Ketua Pengakap Negara, Tan Sri Dr. Shafie Mohd. Salleh, 73, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 9.30 pagi di Hospital Selayang, Selangor kerana dipercayai mengalami masalah pakreas setelah ditahan di wad sejak akhir bulan lalu.

Menyingkap semula perjalanannya dalam pergerakan pengakap, bekas Menteri Pengajian Tinggi itu mula diamanahkan menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pengakap Negara pada 1 April 2005 selepas dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong menerusi mesyuarat Majlis Raja-Raja.

Tauliah Allahyarham sepatutnya tamat pada 31 Mac 2010 namun pada 13 Mei 2009, beliau diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu untuk terus menjalankan tanggungjawab serta tugas sebagai Ketua Pengakap Negara sehingga ada pelantikan baharu.

Allahyarham dikenali sebagai seorang yang mempunyai keperibadian tegas namun sangat peramah dan mudah mesra terutama ketika bersama dengan ahli-ahli pengakap tidak kira peringkat usia.

SHAFIE MOHD. SALLEH
SHAFIE MOHD. SALLEH 

Dalam begitu banyak sumbangan yang ditaburkan Allahyarham, jasa utama yang akan terus dikenang adalah membawa masuk ibu pejabat Pertubuhan Pergerakan Pengakap Sedunia (WOSM) yang sebelum ini berpangkalan di Geneva, Switzerland ke Malaysia.

Ibu pejabat WOSM atau turut dikenali sebagai Biro Pengakap Dunia kini terletak di Sentral Vista, Brickfields, Kuala Lumpur dan dilancarkan secara rasmi pada 18 Jun 2014 oleh Perdana Menteri ketika itu.

Dengan adanya ibu pejabat WOSM di Malaysia, ia bukan sahaja menaikkan imej Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) di peringkat antarabangsa, malah telah menarik ramai pelancong terutama ahli-ahli pengakap dari seluruh dunia.

Namun dukacitanya, Allahyarham tidak sempat untuk melihat hotel pengakap setinggi 30 tingkat yang akan dibangunkan di atas tapak ibu pejabat PPM di Jalan Hang Jebat, Kuala Lumpur itu.

Hotel tersebut yang akan turut menempatkan ibu pejabat PPM yang baharu serta Muzium Pengakap Negara adalah inisiatif dalam menjadikan PPM sebagai organisasi yang mampan serta mampu menjana kewangan sendiri.

Aktiviti terakhir Allahyarham bersama PPM adalah ketika membuat kunjungan hormat ke atas Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 19 Ogos lalu, sekali gus menyempurnakan pengisytiharan Presiden Agung PPM terhadap Perdana Menteri tersebut.

Berikut mesej terakhir yang dititipkan Shafie ketika berada di hospital:

“Assalamualaikum, saya Shafie Mohd. Salleh Ingin memohon maaf kepada seluruh keluarga pengakap Malaysia yang besar atau kecil, tua atau muda sekiranya terdapat silap salah saya yang menyinggung perasaan atau apa jua bentuk kesilapan saya. Saya mohon banyak kemaafan. Dengan kata-kata itu juga saya menyerahkan kembali amanah yang saya pegang sebagai Ketua Pengakap Negara kepada ahli pengakap sekelian. Semoga permohonan maaf dari saya ini diterima dengan lapang hati dan persahabatan kita berkekalan hingga ke akhir hayat.”

Salam takziah. Al-Fatihah buat beliau.

PENULIS ialah Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri, Persekutuan Pengakap Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.