Bila sesuatu kecemasan berlaku, rakyat Malaysia Timur ada tiga pilihan syarikat penerbangan iaitu Malaysia Airlines, AirAsia dan Malindo Air untuk terbang segera. Faktor tiket mahal, murah itu semua faham mekanismenya.

Tetapi tahukah anda penerbangan dari Bintulu ke Kuching kini sangat mahal?

Kalau penerbangan pukul 7 pagi harga tiketnya ialah RM158 dan 9 pagi naik sikit RM198. Lazimnya penerbangan selalu penuh kerana ditempah awal, jadi untuk pergi dalam kadar mengejut, amat payah.

Maka terpaksalah menambah lagi kepada RM358 untuk terbang pukul 5 petang dan paling mahal pukul 2 petang, RM658 sehala.

Penduduk Bintulu tidak ada banyak pili­han setelah MASwings dihentikan perkhidmatan. Kenapa dihentikan? Sebab tidak mengun­tung­kan, kata kera­jaan. Bintulu hanyalah satu contoh yang sebelum ini diliputi oleh MASwings di seluruh Sarawak. Belum lagi dikira Sabah.

Dan inilah menjadi satu daripada faktor beban kerugian yang ditanggung oleh Malaysia Airlines seperti yang disebut oleh Khazanah Nasional semasa mengumumkan kedudukan kewangannya minggu lalu.

Bagaikan ada seruan, akhbar The New Straits Times pantas menerbitkan laporan memetik penganalisis industri penerbangan dan industri kewangan, menyarankan agar Malaysia Airlines ditutup atau dijual sahaja kerana ia berterusan mengakibatkan negara menanggung bebannya.

Tiada salah pun saranan itu. Tiada aneh juga dengan laporan akhbar tersebut. Logiknya mudah. Era kerajaan Pakatan Harapan tidak berminat hendak bail-out sesiapa lagi. Kalau rugi, jual sahaja. Soal siapa hendak beli, itu bincang kemudian.

Cuma saya mahu Merrepak berkenaan kedudukan Malaysia Airlines itu sendiri pada saat dan tika ini iaitu hakikatnya:

* Masalah yang dihadapi oleh syarikat penerbangan nasional ini diakui begitu besar dan tidak mudah untuk ditangani. Maka dibentangkan Pelan Pemulihan MAS atau MRP dengan 12 perkara untuk tempoh lima tahun dilancarkan pada 29 Ogos 2014.

* Kapten Izham Ismail yang merupakan anak jati MAS dilantik sebagai CEO Kumpulan pada 1 Disember 2017 untuk mengemudi pelan pemulihan syarikat ketika MAS memang sakit dan impak teruk daripada dua tragedi pesawatnya.

* Menilai prestasi Kapten Izham untuk hanya setahun, adalah tidak tepat apatah lagi, pelan pemulihan sedang berjalan rancak, lancar meskipun angkanya tidak menepati hasrat Khazanah.

* Cabaran yang dihadapi MAS begitu berat. Bahan api bera­da pada paras AS$75.68 setong dan tukaran dolar pada RM3.91, sebelum masing-masingnya mencecah tahap tinggi AS$84.8 setong dan RM4.30.

* Pasaran menjadi begitu sengit, hingga bekalan melebihi permintaan. Pasaran juga dipacu oleh percutian berbanding perniagaan, yang nyata memilih ‘harga murah’.

* Di sebalik cabaran ini, Malaysia Airlines berupa­ya melakukan banyak penambahbaikan dengan Indeks Kepuasan Pelanggan (CSI) naik 4 peratus dan Skor Promoter Bersih (NPS) naik 22 mata tahun lalu berbanding 2017.

* Prestasi Tepat Pada Masanya (OTP) dan salah kendalian bagasi kini berada di paras 85 peratus.

* Kos pangkalan juga telah menurun banyak dan satu daripada yang terendah berasaskan CASK (cost per avalaible seat kilometer).

* Moral warga MAS juga telah pulih, dengan Kapten Izham turun padang setiap dua minggu mengadakan sesi randau dengan kumpulan kecil kakitangan daripada pelbagai jabatan yang boleh mengadu terus kepada beliau.

Jadi mengapa tajuk “Adakah Malaysia memerlukan syarikat penerbangan nasional?” “Adakah Khazanah patut menjual dan tutup Malaysia Airlines?” diketengahkan? Sudah adakah bakal pembeli menunggu untuk mengambilalih MAS?

Cerita seperti itu hanya akan merosakkan semula moral warga MAS yang selama ini mengambil masa untuk dipulih. Pelantikan Kapten Izham menggantikan dua mat salleh yang melompat pesawat bila ditekan Khazanah, telah memberi inspirasi kepada seluruh organisasi. Beliau seharusnya diberi peluang secukupnya.

Menurut sumber industri, pada September 2018, pengurusan MAS telah memulakan rancangan untuk merombak perniagaan syarikat dan pada November 2018, rancangan itu dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Menurut sumber industri, Tun Dr. Mahathir maklum mengenai kesukaran yang dihadapi dan menyatakan “Malaysia Airlines adalah instrumen dasar dan Malaysia memerlukan syarikat penerbangan nasional ini’’.

Difahamkan, Kapten Izham dan pasukan pengurusannya kini berada di peringkat penambahbaikan pelan yang disasarkan untuk dilancarkan pada bulan depan, paling awal.

Jenama Malaysia Airlines masih sangat relevan, tidak seperti apa yang orang lain katakan walau atas alasan apa sekalipun. Kita tahu bahawa Malaysia Airlines, sebagai syarikat penerbangan kebangsaan negara, telah menetapkan statusnya sebagai ikon kebangsaan yang diterima oleh semua rakyat Malaysia.

Nampaknya, ada orang di luar sana yang tidak yakin pengurusan MAS mampu memulihkan syarikat. Kapten Izham adalah juruterbang tulen MAS sejak 40 tahun lalu. Beliau tidak akan terjun tingkap ketika pesawat dilanda gelora udara. Berilah beliau masa sewajarnya.