Anak kepada pasangan Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, dan Nurul Erwani Zaidi, 24, itu dilahirkan pada 13 Ogos tahun lalu. Ketika usia kandungan masih tujuh bulan, sudah ada ketumbuhan di mulutnya.

Semasa dilahirkan, jantung Ainul Mardhiah berhenti disebabkan dia tidak boleh bernafas kerana gangguan ketumbuhan itu. Leher bayi kecil itu ditebuk supaya boleh bernafas menggunakan oksigen. Hampir seminggu barisan pakar perubatan ketika itu membincangkan keadaan Ainul Mardhiah memandangkan kes sebegini jarang berlaku dan disifatkan mungkin satu dalam sejuta.

AMALINA
AMALINA 

Ainul Mardhiah yang dilahirkan di Hospital Melaka dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibuat pembedahan membuang ketumbuhan itu, namun ada banyak risikonya.

Dengan kuasa Allah, pembedahan berjaya dilakukan. Walau bagaimanapun sebulan selepas itu, Ainul Mardhiah diuji sekali lagi apabila ketumbuhan tersebut ‘tumbuh’ semula dalam mulutnya. Hati ibu bapa mana tidak sedih apabila pasukan perubatan membuat keputusan ketum–buhan terse–but tidak lagi akan dibuang sebaliknya bayi seberat 1.2 kilogram itu akan menjalani kemoterapi dengan dimasukkan ubat yang menyakitkan. Dan rawatan pemulihan ini memerlukan perbelanjaan tinggi.

Bagi kos kelengkapan menukar tiub pada leher dan susu sahaja memerlukan kira-kira RM1,500.

Sejak kisah Ainul Mardhiah tular di media sosial, ramai tampil mahu menghulurkan bantuan termasuk ada yang sanggup menjual motosikal dan membuat sewaan kereta demi mencari dana untuk Ainul Mardhiah. Dan siapa sangka, kuasa perkongsian media sosial itu sampai ke pengetahuan Dr. Amalina Che Bakri, bekas pelajar genius rakyat Malaysia yang kini bertugas di United Kingdom (UK).

Amalina menghubungi ibu Ainul Mardhiah melalui pencarian di Instagram. Laporan perubatan Ainul Mardhiah dipanjangkan kepada Amalina untuk dibincangkan bersama pakar-pakar perubatan pelbagai bidang di negara itu.

“Keputusan saya untuk menjadi seorang doktor pada 2013 adalah didorong oleh kemahuan tinggi untuk membantu orang lain. Dan kisah bayi ini betul-betul menyentuh hati saya bagaimana usia sekecil itu mampu mengharungi ujian besar ini,” tulisnya menerusi akaun Instagram miliknya.

Rentetan itu, sekumpulan pakar dari UK sedia melakukan pembedahan ke atas Ainul Mardhiah dengan kos rawatan dianggarkan lebih RM1 juta yang perlu ditanggung sendiri. Namun Ainul Mardhiah perlu diterbangkan ke London bagi menjalani imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) terlebih dahulu.

Selepas berita baik ada sinar harapan untuk Ainul Mardhiah pulih, disokong kuat masyarakat. Semakin ramai tampil menghulurkan bantuan termasuk ada yang menubuhkan tabung khas untuk Ainul Mardhiah. Kerajaan Negeri Melaka turut bersetuju membiayai kos pengangkutan dan penerbangan mereka sekeluarga ke sana.

Hasrat Ahmad Safiuddin dan isteri, Nurul Erwani Zaidi serta jutaan rakyat Malaysia untuk membawa Ainul Mardiah mendapatkan rawatan di London semakin terlaksana selepas Jabatan Imigresen menyerahkan pasport antarabangsanya. Harapan Ainul Mardhiah untuk pulih seperti bayi lain semakin cerah.

Pada 24 Mei, Ainul Mardhiah diterbangkan ke London bersama dua doktor pengiring yang juga doktor pakar bius dari hospital swasta iaitu Kolonel (B) Datuk Dr. Jaseemuddeen Abu Bakar dan Dr. Gunalan.

Misi Amalina bersama tim pakar perubatan di sana bermula. Keputusan ujian MRI ke atas positif dan Ainul Mardhiah boleh dibedah. Selepas melalui beberapa prosedur perubatan, tanggal 10 Jun lalu, Ainul Mardhiah akhirnya selamat dibedah. Tumor seberat 200 gram berjaya dibuang selepas 10 jam berada di bilik pembedahan.

Berita gembira ini disambut ucapan syukur rakyat Malaysia yang mengikuti rapat perkembangannya. Pasti ramai mengalirkan air mata sebaik sahaja melihat gambar Ainul Mardhiah dimuat naik bapanya di media sosial dalam keadaan sempurna.

Sesungguhnya Ainul Mardhiah sangat comel, miliki bibir yang cantik dan pipi tembam. Tiada lagi ‘gangguan’ di mulutnya.

“Terima kasih atas doa semua rakyat Malaysia. Sumbangan dan bantuan yang diberikan sangat bermakna kepada kami. Tanpa bantuan semua, Ainul Mardhiah tak mungkin akan sampai di London. Kami tak mampu nak balas jasa semua orang yang banyak membantu dan mendoakan untuk kami,” Kata Nurul Erwani yang turut berterima kasih ke atas sekumpulan doktor di Malaysia dan di London yang bertungkus-lumus menyelamatkan Ainul Mardhiah. Nikmat paling berharga dapat menatap Ainul Mardhiah dalam keadaan seperti ‘dilahirkan semula’ pada hari ini.

Sesungguhnya kisah ini merupakan alarm daripada Yang Maha Esa kepada hamba-Nya tentang ujian, dugaan dan kesabaran. Tentang bagaimana ketabahan serta keredaan ibu bapa yang berada disisi-Nya diuji dengan anak istimewa ini. Ia juga satu episod penyatuan hati rakyat tanpa mengira bangsa demi menyelamatkan insan lain. Teruskan berdoa untuk bayi ‘ajaib’ ini terus membesar dengan baik tanpa memberikan komentar negatif yang boleh menyentuh perasaan keluarganya.