Namun sehingga kelmarin, lebih 112,000 peneroka Felda di seluruh negara tidak mendapat gambaran bahawa ladang mereka seluas 4.05 hektar seorang yang diusahakan sejak 60 tahun lalu perlu dicantumkan bagi menjayakan pelaksanaan Model Felda Baharu.

Malah, institusi kepemimpinan peneroka tidak dimaklumkan tentang perancangan itu untuk sekurang-kurangnya mereka memberi gambaran awal kepada akar umbi masyarakat tanah rancangan bagi mendapatkan sokongan mereka.

Apa yang dinyatakan dalam Kertas Putih ‘Ke Arah Kelestarian Felda’ dibentangkan 10 April lepas ialah pelaksanaan Program Pembangunan Peneroka (PPP) iaitu inisiatif menjana pendapatan baharu menerusi diversifikasi tanaman dan ternakan yang sesuai serta berpotensi.

Ia melibatkan peruntukan geran berjumlah RM1 bilion yang diberikan secara berperingkat dalam tempoh empat tahun.

Gambaran yang diberikan selepas itu adalah PPP merangkumi aktiviti berasaskan program tanaman selingan dan ternakan yang mampu memberikan hasil dalam tempoh singkat serta menjana aliran tunai konsisten.

Mengikut rekod dan pengetahuan penulis, tidak dimaklumkan pula peneroka perlu bersetuju menyerahkan ladang mereka untuk dicantumkan bagi membentuk estet besar.

Mengikut rancangan berkenaan, estet itu perlu mencapai sekurang-kurangnya kira-kira 405 hingga 810 hektar dan diuruskan pakar-pakar dalam bidang berkaitan dengan mempelbagaikan jenis tanaman.

Walaupun kaedah berkenaan merupakan langkah ke depan untuk meningkatkan pendapatan, tidak menghairankan pada peringkat ini ramai peneroka memberi maklum balas negatif terhadap rancangan tersebut.

Reaksi itu dapat difahami kerana sudah lebih setahun mereka hidup bergelut berikutan kejatuhan harga kelapa sawit. Mereka mungkin tidak sudah mampu menunggu lagi dan mahu tindakan drastik dilaksanakan untuk keluar segera daripada kemelut berkenaan.

Mungkin pengumuman tentang langkah segera itu dinanti-nantikan masyarakat peneroka yang menghadiri majlis Sambutan Hari Peneroka 2019 yang diadakan di Felda Selancar 3 di Rompin di Pahang Ahad lepas.

Apa yang mereka benar-benar mahukan adalah usaha menaikkan harga kelapa sawit atau getah ke tahap munasabah ekoran ketidakstabilan harga komoditi berkenaan sehingga menjejaskan kehidupan.

Tanpa diberikan penerangan awal tentang rancangan mencantumkan ladang-ladang, pastinya peneroka terpinga-pinga dan mahukan perincian sebelum membuat keputusan sama ada bersetuju atau sebaliknya.

Pada saat mereka sudah lama menanggung keperitan akibat ketidakstabilan harga komoditi, berapa lama lagi tempoh yang perlu diambil untuk mendapatkan persetujuan itu dan bila pula dapat merasai hasil daripada projek pencantuman ladang berkenaan.

Ini belum dicampur soal pemilikan tanah dan isu-isu di bawah Akta Penempatan Berkelompok (GSA) 1967.

Ramai yang sangsi proses pencantuman ladang Felda itu dapat dilakukan secepat mungkin kerana peneroka baru sahaja mengetahui rancangan ini. Mereka masih kabur mengenainya.

Persetujuan diminta hanya selepas pengumuman dibuat. Bukankah lebih baik mengadakan libat urus, berbincang dan mendapatkan maklum balas peneroka terlebih dahulu sebelum buat pengumuman.

Situasi yang dihadapi peneroka apatah lagi melibatkan penggunaan tanah mereka menyebabkan pendekatan ‘umum dulu dan dapatkan pertujuan kemudian’ ini dilihat tidak sesuai dalam perancangan besar tersebut.

Dalam keadaan peneroka masih kabur dengan rancangan berkenaan, hakikatnya ia tidak semudah seperti cadangan di atas kertas untuk melaksanakannya. - UTUSAN ONLINE