Concorde yang adalah satu-satunya kapal terbang penumpang supersonik yang berjaya dicipta merekodkan penerbangan pertamanya pada 2 Mac 1969 dan tanggal 2 Mac lalu, genap 50 tahun ulang tahun usia Concorde yang pernah menjadi pilihan utama golongan diraja, elit dan selebriti Hollywood untuk terbang.

Malangnya, kegemilangan Concorde tidak dapat bertahan lama, tanggal 26 November 2003 pesawat paling laju di dunia ini terpaksa mengucapkan selamat tinggal buat selama-lamanya.

Selepas gah terbang membelah ruang angkasa selama 34 tahun, pesawat yang dibina dengan melibatkan kerjasama antara dua negara, British dan Perancis melalui syarikat British Aircraft Corporation dan Sud-Aviation terpaksa menghentikan operasi akibat semakin dimamah usia selain menelan kos yang tinggi untuk menerbangkannya.

Tragedi hitam melibatkan pesawat Concorde milik Air France yang terhempas pada 25 Julai 2000 selepas hanya beberapa minit berlepas dari Paris sehingga meragut nyawa kesemua 113 penumpang dan anak kapal memendekkan lagi jangka hayat pesawat ini.

LEBIH LAJU DARIPADA KELAJUAN BUNYI

Pesawat supersonik ini yang dilengkapi empat enjin Rolls-Royce Olympus mampu membakar sebanyak 6,771 gelen atau 25,629 liter minyak sejam. Ketika berada pada ketinggian 60,000 kaki, pesawat ini mampu terbang dengan kelajuan lebih daripada dua kali ganda kelajuan bunyi atau 1,350 mph dan lebih cepat 800 mph daripada kelajuan jet jumbo Boeing 747.

Bagaimanapun, saiznya lebih kecil berbanding pesawat biasa dengan hanya mempunyai 100 kerusi. Lebarnya kira-kira 2.63 meter dengan ruang kabin sedikit luas berbanding jet Bombardier Regional.

Disebabkan bunyinya yang sangat kuat, Concorde hanya terbang pada kelajuan supersonik di atas lautan untuk mengelakkan bunyi bising.

Concorde mempunyai badan yang panjang dan tirus dengan muncung runcing serta sayap yang terentang ke belakang. Ketika hendak berlepas dan mendarat muncungnya diturunkan kepada 12 darjah supaya juruterbang dapat melihat daratan. Ketika penerbangan supersonik pula, muncungnya dinaikkan semula. Menurut Kapten syarikat penerbangan British Airways, John Tye, yang pernah menerbangkan pesawat ini antara tahun 1998 hingga 2000, pesawat Concorde merupakan karya teragung dalam dunia kejuruteraan penerbangan. Namun begitu, sepanjang tempoh 15 tahun hanya 20 pesawat ini yang telah dibina.

DIMiNATI GOLONGAN ELIT

Menepati statusnya sebagai pesawat yang terhebat ketika eranya, Concorde sentiasa menjadi pilihan utama golongan terkenal antaranya Joan Collins, Paul McCartney dan Puteri Diana.

Selain itu, gambar pemerintah Britain, Ratu Elizabeth juga pernah dirakamkan beberapa kali ketika menaiki pesawat ini. Antaranya gambarnya sedang membaca akhbar ketika dalam perjalanan pulang dari Bridgetown, Barbados selepas sambutan Jubli Perak dan gambarnya ketika berada dalam kokpit Concorde bersama puterinya, Puteri Anne.

Dengan harga tiket pergi dan balik antara London dan New York mencecah sekitar AS$11,960 (RM47,840) pada 2003 maka tidak hairan mengapa hanya golongan tertentu ini sahaja mampu menaiki pesawat ini.

SELAMAT JALAN CONCORDE

Pada 1976, Concorde mendapat tekanan ramai pihak kerana bunyi bising pesawat dan ledakan soniknya. Selain itu, terdapat negara yang meluluskan undang-undang tidak membenarkan pesawat terbang pada kelajuan bunyi bagi mencegah dentuman bunyi daripada mengganggu manusia dan haiwan. Ekoran itu, banyak syarikat penerbangan membatalkan pesanan membeli Concorde, hanya tinggal British Airways dan Air France yang menggunakannya.

Kemuncaknya, apabila pesawat ini terhempas 19 tahun lalu. Biar pun Concorde kembali beroperasi setahun kemudian iaitu tepat pada tarikh 11 September 2001, kos operasinya ketika itu sangat tinggi ditambah dengan situasi tidak menentu dalam industri penerbangan akibat serangan terhadap menara berkembar World Trade Centre (WTC) di New York.

Akhirnya pesawat supersonik ini terpaksa mengucapkan selamat tinggal dalam satu upacara penerbangan khas pada Oktober 2003 dari Heathrow ke Bristol. Kini ia tidak lagi membelah ruang angkasa, yang ada hanya tinggal 17 pesawat Concorde yang dipamerkan di beberapa muzium antaranya di Aerospace Bristol, United Kingdom; Muzium Udara dan Angkasa Perancis; Muzium Auto dan Teknik Sinsheim, Jerman dan di Muzium Udara, Angkasa dan Laut New York serta Muzium Penerbangan Seattle di Amerika Syarikat untuk tatapan pengunjung bagi mengenang pesawat yang pernah mengejutkan dunia satu ketika dahulu.