IBRAHIM KARIM

Ungkapan tersebut menjelaskan siapakah arkitek berusia 77 tahun yang mendapat pendidikan di Switzerland yang sejak sekian lama memperjuangkan satu kaedah baharu dalam seni bina yang beliau namakan sebagai BioGeometry yang menekankan hubungan rapat reka bentuk fizikal dengan bukan fizikal.

BioGeometry menekankan konsep bahawa bangunan yang dibina harus mengikut reka bentuk dan ukuran tertentu sama seperti penciptaan alam semula jadi agar memberi kesan positif kepada manusia dan kehidupan yang berada di sekeliling struktur itu.

Penemuan beliau bukanlah sesuatu yang baharu kerana turut diketahui arkitek Mesir kuno dan ahli falsafah Greek, Pythagoras.

Kajian sejak dahulu lagi mendapati bangunan yang dibina mengikut corak-corak geometri yang berasaskan kepada ukuran nisbah emas 1.618 dan nombor Fibonacci (jika dicampur dua nombor terawal akan bersamaan nombor selepas itu) akan menjadi harmoni dengan alam semula jadi dan lebih selesa untuk didiami.

Penemuan oleh Ibrahim sudah tentu dapat menjawab persoalan dalam kalangan arkitek di Malaysia adakah kubah masjid itu satu keperluan atau pembaziran?

Menurut Ibrahim, binaan rumah ibadat sering menggunakan bentuk piramid dan hemispheres (bentuk separuh bulatan seperti kubah) kerana ia menghasilkan negative green (tenaga kerohanian) yang akan memudahkan hubungan manusia dengan alam bukan fizikal ketika individu itu berdoa dan bersembahyang.

Tenaga itu adalah sama seperti gelombang radio yang membawa maklumat dalam bentuk suara. Ibrahim menjelaskan, negative green menghasilkan dua jenis gelombang secara serentak iaitu melintang dan menegak.

Gelombang menegak mempunyai kesan tidak baik kepada tubuh manusia termasuk boleh menyebabkan kanser jika terdedah dalam tempoh lama.

Sebab itu kubah akan dile­takkan lambang bulan sabit di atasnya manakala piramid akan ada lekuk pada bahagian tertentu bagi menghapuskan kesan buruk gelombang menegak berkenaan.

Dalam pada itu, penulis secara peribadi lebih bersetuju de­ngan pandangan seorang lagi arkitek dari Mesir, Wael A. Yousef Mousa dalam buku Modern Mosques in Malaysia between Regionalism and Eclecticism, yang menegaskan masjid di negara ini hendaklah dibina dengan identiti tempatan dan sesuai de­ngan keadaan cuaca.

Bentuk asal masjid di alam Melayu, jelas Wael, mempunyai bumbung dengan reka bentuk piramid. Beliau berpendapat kubah dan menara tinggi adalah lebih menyamai istana bagi tujuan bermegah-megah dan bukannya tempat untuk beribadat.