Menurut Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Ulu Cheka, Jamlus Mat Zium, 58, ketokohan Pawang Nong sebagai pemimpin di situ tiada tolok bandingnya kerana keikhlasan yang ditunjukkan sejak menerajui pembukaan kampung tersebut kira-kira 100 tahun yang lalu.

Katanya, idea pembangunan yang lahir dari pemikiran Pawang Nong sebenarnya sudah mengambil kira segala keperluan dan masa depan semua penduduk dan keturunannya yang mendiami Kampung Ulu Cheka.

“Pawang Nong adalah seorang yang berpandangan jauh. Ketokohannya bukan sahaja dalam aspek berjuang mempertahankan kampung daripada serangan dan taklukan pengganas komunis dan kemasukan tentera Jepun tetapi lebih dari itu, beliau adalah seorang pemimpin yang ke hadapan,” katanya.

Jamlus yang merupakan anak jati Kampung Ulu Cheka dan pesara guru berkata, Pawang Nong menabur jasa yang amat besar kepada penduduk di kampung itu termasuk membina sekolah dan masjid serta merintis seni mempertahankan diri Silat Cekak yang kini dikenali sebagai Silat Seni Melayu Pahang di kampung itu.

Katanya, kebijaksanaan beliau melindungi dan menjaga keselamatan serta keamanan penduduk kampung menyebabkan tiada siapa yang berani membuat onar di kampung itu sehingga kini.

“Sehingga kini, kejadian jenayah di kampung ini boleh dikatakan tiada langsung. Malah, penduduk kampung di sini diberi peluang seluas-luasnya untuk memajukan kampung tanpa diganggu atau diambil kesempatan oleh pihak luar,” katanya.

Beliau berkata, demi memastikan anak kampung menerima pendidikan sempurna, Pawang Nong telah memohon kepada kerajaan agar dibina sebuah sekolah rendah pada 1936 yang kini masih berdiri teguh dengan nama Sekolah Kebangsaan Pawang Nong.

“Bukan sahaja sekolah, Pawang Nong sendiri telah mengusahakan dengan memohon terus kepada Allahyarham Tun Abdul Razak untuk membina sebuah masjid baharu yang selesa untuk kegunaan penduduk kampung di situ,” katanya.

Menceritakan sejarah kampung itu, Jamlus berkata, Pawang Nong merupakan orang yang bertanggungjawab membuka penempatan baharu dan pengasas Kampung Ulu Cheka bersama-sama tujuh lagi rakannya pada 1907 namun beliau hanya dilantik sebagai Ketua Kampung bermula 1926 sehingga 1976.

Tambahnya, Pawang Nong bersama-sama tujuh rakannya telah meneroka dan menyusuri sungai dari Kuala Lipis ke Lata Lang sebelum tiba ke Ulu Cheka untuk membuka penempatan baharu pada 1907.

“Atas perkenan Sultan Pahang ketika itu, Pawang Nong telah mengusahakan pembukaan Kampung Ulu Cheka yang dibawahnya mempunyai 11 kampung kecil,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, Kampung Ulu Cheka membangun menjadi sebuah desa yang sejahtera dilengkapi pelbagai kemudahan seperti klinik kesihatan, kedai, internet, masjid, sekolah, seni mempertahankan diri serta menjadi produk pelancongan Santai Desa yang diiktiraf kerajaan negeri dan Kementerian Pelancongan.

Katanya, kedudukan Kampung Ulu Cheka di kaki Gunung Benum juga menjadi tarikan yang unik kerana kawasan hutan belantara yang masih dara dan tidak terusik.