Sebab dalam perjalanan kehidupan ini terlalu banyak ‘perangkap’ yang mengendalakan perjalanan kita untuk sampai ke destinasi impian.

Sama juga jika kita memandu bot, ketika bot meluncur laju membelah sungai kita akan nampak buih yang ditinggalkan di belakang bot; buih itu umpama masa lalu kita, yang tidak ada apa-apa nilai dan akan hilang begitu sahaja tanpa dapat dijejak.

Banyak orang asyik ingat masa lalu; sama ada didera batin akibat kesan masa silamnya yang suram, atau dibuai oleh kegemilangan hidup masa lepasnya yang cemerlang.

Masa silam kita adalah ‘perangkap’ yang bakal menjerat kita dan menjadi penghalang untuk kita berjaya dengan cemerlang, dan hal inilah yang selalu terjadi kepada kebanyakan pelajar.

Kebanyakan pelajar yang berjaya ke universiti merupakan pelajar cemerlang di sekolah menengah. Disebabkan kecemerlangan itu, mereka diberi perhatian penuh oleh guru-guru yang menaruh harapan tinggi bahawa mereka akan mengharumkan nama sekolah.

Hal ini memberikan rasa selamat yang palsu kepada mereka, kerana apabila di universiti situasi itu tidak akan berlaku lagi, sebab semua pelajar terpaksa berdikari untuk berjaya.

Apatah lagi berhadapan dengan mata pelajaran yang baharu, suasana belajar yang baharu, teman dan sikap teman sekuliah yang baharu, jika tidak ditangani dengan bijaksana akan menjadi kejutan budaya dan menjadi punca kita sukar berjaya.

Demikian juga bagi pelajar yang gagal mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan sebagai mana yang diharapkannya semasa di sekolah menengah dahulu. Usah terperangkap dengan rasa rendah diri dan kecewa.

Banyak pelajar yang menyesal dan menyalahkan diri sendiri. Malah, lebih teruk lagi ada yang merungut dan mengumpat menyalahkan emak, ayah atau guru-guru, sebagai punca kegagalan mereka (dengan mengatakan bahawa mereka tidak mendapat sokongan dan perhatian seperti rakan-rakan mereka yang cemerlang).

Jom audit diri, lazimnya manusia hidup antara dua pencuri, iaitu penyesalan semalam dan kebimbangan masa hadapan. Untuk hidup hari ini dan hari depan, kita mesti buat semua yang baik dan usah ulangi kesilapan lalu.

Jangan biar keputusan yang lalu menentukan keputusan yang akan datang, sebab kuasa kejayaan kita bergantung pada keputusan yang kita buat sekarang. Hapuskan kenangan silam, sama ada mengenang kegemilangan atau kegagalan dalam peperiksaan yang sudah berlalu itu! Tetapi, berikan fokus bagaimana untuk meraih kejayaan yang baharu.

Setelah dapat keluar daripada ‘perangkap masa silam’, sama ada pelajar sekolah menengah atau penuntut universiti, semuanya akan berhadapan dengan ‘perangkap pengajian’ pula, yang menjadi halangan besar untuk berjaya dengan mudah.

Antara ‘perangkap pengajian’ yang perlu dilepasi adalah pertama, tidak tahu di mana hendak memulakan. Biasanya sikap suka menangguhkan memulakan langkah yang positif, kerana sudah melekat pemikiran negatif; tidak ada keyakinan diri (kerana kegagalan silam) atau terlalu yakin/ego/bermegah (kerana kecemerlangan lalu), menjadikan kita malas atau kurang berusaha.

Pemikiran negatif ini akan menjadi bertambah kronik apabila kita mula menggelabah, tidak tahu bagaimana dan di mana hendak mulakan menelaah pelajaran.

Bagi menghadapi cabaran ini, kita perlu memulakan dengan menyenaraikan semua perkara yang kita mesti tahu dan yang boleh dicari daripada sukatan pelajaran atau segala topik penting yang diberi tahu oleh guru. Bahagikan beban kerja kepada beberapa bahagian yang boleh diuruskan.

Keyakinan

Mesti elakkan menangguhkan kerja dan tidak mengulang kaji pelajaran, sebaliknya mesti fokus dan konsisten mematuhi jadual yang kita rancang, untuk menebus kembali masa yang terbuang dengan sia-sia dalam zon santai sebelum ini.

‘Perangkap pengajian’ kedua, tertekan kerana terlalu banyak yang hendak dipelajari sedangkan masa pula sedikit. Berasa masa bergerak pantas dan kita semakin stres.

Belajar mengutamakan kerja/pelajaran utama dan jadualkan masa dengan realistik adalah langkah terbaik mengatasinya. Terutama bagi topik penting yang diberi penekanan oleh guru untuk menghadapi peperiksaan, tumpukan.

Ketiga, kita ‘terperangkap’ dengan cabaran, berasakan mata pelajaran terlalu susah dan tidak faham langsung. Usah menyimpan rasa sendiri, bertanyalah kawan-kawan adakah mereka rasa sama seperti yang kita rasa.

Kita akan berasa lega apabila mendapati rakan-rakan kita juga menghadapi masalah yang sama, (mengakui mata pelajaran itu memang sukar). Situasi ini memberikan keyakinan kepada kita bahawa kita mempunyai tahap pemikiran yang sama dengan rakan-rakan kita.

Berani dan rajinlah bertemu guru/pensyarah bagi mendapatkan penjelasan yang lebih rinci pada bahagian-bahagian pelajaran yang sukar difahami itu.

Seterusnya ‘perangkap pengajian’ keempat, kita faham pelajaran itu tetapi kita tidak boleh ingat langsung. Untuk mengingati fakta, cuba hubung kaitkan dan bina soalan sendiri untuk topik yang dibincangkan dan berikan jawapan.

Yang penting bukan berapa lama kita belajar, tetapi berapa banyak yang kita peroleh melalui pemahaman dan ingatan terhadap apa-apa yang kita pelajari. Suasana juga penting, jangan belajar sambil berbaring di atas katil seperti membaca buku cerita.

Kita mesti belajar dengan kertas dan pen di tangan, mencatat dan membuat rajah, yang boleh membantu mengingati pelajaran yang kita sudah fahami.

Akhirnya ‘perangkap pengajian’ kelima, suka belajar pada saat akhir. Sudah pasti belajar pada saat akhir ada hormon yang boleh dirembeskan, akibat tekanan yang membuatkan kita berasa tangkas, cergas dan bertenaga untuk belajar.

Kita akan berhadapan dengan risiko yang amat tinggi, mungkin kita menjadi panik, dan keletihan boleh menyebabkan kesihatan kita terganggu hingga akhirnya menyebabkan kita hilang tenaga pada hari peperiksaan.

Kebarangkalian kita gagal menjawab dengan baik soalan peperiksaan adalah sangat besar, apabila kita tidak sihat akibat kurang tidur dan terlalu memaksa otak bekerja keras menelaah pelajaran pada saat akhir.

Tegasnya untuk berjaya, bermula hari ini buat keputusan untuk berfikir baik, beremosi baik dan bertindak baik, serta akan membuat tindak balas atau respons baik terhadap apa-apa yang berlaku di dunia luaran kita.

Sistem kepercayaan banyak mempengaruhi kejayaan hidup kita. Oleh sebab itu sentiasa percaya dan punyai persepsi yang baik terhadap diri kita, orang lain dan dunia sekeliling kita.

Jom sentiasa fikir, rasa dan sebut perkara yang baik-baik tentang diri kita, dan jangan berhenti berharap yang baik-baik daripada Allah SWT terhadap sesuatu kehidupan yang kita lalui dengan orang sekeliling kita, kerana semuanya itu doa.

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang bermaksud, “Allah Azza wa Jalla berfirman: Aku berdasarkan sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku. Aku akan bersama-samanya ketika dia mengingati Aku.”

“Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.