Kekalahan tidak dapat dielakkan walaupun suasana yang ada sekurang-kurangnya mampu me­lonjakkan BN menang atau kalah dengan majoriti kecil seperti yang berlaku pada PRU 2004. Calon BN, Pirdaus Ismail kalah kepada Dr. Wan Azizah Wan Ismail dengan majoriti 590 undi. Pada pe­ringkat awal, BN dikatakan mempunyai sedikit peluang tetapi suram akibat ‘kekalutan’ pelbagai isu yang gagal diselesaikan dengan baik. Saya berada di Permatang Pauh untuk minggu terakhir kempen sehingga hari pengundian. Kempen hebat, tegang dan panas. Menjelang hari pengundian, saya bertanyakan rakan yang turut membantu kempen mengenai peluang BN. Secara jujur, beliau memberitahu, BN kekurangan 9,000 hingga 10,000 undi. Itu pun berdasarkan ‘bacaan’ tanpa kehadiran Presiden Pas, Abdul Hadi Awang. Tengah malam selepas kempen tamat, seorang pemimpin Pemuda UMNO ketika ditanya soalan sama secara ringkas berkata, ‘kalah’. Pada sebelah petang ketika bersama rakan minum di sebuah kedai kopi, seorang lelaki menghampiri kami dan bertanyakan berapa peratus keluar mengundi. Saya menjawab, 74 peratus. Lantas dia berkata: Susah, BN kalah! Kalau kurang, BN menang. Begitulah ‘bacaan’ mengenai kekalahan BN.

Petang hari mengundi, seorang pe­­mimpin pembangkang ketika meleraikan kekecohan di Sekolah Kebangsaan Guar Perahu berkata, “Bersurailah, kita dah menang! Tunggu malam ini,’’. Begitulah keyakinan PKR. Memang sukar pengundi Permatang Pauh menyisihkan PKR yang bertapak di situ selama 17 tahun. Apakah rahsia PKR? Modal PKR untuk memancing undi hanyalah isu-isu yang boleh menimbulkan kemarahan rakyat dan membenci kerajaan. Cukai barang dan perkhidmatan (GST), ketempangan 1MDB, isu lembu NFC antara bahan kempen. Isu-isu berkenaan amat mudah menimbulkan kemarahan dan membenci kerajaan. Siapa yang tidak marah apabila harga barang naik akibat GST? Di setiap simpang jalan di Permatang Pauh, akan ada poster berkaitan GST dan 1MDB. Di- situ digambarkan rakyat menjadi mangsa sama ada kanak-kanak atau orang tua. Kerajaan didakwa zalim. Isu ini sudah cukup memeningkan penceramah untuk menjelaskan ke­pada pengundi. Lebih memening­kan dalam kalangan anggota biasa parti yang tidak dibekalkan dengan maklumat untuk mematahkan se­gala persoalan mengenai GST. Penyokong tegar pakatan sudah tentu akan ‘termakan’ hujah itu. Begitu juga mereka ‘di atas pagar’.

Tidak mustahil, dalam kalangan pengundi UMNO pun boleh tergugat. Sesuatu harus dilakukan supaya penceramah tidak tertekan dengan isu-isu yang tidak jelas kedudukannya. Pemimpin BN atau UMNO perlu menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku dalam isu berkaitan 1MDB dan GST. ‘Padamkan’ isu ini daripada terus menghantui kempen Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. BN tidak melakar sejarah di Permatang Pauh tetapi PKR yang melakar sejarah baharu. Pengundi sekali lagi memilih wakil rakyat yang pernah meletak jawatan untuk memberi laluan kepada suaminya di kawasan yang sama. Apakah kekuatan keluarga Anwar mendorong kemenangan PKR? Wan Azizah juga menjadi wakil rakyat di dua negeri atau ‘wilayah’ yang berbeza, di Lembah Klang (DUN Kajang, Selangor) dan satu lagi di utara (Permatang Pauh, Pulau Pinang). Satu lagi sejarah ialah PRK paling ganas!

BN perlu mencari sebab kenapa pengundi Permatang Pauh sedia berkongsi wakil rakyat. Jika tidak ada Wan Azizah, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng boleh memainkan peranan. Di Kajang, Azmin Ali. Dalam erti kata lain, Permatang Pauh dan Kajang akan ada ‘bapa angkat’, Ketua Menteri dan Menteri Besar. Ini satu kelebihan. Guan Eng, sebagai Ahli Parlimen Bagan boleh kerap melawat Permatang Pauh mendekati rakyat dan merancang pembangunan di kawasan majoriti orang Melayu itu. Jika diselak keputusan PRK Khamis lalu, BN berjaya menambah undi berbanding PRK 2008. Jika dibandingkan dengan PRU-13, BN dan PKR menghadapi kemerosotan undi. Tidak dinafikan jentera BN bekerja keras untuk memenangi semula kerusi Permatang Pauh. Mungkin ada beberapa kekurangan yang boleh diperbaiki. Pengalaman berada di satu pusat daerah mengundi, ada penceramah tidak hadir mengikut jadual.

Peralatan siaraya juga perlu hebat. Jika pihak di sebelah sana berceramah sehingga didengar pihak BN, peralatan yang sama perlu digunakan. Sediakan bahan berbentuk ucapan atau penjelasan isu tertentu dalam bentuk video yang boleh ditayangkan di layar skrin supaya ruang kosong tanpa penceramah diisi dengan bahan berkenaan, bukannya memutarkan lagu-lagu patriotik sehingga pihak di sebelah sana berkata, BN sedang karaoke. Pengundi luar yang menyokong parti juga perlu dihubungi supaya balik mengundi, bukan hanya menanti kepulangan mereka. Pengundi ‘putih’ yang sudah pasti menyokong BN perlu dipastikan keluar mengundi sejak awal. Jangan menunggu sehingga saat akhir. Orang lama atau veteran juga perlu dilibatkan dalam mengendalikan operasi bilik gerakan PRK. Biar apa pun alasan untuk melakukan transformasi lama kepada baharu, jangan lupa veteran. Mereka berpengalaman mengendalikan pilihan raya. Golongan seangkatan mereka juga masih ramai sebagai pengundi.

Jika PKR boleh menggunakan isu GST dan 1MDB bagi membangkitkan kemarahan rakyat, kenapa BN tidak menggunakan beberapa keputusan kerajaan negeri Pulau Pinang yang menyusahkan rakyat? BN ada mengedarkan risalah berkaitan kepincangan kerajaan DAP Pulau Pinang bertajuk Pulau Pinang Sebelum & Selepas PRU 13 berkaitan pembohongan 17 perkara. Sejauh mana isu ini digunakan dalam ceramah, poster atau sepanduk besar? Adakah isu-isu nasional lebih menarik perhatian? Contoh isu di Pulau Pinang termasuklah kenaikan caj air, kenaikan cukai pintu, kadar sewa gerai dinaikkan, isu perumahan dan banyak lagi. Begitu juga dengan pendirian PKR menentang hudud. Jika pembangkang boleh melaungkan satu undi BN bererti menyokong GST kenapa tidak satu undi PKR menolak hudud?

Mengundi PKR bererti menyokong kenaikan caj air, cukai pintu dan sebagainya? BN perlu mengikut rentak pembangkang. Tidak boleh terlalu baik dan bersopan menghadapi PKR pada PRK. PKR amat agresif. Malam terakhir kempen, jalan raya di beberapa kawasan sesak dengan kehadiran konvoi bermotosikal membawa bendera PKR. Amat sukar mencari kende­raan termasuk motosikal membawa bendera BN. Kanak-kanak digunakan mengibarkan bendera PKR dan melaungkan reformasi. Permatang Pauh juga melakar sejarah sebagai PRK paling ganas, dicemari insiden pergaduhan. Ada yang cedera dipukul dan kenderaan dirosakkan. PRK 2008 juga sama. Kenapa begitu Permatang Pauh? Situasi di kawasan pusat mengundi lebih teruk jika dibandingkan semasa wujud barung parti. Tiba masanya pengundi tidak tertekan dengan provokasi. Diharapkan sejarah di Permatang Pauh akan menjadi panduan semua pihak memperbaiki keadaan.

Kepada Suhami Sabudin @ Mie, anak muda, orang tempatan yang tewas, syabas kerana cekal menghadapi PKR dalam PRK ini yang disifatkan sebagai cabaran mendaki gunung. Kepada Ketua UMNO Bahagian, Mohd Zaidi Mohd Said, teruskan semangat agenda tranfsormasi. Walaupun dakwat mengundi di jari masih boleh dilihat kesannya, tetapi kesan di hati petugas BN khususnya jentera UMNO, hanya mereka yang tahu! Semoga tiada lagi PRK di Permatang Pauh sehingga PRU-14.