Ini kerana suspek tersebut dilihat bukan sahaja berani melakukan perbuatan itu di tempat awam, malah langsung tidak mempedulikan

kehadiran kamera litar

tertutup (CCTV) dalam lif itu walau menyedari kehadirannya.

Kejadian itu mendapat perhatian semua pihak termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang kemudian mengatakan wanita tidak seharusnya berjalan sendirian di tempat-tempat sunyi.

Namun, sampai bila wanita perlu berada dalam ketakutan seperti ini dan apakah yang boleh dilakukan sebagai langkah proaktif mengembalikan keyakinan masyarakat terutamanya wanita untuk menjalani kehidupan seharian.

Wartawan Utusan Malaysia, NAIMAH MOHAMAD bersama wartawan Utusan Online, MUHAMMAD ALIF OMAR dan jurugambar MOHD. NAJIB MOHD. NOR berkesempatan menemubual Ketua Polis Kuala Lumpur, DATUK SERI MAZLAN LAZIM bagi mengenalpasti apa sebenarnya yang berlaku dan apakah langkah yang telah diambil organisasi keselamatan itu untuk memastikan masyarakat dapat terus merasa selamat.
 

UTUSAN: Pernahkah berlaku kejadian seumpama itu sebelum ini di Kuala Lumpur, jika pernah, apakah statistiknya?

MAZLAN: Kes di MRT itu sebenarnya kes terpencil, namun walaupun terpencil, kita lihat perlu beri fokus juga kepada kes ini kerana ia begitu ganas, dapat dilihat menerusi CCTV bagaimana suspek terus tumbuk, tak tunggu-tunggu dah.

Langsung tak tanya apa-apa dan tumbukannya bertalu-talu, siap tendang lagi, jadi ini adalah penjenayah yang ganas.

Kebiasaannya, perlakuan seperti itu mesti di bawah pengaruh dadah, dalam kes ini dadah methamphetamine dan amphetamine.

 

Bagi pihak polis sendiri, apakah langkah-langkah yang telah diambil selepas kejadian tersebut, mungkin ada SOP yang ditambahbaik, atau tingkatkan pengawalan di tempat-tempat awam, atau merasakan tidak perlu ada sebarang penambahbaikan?

Dalam menangani hal ini di masa hadapan, kerjasama dengan pengawal di MRT adalah penting. Saya juga sudah arahkan pasukan MPV dan URB untuk buat rondaan lebih kerap pada waktu sunyi, iaitu ketika waktu awal dan akhir pengangkutan tersebut yang mana dalam tempoh tersebut tidak ramai pengguna lagi.

Saya juga ingin nasihatkan orang ramai, maklumkanlah pada pengawal stesen tersebut sekiranya terlihat sesiapa yang mencurigakan, anda perlu simpan nombor pengawal keselamatan di tempat anda selalu naik dan turun.

Jadikan itu satu kemestian supaya pengawal keselamatan dapat mengambil tindakan awal sebelum ketibaan polis.

Saya juga ingin maklumkan kepada orang ramai, ada tiga sebab penjenayah melakukan jenayah;

• memang ada niat

• ada skil untuk melakukan jenayah

• ada peluang untuk melakukan jenayah

Oleh itu, jangan pernah beri ruang dan peluang kepada penjenayah melakukan jenayah, sentiasa bersedia, hubungi pihak berkuasa atau sekurang-kurangnya pengawal keselamatan sekiranya anda berjalan keseorangan di stesen yang sunyi.

Anda juga perlu simpan nombor hotline Polis Kuala Lumpur 03-21159999, ramai yang tak simpan. Saya seru orang ramai supaya hubungi pihak berkuasa dulu sebelum buat apa-apa rakaman, kerana tindakan merakam tanpa menghubungi pihak berkuasa akan melewatkan bantuan tiba.

Suspek kes tersebut merupakan anggota kongsi gelap dikenali sebagai 08, adakah polis telah meningkatkan usaha memburu ahli-ahli kongsi gelap yang semakin berani dan ganas sekarang?

Suspek kes samun lif MRT memang anggota kongsi gelap 08, bagaimanapun dalam kes tersebut dia bergerak sendirian dan bukan secara berkumpulan.

Dia dipercayai terlibat dengan lebih lapan kes lain sebelum ini, dan kita percaya dia melakukannya untuk menyara diri serta membeli dadah.

Suspek ada banyak rekod kes lampau, dan dia akan didakwa dalam masa terdekat. (Suspek telah dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur pada Jumaat).

Sebelum ini, Polis Kuala Lumpur dilihat menjalin kerjasama dengan institusi perbankan untuk membanteras kes penipuan, apakah ada kerjasama yang terjalin di antara polis dan pengendali pengangkutan awam, dan sejauh mana keberkesanannya?

Seperti yang saya katakan tadi, kejadian seumpama ini jarang-jarang berlaku, bagaimanapun kejadian ragut dan samun jalanan, banyak.

Oleh itu Polis KL sudah berjumpa dengan Pusat Pengurusan Pengangkutan Bersepadu (ITIS) DBKL di Bukit Jalil.

Ini untuk membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi siaran CCTV yang diletakkan di sekitar ibu kota supaya tindakan lebih cepat dapat diambil.

Sebelum ini, ITIS banyak membantu dari segi kelancaran trafik, sekarang kita sedar mereka juga boleh bantu dalam kes-kes jenayah.

Macam kes di MRT, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Datuk Seri Rosli Ab. Rahman sudah berjumpa dengan Prasarana Malaysia Bhd.

Pihak Polis KL juga akan menyusul dalam masa terdekat untuk membincangkan bentuk kerjasama antara dua pihak bagi memastikan keselamatan pengguna.

Datuk Seri dilihat sebagai seorang ketua polis yang sangat aktif menganjurkan HPP atau High Profile Policing di sekitar ibu negara, adakah ia menunjukkan sebarang keberkesanan sejak mula dilancarkan?

HPP dimulakan pada November 2018, tujuan utamanya adalah bagi menguar-uarkan tindakan polis untuk membantu serta dibantu masyarakat.

Tujuan diadakan di kompleks beli-belah adalah kerana ia merupakan tempat tumpuan masyarakat tempatan dan pelancong, senang nak dapat target audience supaya mesej yang di bawa sampai.

Ada tiga perkara yang ingin dicapai menerusi HPP:

• Bermesra dengan orang ramai dan memberitahu bagaimana cara termudah untuk menghubungi polis.

• Dapat beritahu apa faedah yang diadakan sepanjang program, sebelum ini menerusi 12 HPP, sebanyak RM1.2 juta saman dapat dipungut.

• Mahu masyarakat bagi maklumat kepada polis melalui Volunteer Smartphone Patrol (VSP).

Menerusi HPP juga dapat memberitahu secara tidak langsung kepada masyarakat bahawa polis sentiasa ada dan mereka bebas berhubung dengan agensi ini. Polis adalah hak rakyat dan jangan dianggap sebagai musuh.

Sejak saya ambil alih jawatan Ketua Polis KL, indeks kadar jenayah telah menurun sebanyak 10.06% pada tahun 2018 berbanding 2017.

Persepsi masyarakat terhadap PDRM juga 
semakin meningkat di mana mereka lebih rasa selamat dan sedar dengan kehadiran polis di samping mudah mendapat bantuan. Saya kira kejayaan ini adalah bukti keberkesanan HPP.