Lantaran itu, bermacam-macam peristiwa mistik didakwa pernah dialami oleh pengkaji serta pekerja yang melakukan kerja-kerja ubah suai di rumah tersebut.

Antara cerita menarik yang terdapat di Carcosa adalah kisah ‘Lady in White’. Jelmaan wanita berkenaan didakwa kelihatan berdiri di tangga utama dalam banglo tersebut.

Meskipun tidak pernah melihatnya, Pensyarah Fakulti Seni Bina Perancangan dan Ukur, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Madya Amran Abdul Rahman memberitahu ramai orang pernah menceritakan kisah tersebut kepada beliau dan siapakah ‘Lady in White’ yang muncul di tangga dalam Carcosa.

“Carcosa adalah sebuah banglo yang cantik, seni bina serta hiasannya memang bercirikan Inggeris dan ia adalah sebuah rumah yang besar.

“Kira-kira lima atau enam tahun lalu, saya pernah datang ke sana untuk membuat kajian dan juga kerja-kerja mengukur. Masa itu, pelajar-pelajar saya juga ikut sekali masuk ke Carcosa.

“Saya juga pernah berada di sana pada waktu malam untuk melakukan kerja-kerja mengukur. Yalah..., tempoh yang dibenarkan untuk buat kajian pun singkat,” katanya ketika ditemui S2 di pejabatnya di UiTM kampus Puncak Alam.

Tambahnya lagi, ketika berada di sana, beliau pernah mengalami kejadian-kejadian mistik seperti diceritakan oleh rakan-rakannya yang pernah ke sana.

“Ada kawan-kawan saya yang pernah datang ke Carcosa untuk membuat kajian mendengar dan mengalami kejadian pelik.

“Bunyi orang berjalan, sedangkan tiada orang di tingkat atas. Permukaan lantai adalah jenis kayu, jadi apa yang mereka dengar adalah bunyi orang pijak kayu seperti sedang berjalan.

“Kemudian, ada pelajar-pelajar saya beritahu pernah dengar bunyi laci ditarik di bilik, dapur dan tempat lain dalam rumah tersebut. Namun paling mengerikan ialah bunyi pintu dihempas.

“Di sana sangat popular dengan cerita ‘Lady in White’. Ramai yang mengatakan wanita yang sering muncul di tangga utama rumah tersebut dengan berpakaian putih adalah isteri Sir Frank Swettenham.

“Kemudian, ada juga kisah tentang seorang budak yang muncul di taman bunga dekat halaman. Budak tersebut dipercayai anak seorang tetamu yang hilang suatu ketika dahulu dan tidak pernah ditemui hingga hari ini,” ujarnya.

Menurut Amran lagi, apa pun cerita mistik atau misteri di Carcosa, ia hanyalah sebuah cerita. Namun paling penting ialah, menjaga warisan negara kerana Carcosa Seri Negara adalah simbol kemerdekaan negara kita.