Sebagai bekas Menteri Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesejahteraan Bandar (KPKT), saya terkilan dan kecewa dengan keputusan Kerajaan Persekutuan ini.

Di bawah era BN dahulu, perumahan adalah agenda agresif dan utama kerajaan.

Banyak program perumahan yang diwujudkan. PPR (Projek Perumahan Rakyat), SPNB (Syarikat Perumahan Negara Berhad), PR1MA (Projek Perumahan 1 Malaysia) dan PPA1M (Projek Perumahan Pegawai Awam 1 Malaysia).

Malah Kerajaan negeri-negeri di era BN dahulu diminta untuk mewujudkan agensi perumahan masing masing. Perumahan dijadikan agenda besar nasional.

Kepada kerajaan BN dahulu, projek PPR bukan sahaja memberi peluang kepada orang miskin dan kurang berkemampuan untuk mendapatkan rumah selesa tetapi PPR juga mempunyai agenda yang lebih murni dari itu.

Ia program berkongsi kekayaan negara dengan golongan kurang berada dalam negara kita kerana golongan ini juga turut sama menyumbang membangunkan negara.

Contohnya, bagi projek PPR yang dijual kepada orang kurang berkemampuan (melalui penjualan langsung atau skim sewa beli), kerajaan Barisan Nasional sebenarnya mahu mengagihkan kekayaan negara kepada golongan kurang kemampuan ini.

Harga sebuah rumah PPR ialah antara RM35,000 - RM42,000. Namun nilai harga rumah itu sekitar RM150,000. Bila rumah PPR ini dimiliki oleh golongan berpendapatan rendah, mereka dapat sebuah rumah yang menjadi harta berharga bernilai tiga hingga empat kali ganda daripada pelaburan asal mereka sebanyak RM35,000-RM42,000. Inilah cara Barisan Nasional berkongsi kekayaan negara dengan golongan miskin.

Bagi mengelakkan penyalahgunaan dan memastikan tidak ada pembeli yang mengambil keuntungan dengan menjual rumah PPR dalam jangka pendek, kerajaan BN telah menetapkan syarat tidak boleh menjual rumah tersebut untuk 10 tahun.

Memang benar kos PPR tinggi. Tetapi kos ini boleh dikongsi dengan negeri-negeri dan pemaju perumahan swasta.

Program sosial seperti penyediaan rumah kos rendah PPR adalah tanggungjawab sebuah kerajaan. Sebab itu kerajaan tidak boleh mengharapkan keuntungan.

Selain daripada menyediakan perumahan untuk rakyat kurang kemampuan, kerajaan BN dahulu juga menyedari bahawa industri pembinaan rumah mempunyai banyak kesan positif kepada ekonomi.

Lebih 120 industri berkaitan dapat menafaat secara langsung dan tidak langsung dari pertumbuhan sektor pembinaan rumah.

Dari sekecil-kecil seperti pernigaan sudu, garfu dan langsir sehinggalah industri berat seperti simen, batu-bata, kayu, atap, cat, elektrik, jubin, elektronik, peralatan tandas, peralatan dapur dan perabut. Malah industri perkhidmatan seperti telekomunikasi, insuran, khidmat guaman dan pengangkutan turut mendapat tempias pertumbuhan industri pembinaan perumahan. Semua industri ini akan membayar cukai kepada kerajaan.

Sebab itu kerajaan tidak boleh melihat PPR hanya dari segi kos yang dikatakan tinggi. Pulangan kepada kerajaan datang dari berbagai sudut. Selain dari kutipan cukai seperti yang disebut di atas, pulangan besar kepada kerajaan ialah kesejahteraan rakyat berpendapatan rendah yang mendapat perumahan yang selesa.

Dalam konteks Sabah pula, pemberhentian projek perumahan PPR ini akan memberi kesan besar kepada rakyat di Sabah. Sabah adalah penerima projek PPR terbesar negara.

Maka itu, UMNO Sabah mendesak projek PPR diteruskan demi kesejahteraan rakyat.

Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan adalah Ketua UMNO Bahagian Tuaran dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO

*Penafian: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Utusan.