Selain daripada tiga bangsa terbesar tersebut, penduduk Malaysia merupakan etnik di Sabah dan Sarawak serta penduduk orang Asal di beberapa negeri.

Pasca Pilihanraya Umum (PRU) ke-14 tahun 2018 perpaduan antara rakyat diuji dengan pelbagai isu yang menjadi perbincangan sama ada dalam media sosial mahupun media perdana.

Isu yang melibatkan umat Islam atau bangsa Melayu seakan menguji suhu kesabaran golongan tersebut. Sebagai contoh isu penghinaan terhadap junjungan besar, Nabi Muhammad SAW oleh beberapa individu yang menularkan imej jelik baginda menyebabkan tukang viral didakwa dan dikenakan hukuman yang agak berat.

Soalnya bagaimana perpaduan boleh dibentuk jika kawalan terhadap media sosial dilihat agak longgar. Ini dibuktikan dengan kes penghinaan terhadap agama Islam seakan bertali arus.

Walaupun begitu bagi Presiden Persatuan Seni Bela Diri Taekwondo Malaysia, Master S.Edwin, sebagai aktivis seni bela diri perpaduan boleh dipupuk melalui aktiviti seni bela diri tersebut.

Beliau telah lebih 25 tahun aktif dalam sukan tersebut dan mempunyai ribuan kawan sealiran dan anak murid dalam kalangan pelbagai kaum.

Katanya, Seni Bela Diri Taekwondo ada disiplin tersendiri. Apabila seorang pelatih memasuki gelanggang (Do Jang) dia berjuang untuk dirinya dan bukan mewakili mana-mana etnik.

Edwin berkata, dalam dalam seni bela diri Taekwondo tersebut semua pelatih menumbuk, menendang malahan mengelak pukulan dengan cara yang sama sehingga sempurna.

Persamaan teknikal tersebut membuktikan seni bela diri tersebut tidak mempunyai warna kulit mahupun budaya tertentu. Apa yang ada hanyalah ilmu tempur untuk menjadi benteng pertahanan diri.

Katanya lagi, asas utama dalam perguruan Tae Kwon Do adalah menghormati guru atau jurulatih. Tanpa rasa hormat seseorang pelatih telah dianggap gagal sebelum berjuang.

Sebaiknya belajarlah taekwando dari usia muda, ibarat melentur buluh daripada rebung. Takut bila sudah menjadi buluh dilibasnya pula Tok Guru.

Sebagai seorang guru seni bela diri, beliau melihat kesemua pelatih yang sertai latihan mahupun ujian tali pinggang datang dengan komitmen dan keazaman yang tinggi.

Apabila mereka beradu kemahiran ia berlaku dalam keadaan terkawal dan fokus untuk memperkasa diri dengan perlindungan daripada serangan musuh.

Walau apa pun warna tali pinggang sama ada hitam atau warna lain, seni bela diri taekwando mempunyai satu warna iaitu perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang bangsa.

Menurut Master S.Edwin Badan Dunia(Badan Pentadbir) Taekwondo iaitu Kukkiwon (World Taekwondo Headquaters) juga mempunyai motto iaitu Unifying the world through taekwondo (menyatukan dunia melalui taekwondo) di mana Kejohanan World Taekwondo Hanmadang Korea diadakan setiap tahun di Korea dan mendapat sambutan hangat dari negara-negara seluruh dunia tanpa mengira kaum atau bangsa yang mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut.

Mengambil semangat dari Korea tersebut, di Malaysia pula motto Persatuan Seni Bela Diri Taekwondo Malaysia(PSBDTM) adalah “Menyatukan rakyat Malaysia melalui taekwondo”.

Pandangan beliau disokong oleh Pengerusi Kelab Sukan Dan Rekreasi Parlimen Kota Raja, Mohamad Khusyairi Abdul Aziz yang mempunyai anak dalam kalangan pelatih Master S.Edwin.

Ujarnya yang rapat dengan Edwin, taekwondo mampu menjadi wadah menyatukan bangsa Melayu, Cina dan India di Kota Raja amnya dan negara Malaysia khususnya.

Jelasnya, taekwondo yang berasal daripada Korea bukan sahaja seni tempur yang menyatukan penduduk negara K-Pop tersebut malahan di negara ini ia turut mampu memainkan peranan yang sama.

Beliau menambah, dalam mood menyambut kemerdekaan tahun ini, sepatutnya taekwondo dijadikan sebagai satu platform untuk menyatukan rakyat Malaysia yang terlalu rapuh hubungannya akibat gembar-gembur politik di media sosial.

Justeru beliau berharap, seni bela diri tersebut terus digerakkan secara aktif dalam kalangan pelajar sekolah , belia dan rakyat Malaysia. Walaupun orang Melayu cintakan silat mungkin taekwondo juga boleh menjadi wadah menyatukan rakyat Malaysia buat selama-lamanya.

Apa yang penting pihak Kementerian Pendidikan dan Kementerian Belia Dan Sukan pro aktif memastikan aktiviti seni bela diri atau sukan terurus dan dijadikan agenda nasional sebagai suatu aktiviti untuk perpaduan.