Berdenyut-denyut kepala ekoran cuaca yang cukup panas. Tiba-tiba pula hujan dengan ribut yang luar biasa melanda sehingga boleh merosakkan harta benda.

Ada yang bercakap ini adalah fenomena alam. Mungkin sahaja. Tetapi sebagai hamba Allah, kita perlu sentiasa sematkan di dalam sanubari bahawa sesuatu kejadian tidak akan berlaku tanpa izin Allah SWT. Allah SWT itu Maha kuasa, mampu melakukan apa sahaja yang tidak terjangkau oleh fikiran manusia. Cuma kita sebagai manusia perlu melakukan perkara-perkara yang baik agar bumi ini sentiasa lestari. Barulah kehidupan manusia itu lebih mampan. Lestari ini bermaksud bumi bertuah ini tidak digondol, ditarah dan diambil hasilnya sewenang-sewenangnya.

Pembangunan tanpa perancangan bukanlah lesen atau tiket besar untuk memusnahkan muka bumi ini sedikit demi sedikit. Pembangunan perlu dilestarikan. Tidak boleh setiap inci tanah yang dibangunkan mengubah landskap persekitaran yang tidak lagi selesa buat manusia. Sememang­nya kita mendiami bumi ini hanya buat seketika. Namun, kita juga perlu ingat bahawa generasi kita pada masa akan datang juga akan menghuni bumi ini.

Apa akan terjadi kepada mereka jika bumi ini tidak lagi lestari? Malah, bumi yang satu-satunya tempat tinggal manusia sejak dahulu lagi sedikit demi sedikit mengalami kerosakan ekoran tangan-tangan manusia yang hanya dahagakan keuntungan demi kepentingan diri sendiri. Mudahkah kita ingin memulihara bumi kembali? Itu belum bercakap bagaimana untuk memelihara bumi agar tiada lagi tangan-tangan yang begitu rakus merosakkan bumi ini.

Masing-masing perlu ada kesedaran. Kesedaran bukan hanya setakat bercakap. Tetapi kesedaran untuk sentiasa bertindak untuk menjaga bumi ini dengan memelihara dan memuliharanya. Usah sampai segala-gala sudah rosak, barulah berasa menyesal dan ingin kembalikan kepada zaman “kegemilangan” kelestarian bumi ini. Mungkin sahaja ketika itu sudah terlambat untuk melakukan sesuatu.

Natijahnya, generasi mendatang tidak lagi berasa selesa menetap di bumi yang bertuah ini. Maka, usahlah hanya salahkan fenomena alam.

Salahkan diri sendiri sebelum menuding kepada perkara-perkara lain. Sekurang-kurangnya kita mengetahui punca asalnya ialah tindakan manusia yang melangkaui norma-norma kehidupan yang baik bertujuan untuk mengekalkan kelestarian bumi ini.

Kelestarian bumi ini juga akan menjadikan kehidupan mereka sentiasa mampan. Memperjudikan kemampanan kehidupan manusia demi keuntungan jangka pendek akhirnya memudaratkan kehidupan mereka dalam jangka masa panjang.

PROF. MADYA DR. ROHAMI SHAFIE ialah Pengarah Institut Kajian Strategik & Pembangunan Perakaunan Mampan (ISSAD), Universiti Utara Malaysia (UUM).