Upacara pengisytiharan sepenuhnya telah disempurnakan oleh Tunku Abdul Rahman di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 31 Ogos 1957 tepat pukul 9.30 pagi di hadapan Raja-Raja Melayu dan perwakilan dari 30 negara Komanwel.

Di akhir pengisytiharan tersebut Tunku Abdul Rahman melaungkan laungan Merdeka sebanyak tujuh kali dan disambut dengan bergemuruh oleh 20,000 rakyat yang hadir.

Berikut adalah ucapan penuh Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu oleh Tunku Abdul Rahman:

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Mengasihani, segala puji bagi Allah yang maha berkuasa dan selawat dan salam ke atas sekalian Rasulnya.

Bahawasanya kerana telah tibalah masanya bagi umat Persekutuan Tanah Melayu ini mencapai taraf suatu bangsa yang merdeka lagi berdaulat sama setimpal kedudukannya dengan segala bangsa seluruh dunia.

Dan bahawasanya kerana dengan perjanjian yang disebut namanya Perjanjian Tanah Melayu tahun 1957 yang diperbuat antara Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen dengan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu. Maka, telah dipersetujui bahawa Negeri-Negeri Melayu, iaitu Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, dan Perak serta negeri yang dahulunya dinamakan Negeri Selat, iaitu Melaka dan Pulau Pinang, mulai 31 hari bulan Ogos tahun 1957, hendaklah menjadi sebuah Persekutuan baharu bagi negeri-ne­geri yang bernama Persekutuan Tanah Melayu.

Dan bahawasanya kerana telah bersetuju pula antara kedua-dua pihak dalam perjanjian tersebut, iaitu Melaka dan Pulau Pinang hendaklah daripada tarikh tersebut itu tamat daripada menjadi sebahagian daripada jajahan takluk Baginda Queen, dan Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen tidak lagi berhak menjalankan apa-apa kedaulatan baginda ke atas kedua-dua buah negeri yang tersebut itu.

MUKA depan edisi khas akhbar Utusan Melayu memuatkan berita bertajuk Akhbar Utusan Melayu yang dipun
MUKA depan edisi khas akhbar Utusan Melayu memuatkan berita bertajuk Akhbar Utusan Melayu yang dipunyai oleh bangsa Melayu’ yang diterbitkan sempena sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. 

Dan bahawasanya kerana telah bersetuju pula antara kedua-dua pihak yang tersebut, iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948, dan segala perjanjian yang lain yang ada sekarang antara Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen dengan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja ataupun salah seorang daripada baginda itu sebelum tarikh yang tersebut hendaklah dibatalkan mulai daripada tarikh itu, dan semua kuat kuasa dan hak Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen ataupun Parlimen Negeri United Kingdom dalam Negeri-Negeri Selat ataupun Persekutuan Tanah Melayu keseluruhannya adalah tamat dengan sendirinya.

Dan bahawasanya kerana Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen, Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, Parlimen Negeri United Kingdom dan Majlis-Majlis Undangan Persekutuan dan Nege­ri-Negeri Melayu telah meluluskan­nya, Perjanjian Per­sekutuan Tanah Melayu tahun 1957 itu berjalan kuat kuasanya.

Dan bahawasanya kerana suatu perlembagaan bagi kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah ditentukan menjadi suatu kanun yang muktamad baginya.

Dan bahawasanya kerana Perlembagaan Persekutuan yang tersebut itu, maka, ada disediakan syarat untuk menjaga keselamatan hak-hak dan keutamaan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta hak-hak asasi dan kebebasan sekalian rakyat dan untuk memajukan Persekutuan Tanah Melayu de­ngan aman dan damai serta teratur sebagai sebuah kerajaan yang mempu­nyai Raja yang Berperlembagaan yang berdasarkan demokrasi cara Parlimen.

Dan bahawasanya kera­na Perlembagaan Persekutuan yang diadakan oleh Majlis Undangan Persekutuan yang tersebut itu telah diluluskan oleh suatu undang-undang yang diadakan oleh Majlis Undangan Persekutuan serta de­ngan undang-undang yang diadakan oleh negeri-negeri Melayu dan dengan ketetapan-ketetapan dalam Majlis Undangan Negeri Me­laka dan Pulau Pinang, dengan demikian Perlembagaan itu telah berjalan kuat kuasa­nya pada 31 hari bulan Ogos tahun 1957.

Maka, dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, saya Tunku Abdul Rahman Putra ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Perdana Menteri bagi Persekutuan Tanah Melayu, de­ngan persetujuan dan perkenan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Negeri-Negeri Melayu dengan ini memasyhurkan dan mengisytiharkan bagi pihak umat Persekutuan Tanah Melayu bahawa mulai 31 Ogos 1957, Maka Persekutuan Tanah Melayu yang mengan­dungi Negeri Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Perak, Melaka dan Pulau Pinang dengan limpah rahmat Allah subhanahu wa ta’ala akan kekal menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa.

Tunku Abdul Rahman 
Putra Al-Haj
Perdana Menteri
31 Ogos 1957