mendedahkan Malaysia mencatatkan bacaan alamat IP tertinggi (20,000 alamat IP) antara negara-negara di Asia Tenggara dalam memuat naik dan memuat turun gambar serta visual pornografi kanak-kanak.

Sebelum 2014, secara purata seramai 60 kanak-kanak mendapat serangan seksual daripada penjenayah yang dikenali menerusi Internet. Dan angka itu meningkat kepada 117 kanak-kanak pada 2017. Sebanyak 51 % kanak-kanak berusia antara 13 dan 15 tahun pula didapati berkawan dengan penjenayah menerusi aplikasi WeChat, Facebook, WhatsApp dan Beetalk.

Lebih 60 % kanak-kanak meluangkan masa chatting di atas talian pada setiap hari. Kebanyakan ibu bapa di Malaysia membiarkan anak mereka menggunakan telefon bimbit tanpa pemantauan dan hanya 35.6 % ibu bapa yang memantau aktiviti anak-anak mereka.

CELIK INTERNET

Dalam dunia teknologi dan internet ketika ini, tindakan menyekat anak-anak menggunakan kemudahan itu bukanlah cara terbaik. Apa yang ibu bapa perlu lakukan ialah membantu anak-anak supaya menjadi ‘celik internet’ agar mereka tidak terganggu dengan segala bentuk pornografi dalam talian.

Ibu bapa sendiri perlu mempunyai pengetahuan bagaimana menggunakan internet dengan bijak. Pantau aktiviti anak-anak di laman media sosial serta wujudkan privacy function dalam akaun mereka bagi menghalang dicerobohi orang-orang yang tidak dikenali.

Walau bagaimanapun, dalam menangani isu ini, timbul persoalan dari sudut penguatkuasaan daripada pihak berwajib. Adakah tahap keselamatan siber di negara ini masih lemah dalam usaha mengekang penularan video pornografi?

Cekmek Molek membangkitkan isu ini kepada Ketua Pegawai Eksekutif, CyberSecurity Malaysia, Datuk Dr. Amirudin Abdul Wahab. Menurut beliau, tahap keselamatan siber di Malaysia sebenarnya masih terkawal.

Namun, pertambahan bilangan pengguna internet ketika ini sedikit sebanyak boleh mengancam tahap keselamatan. Walau bagaimanapun, perkara itu boleh dikekang dengan mempergiatkan proses didikan dan memberi kesedaran mengenai kepentingan keselamatan siber dari segi kaedah dan amalan terbaik penggunaan teknologi.

“Dalam hal ini, CyberSecurity Malaysia sentiasa berusaha dan menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak sama ada agensi kerajaan mahupun swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam membendung pornografi online khususnya yang melibatkan kanak-kanak,” katanya kepada Cekmek Molek baru-baru ini.

PASANG TOOLS DI TELEFON

Dalam usaha memantau penggunaan internet, CyberSecurity Malaysia memberikan beberapa cadangan dengan memasang beberapa penggunaan tools (yang dibangunkan pihak ketiga) di telefon pintar untuk menyekat isu kandungan berunsur lucah.

Bagi pengguna android misalnya, mereka boleh memasang aplikasi seperti ‘Blokada’. Selain itu, ibu bapa boleh memuat naik aplikasi ‘Celcom Safe’ selain menetapkan privacy pada komputer peribadi atau telefon pintar.

Pihak CyberSecurity Malaysia juga ada mengeluarkan Buku Panduan Keibubapaan Siber bagi tujuan memberi pendedahan bagaimana untuk menjaga anak-anak mereka daripada ancaman jenayah siber.

Buku panduan itu boleh dicapai menerusi atas talian di https://www.cybersafe.my/en/download/Buku_Panduan_Keibubapaan_Siber_BM.pdf. Antara panduan yang boleh dirujuk:

Hadkan masa penggunaan internet anak anda kepada setengah jam sehari di bawah pemantauan anda.

Gunakan perisian kawalan ibu bapa (seperti DiGi Family Safety) untuk menyekat mana-mana laman web yang tidak sesuai untuk umur mereka.

Pilih Youtube Kids dan menghentikan fungsi auto-play.

Program pendidikan dan kesedaran siber juga turut dianjurkan yang dikenali sebagai program CyberSAFE (www.cybersafe.my) bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai isu-isu teknikal mahupun sosial terutamanya mengenai bahaya dan ancaman yang akan dihadapi semasa melayari internet.

Sesungguhnya, semakin canggih teknologi, semakin besar risiko atau bahayanya jika disalahgunakan. Manusia yang mencipta teknologi tetapi jangan pula teknologi yang menghancurkan manusia.

Sebagai ibu bapa, pantaulah aktiviti anak-anak anda. Kita tidak mahu kejadian rogol melibatkan kanak-kanak akibat pengaruh buruk internet tidak lagi menjadi sesuatu yang mengejutkan dalam masyarakat.