Sebab itu tidak menghairankan Singapura dalam sistem pertahanan tidak kira udara, darat atau laut, setiap cabang tentera mereka mempunyai peralatan paling canggih dan terbaik yang sering mempamerkan melebihi apa diperlukan. Secara logiknya agak janggal bagi sebuah negara kecil di rantau yang aman memiliki kapal selam, jet pejuang atau helikopter tempur dalam bilangan agak banyak. Tetapi itulah hakikatnya kerana dasar Singapura sentiasa mengambil kira keperluan jangka masa panjang melampaui berdekad lamanya.

Menariknya strategi melampau yang diamalkan oleh penggubal dasar mereka tidak hanya terhad kepada hal pertahanan tetapi juga melibatkan sektor lain. Beberapa hari lepas, diberitakan satu ladang solar merangkumi keluasan 15,000 hektar akan dibangunkan di Northern Territory, Australia. Menariknya projek yang dikenali sebagai Sun Cable dan bakal menelan belanja RM60 bilion ini dibangunkan khusus untuk membekalkan tenaga elektrik kepada Singapura. Mengikut perancangan tenaga solar dari Sun Cable ini akan menyediakan hampir 25 peratus keperluan tenaga elektrik Singapura yang pada ketika ini dibekalkan melalui penjanaan loji elektrik kuasa gas.

Projek menyalurkan tenaga ke Singapura ini penuh risiko kerana sebahagian besarnya akan menggunakan kabel dasar laut menghampiri 4,000 kilometer (km) jaraknya. Bandingkan dengan projek hidro Bakun, Sarawak yang cuba menyalurkan tenaga elektrik ke Semenanjung Malaysia melalui 1,000 km kabel daratan dan 670 km kabel dasar laut dirintangi dengan cabaran yang begitu hebat sekali.

Walaupun projek tersebut dipenuhi dengan pelbagai risiko yang boleh memungkinkan kegagalan, tetapi penggubal dasar Singapura tetap dengan kecekalan kerana keputusan yang dibuat penuh dengan kepentingan strategik. Paling utama ialah kebergantungan kepada penggunaan gas untuk menjana loji elektrik akan berkurangan kerana kos adalah begitu tinggi. Gas tersebut lazimnya diimport dari Malaysia dan Indonesia.

Kepentingan strategik kedua ialah Singapura akan mencapai sasaran 25 peratus tenaga elektrik melalui tenaga diperbaharui (RE) jika projek ini berjaya dilaksanakan. Singapura boleh mendabik dada bahawa mereka telah melaksanakan tanggung jawab demi mengurangkan pelepasan karbon.

Berbanding Malaysia, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) menyasarkan 20 peratus tenaga elektrik melalui sumber RE menjelang 2030. Tetapi dasar dan inisiatif Malaysia berkaitan penggunaan RE tidaklah sehebat jika hendak dibandingkan dengan Singapura!

Sebab itu penting penggubal dasar (dalam hal ini, ahli politik yang menerajui kementerian masing-masing) mengambil risiko yang berhemah dalam membuat keputusan strategik kerana lazimnya kesannya hanya akan dirasai bukan pada ketika itu tetapi dalam jangka masa panjang.

Paling ketara ialah keputusan asal untuk membenarkan kilang proses nadir bumi di Kuantan, Pahang beroperasi pada 2012 walaupun mendapat bantahan daripada beberapa golongan yang menuduh sisa nadir bumi membawa mudarat kepada manusia dan alam sekitar.

Hari ini sudah ternyata keputusan yang dibuat hampir sedekad lepas sebenarnya memberi manfaat kepada negara bukan sahaja melalui faedah ekonomi tetapi juga kepentingan geopolitik. Pemerhatian tersebut bersandarkan senario perang dagang antara Amerika Syarikat (AS) dan China di mana Beijing membekalkan 85 peratus nadir bumi untuk kegunaan industri pertahanan Amerika Syarikat (AS).

Walaupun kuantiti hasil yang dikeluarkan oleh kilang nadir bumi di Kuantan adalah kecil berbanding China tetapi sedikit sebanyak kepentingan kilang tersebut dalam arena geopolitik antarabangsa melonjak dengan mendadak pada ketika ini.

Penggubal dasar perlu berani mengolah dasar yang pada asasnya mungkin kelihatan ekstrem atau tidak kena tempat dan masanya tetapi jika keputusan tersebut bersandarkan fakta maka risiko yang bakal dihadapi adalah amat berbaloi.

Kritikal juga penggubal dasar bekerjasama dengan mereka yang pakar dalam bidang masing-masing dan kepakaran sebegini sememangnya wujud dalam setiap kementerian. Jika dasar tersebut hanya bersandarkan kepentingan politik semata-mata dengan menolak ke tepi nasihat mereka yang berkepakaran, maka besar kemungkinan dasar tersebut bukan sahaja tidak akan mencapai sasaran atau lebih berat lagi akan menemui kegagalan.