Peranan agama Islam sebagai kuasa sosial dan politik hanya termaktub dengan sah di bawah Sultan dan Negeri-Negeri. Maka duplikasi atau ciplak Jakim sebagai mem’polis’kan Islam tidak sepatutnya ditanggung oleh pembiayaan rakyat jelata. Saudara Tawfik, maka itu, memfailkan usaha untuk memansuhkan kewujudan institusi agama itu.

Walaupun saya banyak bersetuju dengan tindakan dan pandangan Tawfik, saya ingin mencadangkan suatu cara lain untuk terus membiarkan kewujudan Jakim tetapi dengan peranan yang lebih bermakna. Peranan mem‘polis’kan agama Islam ini sudah banyak dibuat oleh orang lain. Saya ingin benar-benar mencadangkan Jakim sebagai peneraju utama kefahaman Islam sebagai elemen yang membantu umat Islam membangun di persada global. Pada masa ini, Jakim hanya jaguh kampung berteriak di sebelah jaguh institusi agama lain. Yang dapat manfaat adalah Jakim sendiri, rakyat lain ‘tak ada habuk pun’.

NAIK TARAF JAKIM?

Saya ingin mencadangkan bahawa Jakim dinaiktaraf sebagai sebuah Institut Penyelidikan, Kefahaman dan Pembangunan Islam dengan berpaksikan Islam dalam ketamadunan dunia. Jakim perlu mempunyai tiga peranan utama.

Peranan pertama adalah sebagai pusat penyelidikan yang berteraskan objektif supaya Islam menjadi penyumbang kepada kerjasama, ketamadunan dan pemurnian fikiran ke tahap kemanusiaan yang tinggi. Ia perlu menyelidiki bagaimana kitab-kitab agama yang lama ditafsir semula dalam konteks arus kemodenan sains, dan teknologi serta pemikiran kemanusiaan semasa. Ramai agamawan angkuh memikirkan mereka saja yang tahu akan kebenaran dengan kitab-kitab usang yang dibaca. Tak perlu tahu sains atau falsafah Barat atau Timur. Islam dah cukup. Inilah tempurung masyarakat ‘cendekiawan’ Islam.

Saya tidak sesekali mengagungkan pemikiran Barat atau Timur. Apa yang saya tahu adalah ilmu adalah amat luas batasannya serta cabang-cabangnya. Masalah agamawan adalah dia belajar satu dua madrasah dia fikir dah khatam ilmu. Lepas itu dia cakap pasal serba-serbi dari kubah senibina kepada vaksin penyakit dan politik perkauman. Ilmu tentang perkara-perkara ini sejengkal dalam tetapi ceramahnya mengaum bagai harimau dalam hutan.

Peranan kedua Jakim adalah sebagai pusat kefahaman. Peranan ini membuka jalan kepada dialog antara agama dengan sikap semua-semua kurang berilmu tentang Tuhan. Jangan satu agama pun berlagak ia kenali Tuhan 100%. Sebenarnya kesemua hanya tahu sifat dan rancangan Tuhan 0.1% sahaja. Kalau semua agama mengakui ‘kejahilan’ ini, maka kita semua boleh berkongsi pengalaman dan fikiran untuk sama-sama bergerak kepada spirituality yang lebih besar dan bermakna.

SYOK SENDIRI?

Kini setiap agama, saya kira, di dalam sindrom ‘syok sendiri’. Masing-masing ingat masing-masing sudah menjumpai kebenaran hakiki 100%. Inilah masalah ketamadunan dunia apabila konflik agama meruncing. Jakim juga perlu membuka dialog kefahaman tentang isu ekonomi, sosial dan pelbagai bagi mendidik masyarakat umum tentang perkaitan ilmu moden dan kitab lama yang menjurus kepada pendidikan sosial budaya silam.

Peranan ketiga Jakim adalah membangunkan umat Islam dalam pelbagai bidang ekonomi, kefahaman sains dan teknologi serta komunikasi yang bernas. Untuk ini, Jakim perlu pelbagai kepakaran dan bukan saja sebuah badan penuh dengan ustaz dan ustazah saja. Kepelbagaian adalah rencah dunia. Tanpa kepelbagaian, kita minum teh tanpa gula dan susu serta makan nasi putih tanpa lauk pauk. Kata kunci Jakim haruslah ‘kepelbagaian’; kepelbagaian bidang, kaum, pengalaman, pemikiran dan sikap. Sekarang ini Jakim tidak ada aspek kepelbagaian ini. Itulah sebabnya ia asyik tangkap orang kiri kanan dan haram buku ini dan itu serta buang masa dengan membaca Facebook nak tangkap orang menghina agama. Orang nak hina agama biar dia hina asalkan dia tidak ajak mengebom atau menembak orang lain. Menghina agama adalah suatu adab atau perangai terkeji yang dibenarkan dalam sistem demokrasi dan kebebasan berbicara.

Tengok saja dalam Parlimen yang penuh dengan wakil rakyat yang mencarut serta maki hamun. Apa nak buat, itu demokrasi. Rakyat pula dua kali lima; lain kali jangan lantiklah orang yang macam itu. Pilih jalan demokrasi berakhlak. Tetapi rakyat yang suka memilih wakil rakyat yang suka maki hamun dan mencarut. Saya sendiri muak dan tidak suka perbuatan keji menghina mana-mana agama sekalipun. Tetapi ini adalah isu adab dan bukan isu yang boleh dipenjarakan. Pemimpin rasuah dan yang disyaki terlibat dalam pembunuhan diagungkan tetapi rakyat bodoh yang berkata kesat dipenjarakan.

JOINT-VENTURE

Saya juga ingin mencadangkan bahawa Jakim juga menyediakan modal perniagaan bagi syarikat-syarikat muslim dalam rangka joint-venture untuk berkecimpung dalam pelbagai perniagaan dan dapat berdikari serta apabila berjaya mereka ini pula menjadi filantropis yang sanggup membiayai kembali nasib umat Islam lain yang baru nak membangun.

Jakim perlu membantu anak-anak Islam dengan membiayai anak-anak mereka dalam pengajian profesional berpaksikan Islam yang lebih moden dan dinamik serta melengkapkan pegawai ustaz dan ustazah kita dengan PhD dalam subjek-subjek selain dari agama Islam.

Dengan cara ini suatu generasi pemikir dan penggerak Islam yang hebat dapat membawa umat Islam ke persada dunia sebagai pencetus ide keamanan, kesaksamaan dan kelestarian kehidupan dan bukannya asyik cari haram halal dalam serba serbi atau menghukum orang di sana sini.

Saya cadangkan RM100 juta disediakan untuk membiayai anak-anak Islam rakyat Malaysia dalam anggaran RM10,000 seorang setiap tahun untuk kursus Sijil, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda di Universiti berteraskan Islam dalam Malaysia. Dengan cara ini 10,000 anak-anak Melayu-Islam akan mengecapi habuan nikmat belajar untuk berdikari membantu membangunkan keluarga serta komuniti.

Saya cadangkan RM100 juta ringgit dikhususkan untuk membiayai calon-calon ustaz-ustazah kita untuk mengikuti program PhD dalam bidang selain ugama Islam di negara-negara bukan Islam.

Seramai 500 ustaz dan ustazah kita akan bertebaran di serata pelosok dunia untuk mempelajari bidang komunikasi, perbandingan ugama, budaya, sejarah ketamadunan, pendidikan, falsafah, antropologi, sosiologi, psikologi dan banyak lagi aspek-aspek sains sosial. Bayangkan apabila mereka ini pulang dari China, Amerika, Britain, Australia, Taiwan, Jerman, Norway, Scandinavia, New Zealand, maka keseluruhan watak dan pemikiran mereka akan menjadi lebih global dan berpandangan jauh.

Kini duit Jakim entah dibelanja menghiasi bangunan, membeli komputer baru dan benda-benda yang menyimbolkan prestij. Biar wang dibelanjakan bagi saham manusia dan bukannya kebendaan yang tak berbaloi.

LANTIK FELO

Saya cadangkan RM100 juta ringgit dikhususkan untuk melantik Felo-Felo dari luar negara dari pelbagai kepercayaan dan falsafah untuk memperkayakan pemikiran kita umat Islam dan membantu menyelia calon-calon PhD dalaman. Dengan cara ini Malaysia akan bergerak bangga sebagai peneraju pemikiran Islam yang advance dan bukannya yang go-stan atau bergerak ke belakang. Wang selebih dari pembayaran elaun felo ini berupa perbelanjaan bagi penganjuran persidangan, seminar, forum dan penerbitan jurnal serta buku.

Saya cadangkan juga RM100 juta untuk diberikan sebagai start-up capital atau modal perniagaan bagi umat Islam dalam perniagaan dan perusahaan yang khusus kepada graduan-graduan universiti Melayu-Islam. Kita harapkan bahawa Jakim dapat menjadi perangsang ekonomi Islam yang selain dari industri halal saja. Kena buat yang lainlah juga.

Saya cadangkan bahawa RM100 juta dikhususkan untuk dana penyelidikan serta penerbitan penulisan-penulisan yang membuka minda Melayu dan umat Islam dalam pelbagai bahasa. Cukuplah zaman kerja Jakim asyik ban buku atau mengharamkan sesebuah buku. Apa nak takut? Umat Islam banyak dah cerdik-cerdik dan lulusan universiti. Paling lekehpun dah lulus SPM. Melayu yang tak pandai membaca dah tak ada lagi. Lagipun ramai Melayu yang tidak suka membaca buku tetapi hanya gemar membaca Whatsapp, surat khabar dan dengar ceramah. Semua ni perlu dibudayakan membaca buku dan makalah berilmu.

CETUS PEMIKIRAN BAHARU

Saya cadangkan juga RM100 juta untuk disediakan bagi masjid-masjid yang membuat program pembangunan masyarakat inklusif dari semua agama dan kaum. Saya bayangkan di bawah Jakim, masjid-masjid di persekutuan akan menjadi peneraju perpaduan dan pembangunan negara-bangsa dan bukan sebagai pembelah-bahagi dan pencerai-berai kaum-kaum di Malaysia.

Saya cadangkan juga RM100 juta bagi peruntukan kebajikan anak-anak yatim, rumah orang tua, madrasah-madrasah serta sekolah agama. Dana ini juga untuk melatih semula atau retraining guru-guru agama dengan kemahiran moden serta ilmu pengetahuan global dalam menghadirkan diri ke kursus-kursus pendek yang disediakan. Dana ini juga diharapkan dapat menyelamatkan ramai anak-anak Melayu yang mati dalam kebakaran kerana madrasah tidak kisah atau tidak berupaya menyediakan satu fire extinguisher atau pemadam api pun.

Dengan cara serta cadangan-cadangan yang saya gariskan ini saya rasa baru lah umat Melayu-Islam boleh bergerak ke hadapan dengan bangga, yakin dan berilmu. Bukan lagi Melayu yang harap tok guru agama dan parti politik Melayu untuk kemajuan kendiri.

Jakim sebagai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia perlu dirombak semula untuk menjadi peneraju dan pencetus pemikiran baharu Islam di persada nasional dan dunia bagi membawa Islam ke era baharu sebagai penyelamat dunia dan bukannya sebagai ekstremis pencaci kaum, penghina agama lain dan pengebom kanak-kanak serta orang awam bukan Islam.

PROF. DR. MOHD. TAJUDDIN MOHD. RASDI ialah pensyarah senibina.