Saya amat bersyukur ke hadrat Ilahi kerana diberikan peluang menjalani ibadah 10 akhir Ramadan di Baitullah al-Haram sejak 30 tahun lalu.

Ini anugerah dan peluang terbesar dalam kehidupan saya sekeluarga. Pada tahun ini setelah pelbagai usaha dilakukan, saya sekeluarga dihalang dan tidak berpeluang beribadah 10 akhir Ramadan di Baitullah al-Haram.

Saya sekeluarga reda dengan takdir dan ujian ini. Insya-Allah ada hikmah di sebaliknya. Di zaman khalifah Bani Umayyah, Islam tersebar dalam spektrum yang luas termasuk ke benua Eropah.

Gerakan penaklukan tentera Islam ke atas Andalusia (Sepanyol) telah dimulakan berikutan kekejaman Raja Roderick ke atas rakyatnya dengan melakukan penindasan yang tidak berperikemanusiaan.

Julian, Gabenor Ceuta (Sibtah- wilayah autonomi di Andalusia) memohon pertolongan daripada Musa bin Nushair, Gabenor Islam di Afrika Utara menggulingkan Raja Roderick yang zalim.

Setelah mendapat persetujuan daripada Khalifah al-Walid bin Abdul Malik di Damsyik, Musa bin Nushair menyusun gerakan penaklukan ke atas Andalusia.

Panglima Muda tentera Muslimin Thariq bin Ziyad dari bangsa Barbar, Maghribi telah diberikan peluang oleh Musa bin Nushair untuk mengetuai operasi menakluki Andalusia.

Thariq mengambil peluang ini sebagai satu cabaran dan tidak disia-siakannya walaupun pada ketika itu usianya masih muda.

Pasukan dipimpin Thariq berjumlah 7,000 orang tentera muslimin menyeberangi selat antara Afrika dan daratan Eropah yang dipisahkan Lautan Mediterranean sejauh 13 batu menggunakan kapal-kapal pemberian Julian, Gabenor Ceuta.

Sebaik sahaja mendengar berita kedatangan tentera Muslimin, Raja Roderick mempersiapkan tenteranya berjumlah 100,000 orang.

Apabila Thariq mengetahui bahawa Raja Roderick membawa pasukan begitu besar, beliau segera menghubungi Musa bin Nushair meminta bantuan, seramai 5,000 orang tentera tambahan dihantar oleh Musa bagi menguatkan lagi pertahanan tentera Muslimin.

Dengan kapasiti tentera berjumlah 12,000 orang, Thariq mara ke hadapan dengan matlamat menakluki Andalusia, menewaskan Raja Roderick dan menyebarkan dakwah Islamiah.

Kapasiti tentera Raja Roderick yang ramai telah menggerunkan tentera Muslimin. Namun, Thariq dengan pantas mengumpulkan tentera Muslimin di atas sebuah bukit (bukit tersebut dikenali sebagai Jabal Thariq dan kemudiannya ditukar kepada Gibratar) dan berpidato membakar semangat jihad tentera Muslimin:

“Kita datang ke sini tidak untuk kembali. Kita hanya punya pilihan, menakluki negeri ini dan menetap di sini, atau kita semua syahid”

Dengan seruan jihad yang dikobarkan Thariq, tentera Muslimin mara ke lapangan jihad tanpa menoleh ke belakang. Pertempuran tercetus pada 28 Ramadan 92 Hijrah selama seminggu, akhirnya pasukan tentera Roderick ditewaskan.

Seramai 3,000 tentera Muslimin telah syahid. Dengan kemenangan ini, tentera Islam dapat memasuki kota Toledo, Castille, Leon dan berhenti di Bascunia di tepi Lautan Atlantik.

Sejarah penaklukan Andalusia bermula dengan peluang yang tidak disia-siakan Thariq. Dalam perjuangan UMNO, setiap individu diberi ruang dan peluang berbakti kepada parti terutama generasi muda.

Jika diteliti sejarah penaklukan Andalusia, beberapa ibrah boleh dijadikan panduan memperkasa parti:

  • Generasi muda ialah ejen perubahan. Sinergi di antara kepimpinan tertinggi dengan kepimpinan muda akan melicinkan agenda perubahan.

Syarat utamanya adalah saling menghormati, tiada unsur meremehkan antara satu sama lain. Seperti mana falsafah Jawa yang menjadi pegangan Presiden Jokowi “Lamun Sira Sekti, Ojo 
Mateni - Meskipun kamu kuat, jangan suka menjatuhkan. Lamun Sira Banter, Ojo Ndhisiki - Meskipun kamu cepat, Jangan suka mendahului. Lamun Siro Pinter, Ojo Minteri - Meskipun pandai, jangan Sok pintar”

  • Semangat perjuangan semata-mata yang tidak disertakan dengan tindakan hanyalah sia-sia. Semangat dikobarkan seiring dengan tindakan yang berstrategi dan bukan semberono.

Berjawatan dalam parti adalah satu peluang dan amanah, tidak kira di peringkat cawangan, bahagian, negeri atau pusat.

Peluang ini mampu menghasilkan natijah yang baik untuk parti sekiranya ahli dan pimpinan saling bergandingan, satu suara, satu hati, mendukung kepimpinan yang dipilih secara sah pada sesi pemilihan yang lepas.

Jangan diremeh perkara ini, kelak padah akibatnya kepada parti dan ahli. Akhirnya dengan hari-hari masih berbaki 10 akhir Ramadan ini, ayuh! kita perketat ikatan, bermunajat, bermuhasabah, bertahajud dan terus mencari Lailatul Qadar. Peluang hanya sekali dalam setahun.

AHMAD ZAHID HAMIDI
#demiummah

#akhiratdidepan