Seramai 1.16 juta pengguna di 1,133 kawasan sekitar Kuala Lumpur dan Selangor terjejas susulan pencemaran bau pada sumber air mentah Sungai Selangor.

Berlaku tumpahan minyak diesel di kawasan Sungai Selangor yang menyebabkan penutupan empat Loji Rawatan Air (LRA). Insiden pencemaran di kolam takungan hiliran Kampung Hang Tuah di Bestari Jaya ini disiasat

dengan undang-undang paling tegas kerana ia membabitkan kepentingan awam.

Pada mulanya disangkakan pencemaran berpunca daripada kejadian alam, kemudian angkara pemancing, diikuti dengan kecuaian dan disusuli dengan perbuatan khianat.

Perbuatan khianat ini dipercayai berikutan minyak diesel atau benzena dikesan memasuki aliran air dari sebuah pontun yang sudah tidak beroperasi.

Tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap pihak yang disyaki terbabit kes mensabotaj serta mencemarkan Sungai Selangor dengan merujuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan siasatan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan.

Sekiranya hasil siasatan yang dilakukan menolak sebarang kemungkinan berlakunya perbuatan sabotaj tetapi lebih kepada kejadian kecuaian, sama ada kecuaian individu atau kecuaian syarikat, maka puncanya sama seperti dalam insiden pencemaran di Sungai Kim Kim.

Perbuatan cuai, khianat, sabotaj, tidak wajar, tidak tahu atau tidak peduli terhadap alam sekitar semakin menjadi-jadi walaupun kesannya bukan sahaja merosakkan alam sekitar tetapi juga manusia.

Biar berkali-kali dinyatakan hukuman akan dikenakan kepada si pelaku namun ia tidak memberi sebarang kesan kerana pencemaran sungai berterusan berlaku malah insiden Sungai Kim Kim dan Sungai Selangor hanya selang beberapa minggu sahaja.

Menurut undang-undang alam sekitar, aktiviti pembuangan sampah (di darat, air, sungai, laut), sisa (kimia dan bahan toksik), minyak, pemusnahan tanah lembap (wetlands), pencemaran bawah tanah dan pembakaran termasuk dalam kategori ‘jenayah alam sekitar’.

Hukuman yang boleh dikenakan termaktub di bawah Seksyen 22(3) di mana kesalahan melakukan pencemaran atmosfera adalah denda RM150,000, penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali dan denda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu dilakukan setelah disabitkan.

Di dalam konteks pencemaran sungai di Malaysia, beberapa perundangan yang berkait dengannya telah digubal dengan tujuan untuk mengawal serta menangani masalah pencemaran tersebut.

Di antaranya ialah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974, Akta Kerajaan Tempatan, 1976 serta Akta Jalan, Parit dan Bangunan, 1974. Di bawah Seksyen 25 Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 terdapat 3 subseksyen yang telah diperuntukkan bagi mengawal serta melarang pencemaran perairan daratan semulajadi.

Berdasarkan Seksyen 25, tiada seorang pun dibenarkan mengeluarkan, melepaskan atau memendap bahan buangan ke dalam perairan daratan kecuali dilesenkan. Manakala di bawah Seksyen 51(l) Akta ini, terdapat peruntukan yang membenarkan Menteri Alam Sekitar dan Sumber Asli menggubal peraturan-peraturan bagi tujuan melindungi alam sekitar termasuklah sumber air daratan.

Lebih sejuta pengguna di tujuh wilayah Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan pencemaran diesel di Sungai Selangor. Gangguan tersebut merupakan kejadian kedua dalam tempoh seminggu selepas pencemaran bau yang memaksa operasi Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1), SSP2 dan SSP3 serta Rantau Panjang terpaksa dihentikan.

Kejadian dua insiden dalam tempoh seminggu pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor menimbulkan pelbagai spekulasi. Pihak yang berkuasa perlu benar-benar serius berniat untuk menangani masalah alam

sekitar yang berlaku di Malaysia.

Namun begitu, percanggahan peruntukan sesuatu perundangan alam sekitar termasuklah yang berkait dengan kawalan pencemaran sungai akan menyebabkan pembahagian kuasa yang banyak serta mengelirukan di dalam

melaksanakan peruntukan tersebut.

Ini kerana kemungkinan timbul persoalan tidak pasti siapa yang sepatutnya bertanggungjawab ke atasnya ataupun pihak agensi masing-masing saling bergantung serta berharap agar agensi lain yang perlu bertindak sehingga mengakibatkan tindakan penguatkuasaan diabaikan.

Agihan tugas seperti ini sepatutnya membantu meringankan beban tugas Jabatan Alam Sekitar di samping memperlengkapkan tindakan pelaksanaan yang dilakukan oleh pihak Jabatan Alam Sekitar.

Penguatkuasaan peruntukan yang terdapat dalam undang-undang alam sekitar ternyata agak lemah dan kurang mesra alam sekitar serta tidak mengutamakan kesan kesihatan kepada penduduk yang terlibat.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Undang-undang, Universiti Utara Malaysia, 06010 Sintok, Kedah