Bagi penghadang yang diperbuat daripada konkrit pula, kenderaan yang merempuhnya akan remuk teruk sehingga menyukarkan usaha untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit. Penghadang jalan sepatutnya berfungsi menghalang kenderaan daripada terbabas ke laluan bertentangan atau terkeluar dari jalan dan melanggar objek yang berbahaya seperti pokok, tiang, batu besar, longkang, cerun curam, kawasan takungan air dan sebagainya.

Namun, kes-kes yang berlaku menunjukkan ramai mangsa maut atau cedera parah apabila kenderaan mereka terbabas dan melanggar pembahagi jalan.

Terbaharu, dua maut termasuk seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) apabila sebuah bas dua tingkat dinaiki merempuh pembahagi jalan jenis besi di Jalan Ipoh-Lumut berhampiran Batu Gajah, Perak pada 2 September lalu.

Pada 27 Ogos, seorang penumpang maut dan dua lagi cedera apabila kereta yang dinaiki mereka merempuh penghadang jalan di Jalan Salor-Pasir Mas, Kelantan, manakala pada 25 Ogos, dua maut dan lima lagi cedera selepas kenderaan mereka terbabas dan melanggar besi penghadang jalan di Jalan Chini-Terapai, Pahang.

Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2016 menunjukkan sebanyak 1,850 kes kemalangan maut berlaku akibat kenderaan terbabas. Kira-kira 28 peratus punca kes kemalangan maut pada tahun tersebut adalah akibat kenderaan terbabas.

Adalah penting untuk melihat dan mengkaji semula penggunaan jenis pembahagi jalan yang sesuai di negara ini bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.

Ini kerana kemalangan jalan raya melibatkan kenderaan terbabas dan melanggar penghadang dan pembahagi jalan sejak kebelakangan ini telah menimbulkan kerisauan pelbagai pihak kerana melibatkan kecederaan parah dan kematian.

Bagi memastikan keberkesanan penghadang jalan, pihak yang bertanggungjawab perlu memastikan hanya jenis yang sesuai dan selamat dipasang mengikut spesifikasi dan teknik pemasangan yang betul.

Menurut kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), penghadang jalan di Malaysia terbahagi kepada tiga kategori iaitu penghadang tegar (rigid barrier), penghadang separa tegar (semi rigid barrier) dan penghadang boleh lentur (flexible barrier).

Penghadang tegar kebiasaannya dibina daripada konkrit dan boleh menahan impak pelanggaran yang tinggi. Namun seperti yang saya terangkan terdahulu, kesan perlanggaran selalunya amat teruk.

Penghadang separa tegar yang paling banyak digunakan di Malaysia pula mempunyai kadar pesongan purata antara 1.0m-1.2m manakala penghadang boleh lentur pula mempunyai purata pesongan yang terbesar iaitu antara 1.0m – 1.7m. Sifat tersendiri setiap kategori penghadang ini menjadi asas dalam pemilihan kesesuaian lokasi pemasangan. 

Di Malaysia, penggunaan penghadang separa tegar jenis W-Beam Guardrail amat popular namun ia sering mengakibatkan kecederaan serius dan kematian apabila bahagian hujung atau terminal penghadang menembusi kenderaan.

Untuk mengatasi masalah ini, pihak berkuasa berkaitan dan penyelenggara jalan dan lebuh raya perlu melakukan audit menyeluruh ke atas struktur penghadang jalan di bawah bidang kuasa mereka agar mematuhi spesifikasi pemasangan yang ditetapkan pakar termasuk Pertubuhan Kejuruteraan Jalan Malaysia (REAM).

Mereka juga perlu mempelajari teknik pemasangan dan jenis penghadang jalan yang terbukti berkesan di luar negara terutamanya di negara-negara yang mempunyai jumlah kematian dan kecederaan rendah akibat kemalangan jalan raya seperti Monaco, Sweden dan United Kingdom.

Teknologi yang terbukti berkesan seharusnya dilaksanakan di seluruh negara bagi membantu menurunkan jumlah kecederaan serius dan kematian akibat kemalangan jalan raya.

Sebagai contoh, pemasangan penghadang jalan keselamatan beroda sepanjang 130 meter di Jalan Lapangan Terbang Subang menghala ke Lebuhraya Persekutuan dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya sebanyak 94 peratus dalam tempoh enam bulan sejak Disember 2016.

Pada masa sama, pihak bertanggungjawab perlu memastikan penghadang dan pembahagi jalan diselenggara dengan baik kerana struktur yang rosak boleh menyebabkan kemalangan yang lebih teruk.

Alangkah malangnya jika kita berterusan membaca kisah kemalangan ngeri melibatkan kenderaan merempuh penghadang jalan sedangkan pihak terbabit telah pun membelanjakan jutaan ringgit untuk memperbaiki struktur yang ada.



TAN SRI LEE LAM THYE ialah 
Pengerusi Institut Penyelidikan 
Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).